Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zakiyah Jaleel menang Raja Kulinari; ke pertarungan akhir rebut gelaran juara

Anggaran Waktu Membaca:
Zakiyah Jaleel menang Raja Kulinari; ke pertarungan akhir rebut gelaran juara

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 03 Nov 2022 06:45PM Dikemas Kini : 03 Nov 2022 09:03PM
SINGAPURA: Selepas berentap selama 10 minggu dalam pertandingan Raja Kulinari, Cik Zakiyah Jaleel membuktikan kehandalannya untuk layak ke Pertarungan Akhir - Raja Kulinari untuk merebut gelaran juara.

Malah, Cik Zakiyah mencatat rekod sebagai satu-satunya tukang masak amatur yang berjaya mengalahkan tiga cef pembimbing - Cef Iskander, Cef Bob dan Cef Khaled. Beliau membawa pulang set pisau milik ketiga-tiga cef tersebut berserta wang tunai S$4,000!.

"Saya gembira kerana memenangi set pisau milik cef-cef yang sangat dihormati.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih tetapi juga gementar untuk ke fasa selanjutnya. Bagi saya perjalanan dan pengalaman yang diraih lebih bermakna daripada memenangi pertandingan ini, dan saya ghairah untuk bertanding dalam Pertarungan Akhir - Raja Kulinari," kata Cik Zakiyah.

'RATU REMPAH' BERSEMANGAT WAJA

Cik Zakiyah, yang dikenali sebagai 'Ratu Rempah', merupakan seorang pejuang - baik di dalam dan di luar dapur. Beliau mengharungi pelbagai rintangan dan berjaya menundukkan barah pankreas pada 2021.

Meski berdepan cabaran, beliau bangkit, kuatkan semangat dan kembali jatuh cinta dengan kegiatan memasak.

Untuk keluar daripada zon selesa, beliau mendaftarkan diri sebagai peserta Raja Kulinari.

Cik Zakiyah sudah terbiasa dengan dunia memasak sejak umur 10 tahun. Semasa melawan barah, Cik Zakiyah mendapati memasak ibarat satu terapi bagi dirinya dan membuat beliau kembali cinta dengan kegiatan itu.

Selain memasak, pemenang Raja Kulinari itu juga pencinta bumi. Beliau dikenali sebagai seorang peserta yang tidak pernah membazir bahan-bahan yang diberikan untuk memasak.

PERTARUNGAN AKHIR

Di Pertarungan Akhir - Raja Kulinari nanti, Cik Zakiyah akan bersaing dengan lagi dua pemenang Raja Kulinari dari versi Tamil dan versi Mandarin - iaitu Gopica ‘Rasathi’ Rasiah dari 'Raja Kaiya Vecha' dan Tran Thi Ngoc Anh Hue dari 'King Of Culinary'.

Terdapat tiga episod bagi pertarungan akhir tersebut dan setiap satu akan menyaksikan ketiga-tiga pemenang beradu kemahiran satu dengan satu menentang cef-cef mentor yang dipilih.

Episod satu bakal menyaksikan Rasathi menentang Cef Bob dan Hue menentang Cef Bob.

Episod dua pula menyaksikan Cik Zakiyah menentang Cef S.R. Bala dan Hue menentang Cef S.R. Bala.

Manakala dalam episode tiga, Rasathi akan menentang Cef Eric Teo dan Cik Zakiyah menentang Cef Eric Teo.

Masakan akan dinilai dari segi kreativiti penggunaan bahan-bahan yang dipilih, keadah memasak, persembahan dan rasa.

Pengadil bagi pertarungan akhir itu ialah, 'Blogger' makanan, DanielFoodDiary Daniel Ang, Cef Haikal Johari dan Cef Petrina Loh. Setiap kemenangan oleh Rasathi, Cik Zakiyah dan Hue akan dianugerahi hadiah wang tunai S$3,000 dan juga set pisau daripada para para pengadil.

Di penghujung episod tiga, peserta yang mempunyai jumlah pisau yang paling sedikit akan disingkirkan. Baki dua peserta kemudian akan berentap dalam episod empat untuk menghasilkan menu tiga sajian bagi merebut gelaran juara Raja Kulinari dan membawa pulang wang tunai S$10,000 serta pisau istimewa Juara Raja Kulinari.

Pertarungan Akhir - Raja Kulinari turut disiarkan di meWATCH, Channel 5 dan Mediacorp Entertainment YouTube pada setiap Ahad, pukul 9.30 malam bermula 13 November.
Sumber : BERITA Mediacorp/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan