Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy kongsi wawasannya sebagai Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Encik Zaqy Mohamad ingin menggunakan infrastruktur yang tersedia di MUIS, MENDAKI, MESRA bagi mendekati dan membantu masyarakat Melayu/Islam menjadi lebih yakin dalam menangani cabaran seperti gangguan ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Encik Zaqy Mohamad ingin menggunakan infrastruktur yang tersedia di MUIS, MENDAKI, MESRA bagi mendekati dan membantu masyarakat Melayu/Islam menjadi lebih yakin dalam menangani cabaran seperti gangguan ekonomi.

Encik Zaqy berkongsi wawasannya itu sehari selepas diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI.

Dengan pengalamannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kementerian Penerangan dan Perhubungan dan juga Jawatankuasa bagi Ekonomi Masa Depan, Encik Zaqy dilihat sebagai orang paling sesuai untuk mendalamkan lagi peranan MENDAKI bagi meningkatkan kesedaran dan menyiapkan masyarakat bagi cabaran ekonomi masa depan.

BANTUAN LEBIH SEKADAR PENDIDIKAN BAGI 'YANG KETINGGALAN'

"Saya rasa kita masih mempunyai golongan yang dikatakan 'ketinggalan', di mana kita boleh mendekati, memberi lebih fokus kepada mereka kerana isu-isu mereka bukan hanya dari segi pendidikan," kata Encik Zaqy.

"Bagi PMET, saya rasa ramai hari ini mempunyai cabaran dari segi pertukaran ekonomi. Jadi di sini saya juga berharap akan dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka, menolong mereka melalui pendidikan sepanjang hayat," tambah beliau.

Encik Zaqy menambah usaha ini, bagaimanapun, mungkin memakan masa dan juga perlu mengatasi beberapa cabaran. Ini termasuk landskap ekonomi digital serta jurang kemahiran pekerja.

Maka itu, dalam bulan-bulan mendatang Encik Zaqy akan meneliti keberkesanan program-program yang ada.

USAHAKAN KERJASAMA ANTARA BADAN MELAYU

"Saya rasa adalah penting kita mempunyai matlamat yang sama. Kita harus memberi mereka arah tujuan, di mana kemajuan masyarakat adalah juga tanggungjawab kita semua."

Tambahnya lagi beliau juga ingin melihat kerjasama lebih erat antara MUIS, MENDAKI dan MESRA supaya masyarakat dapat menikmati kebaikan daripada perkongsian tenaga dan sama-sama maju di Singapura.

Dalam pada itu, tegas beliau, ini boleh dilakukan tanpa melupakan identiti sebagai orang Islam dan juga budaya sebagai orang Melayu.

"Melalui platform seperti MENDAKI, MUIS dan MESRA, kita dapat membawa tenaga masyarakat kita juga bersama untuk menolong mereka yang kurang berkemampuan dan kurang upaya juga dan ini satu bidang di mana kita boleh meningkatkan lagi atau memperbaiki 'last mile delivery' (khidmat tahap terakhir) kami, di mana kita boleh memberi fokus kepada program-program yang boleh membawa kesan kepada masyarakat," ujarnya.

Menurut beliau lagi, kerjasama semua pihak ini mampu menyediakan pendekatan yang lebih bersepadu dan holistik dalam meningkatkan lagi keyakinan masyarakat untuk terus bergerak maju. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan