Zaqy, Amrin sifatkan pakej rangsangan gergasi sebagai 'bersejarah' dan 'luar biasa'
Para Anggota Parlimen yang temui di Bangunan Parlimen menyifatkan pakej rangsangan 'gergasi' yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat itu sebagai "bersejarah" dan "luar biasa".
SINGAPURA: Para Anggota Parlimen yang temui di Bangunan Parlimen menyifatkan pakej rangsangan 'gergasi' yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat itu sebagai "bersejarah" dan "luar biasa".
Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamed menekankan bahawa objektif belanjawan tersebut adalah untuk membantu para pekerja dan syarikat mengharungi tempoh mencabar ini.
"Memang satu belanjawan yang luar biasa oleh kerana kita lihat keadaan hari ini memang objektif untuk menolong dan membantu pekerja pada masa yang sama.syarikat-syarikat yang hari ini terjejas oleh keadaan COVID-19.
"Di sini pemerintah akan menolong syarikat supaya membayar antara 25% hingga ke 75% bagi pekerja-pekerja yang terjejas bagi sektor penerbangan dan juga sektor F&B 50% misalnya.
"Pemerintah sedang berusaha supaya pekerja kita tidak terjejas dan pekerja tidak kehilangan pekerjaan mereka. Jadi kita lihat pelbagai sektor yang terjejas kita memberi sokongan bagi gaji pekerja supaya majikan akan terus mengekalkan pekerjaan terutama sekali bagi pekerja Singapura," menurut Encik Zaqy Mohamed.
Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin turut menyifatkan belanjawan tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah disaksikan.
"Ini adalah belanjawan yang luar biasa yang bersejarah, tidak pernah belanja begitu banyak dan ini menunjukkan berapa beratnya cabaran yang akan kita hadapi sebagai satu masyarakat.
"Saya rasa ini adalah satu krisis yang sangat besar skalanya dan kita tidak boleh mengambil ringan dan pemerintah mendengar dan bersama-sama mahu membantu masyarakat supaya kita dapat berjaya mengatasi cabaran ini bersama sebagai satu Singapura.
"Dan yang paling ketara ialah kepentingan pekerja kita, kepentingan keluarga supaya kita dapat terus mendapat pendapatan, supaya kita dapat membesarkan keluarga, menjaga keluarga dengan sebaik mungkin," ujar Encik Amrin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, ketidaktentuan ekonomi dijangkakan dan sumber akan disalurkan buat keperluan utama rakyat Singapura dan jika keadaan benar-benar memerlukan, beliau bersedia untuk mengusulkan kepada Presiden untuk menggunakan lagi rizab negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.