Zaqy gesa rakyat SG di Arab Saudi, termasuk jemaah umrah, terus waspada susuli serangan di Riyadh
Encik Zaqy Mohamad menggesa rakyat Singapura supaya mengikuti nasihat perjalanan terkini MFA menyusuli serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh. (Gambar fail: Reuters, MDDI)
Beliau turut mengingatkan mereka supaya mendaftar menerusi laman MFA.
Gesaan itu dibuat menyusuli serangan terbaharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada Sabtu (10 Okt) yang meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan 309 orang.
Serangan itu turut memaksa pihak berkuasa menghentikan operasi lapangan terbang tersebut buat sementara waktu.
"Setiap nyawa yang tidak berdosa amat berharga. Serangan terhadap orang awam dan prasarana awam tidak boleh diterima sama sekali. Kami berharap keganasan ini akan berakhir dan keamanan serta kestabilan kembali terjamin di rantau itu," tulis beliau.
Encik Zaqy turut memahami kebimbangan mereka yang mempunyai keluarga di Arab Saudi atau merancang untuk menunaikan umrah.
"Kepada para jemaah yang bakal berangkat menunaikan umrah, sentiasa utamakan keselamatan diri. Ikuti nasihat perjalanan terkini MFA dan daftar melalui eRegister," tambah beliau.
SERANGAN KETIGA DALAM TEMPOH SEMINGGU
Serangan pada Sabtu (10 Okt) merupakan yang ketiga menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid dalam tempoh seminggu.
Kumpulan Houthi telah mengaku bertanggungjawab atas serangan-serangan terdahulu terhadap lapangan terbang itu.
Kumpulan Houthi bagaimanapun belum mengaku bertanggungjawab bagi serangan terbaharu. Namun, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi menyalahkan kumpulan itu dan berikrar akan bertindak balas dengan tegas.
Serangan terbaharu itu berlaku sedang hubungan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi semakin tegang, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik akan terus memburuk.
Presiden Donald Trump turut memberi isyarat bahawa Amerika Syarikat mungkin mengambil tindakan ketenteraan terhadap Houthi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.