Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura iklan

Zakat pertingkat hidup ibu 5 anak; salah seorang daripadanya berkeperluan khas

Anggaran Waktu Membaca:
Zakat pertingkat hidup ibu 5 anak; salah seorang daripadanya berkeperluan khas

(Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 17 Mar 2024 07:00AM Dikemas Kini : 17 Mar 2024 01:18PM
SINGAPURA: Cik Anisah Hamid ibarat seorang konduktor yang memimpin sebuah orkestra. Beliau berjaya mewujudkan simfoni kasih sayang dan kerjasama dalam setiap anggota keluarganya.

Ini penting kerana Cik Anisah mempunyai seorang anak remaja lelaki berkeperluan khas, Aniq, yang berusia 12 tahun. Aniq, anak kedua, didiagnos dengan autisme dan epilepsi. Cik Anisah juga ibu kepada lagi empat orang anak yang berusia 4, 7 dan 16 tahun.

Ikatan keluarga yang dipupuk Cik Anisah begitu erat, dalam usaha beliau menggalak setiap anggota keluarganya agar saling berganding bahu untuk sama-sama menyokong dan menjaga Aniq.
(Gambar: MUIS)
Meskipun penjagaan Aniq menuntut perhatian seluruh jiwa raga Cik Anisah, beliau tetap akan memastikan keperluan suami, Encik Affian, dan anak-anak mereka yang lain sentiasa terpelihara - baik dari segi akademik mahupun kegiatan keluarga.

Sekalipun demikian, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Cik Anisah adalah suri rumah tangga dan penjaga sepenuh masa bagi Aniq. Ini bermakna, suami beliau Encik Affian merupakan satu-satunya pencari nafkah untuk menyara hidup tujuh sekeluarga itu. Mereka terpaksa berjimat cermat untuk mencukupkan perbelanjaan.

Aniq menuntut di sebuah sekolah pendidikan khas. Selain itu, Aniq juga perlu menjalani rawatan perubatan dan terapi secara berkala di hospital.

Terapi perubatan jangka panjang untuk Aniq menjejas pendapatan dan kedudukan kewangan keluarga Cik Anisah. Ini meskipun terdapat subsidi yang tinggi.

Mujur, ada bantuan kewangan yang dapat dimanfaatkan dan meringankan tanggungan keluarga Cik Anisah, yang merupakan antara lapan golongan asnaf - iaitu fakir dan miskin.

Keluarga Cik Anisah layak menerima bantuan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menerusi Masjid En-Naeem. Bantuan kewangan sebanyak S$240 sebulan, diberikan selama 12 bulan.

MANFAATKAN GERAN LEAP - JUGA DARI ZAKAT

Selain itu, Cik Anisah juga meraih manfaat daripada geran Leap untuk menampung keperluan anak-anak beliau. Geran ini sebahagian daripada Inisiatif Leap.

Inisiatif Leap ini dibangunkan MUIS pada Oktober 2019 untuk melengkapkan keluarga-keluarga Melayu/Islam, khususnya para penerima zakat, dengan bantuan dan sokongan sumber agar dapat berkembang maju dalam masyarakat. Dana bagi Inisiatif Leap termasuk geran yang disertakan juga ditampung melalui zakat.

Geran Leap yang diterima Cik Anisah digunakan untuk membiayai yuran kemasukan dan pendaftaran tadika masjid, yuran madrasah masjid, yuran pendaftaran bagi tuisyen MENDAKI dan komputer riba untuk pembelajaran di dalam talian.
(Gambar: MUIS)
Geran itu juga dimanfaatkan untuk membeli meja belajar dan perabot penting lain untuk bilik tidur anak-anak beliau, demi mewujudkan persekitaran pembelajaran dan kehidupan yang lebih selesa.

Menerusi Inisiatif Leap juga, Cik Anisah berkongsi pengalaman dan perjalanan hidup beliau menguruskan anak berkeperluan khas dalam jurnal Leap. Antara perkongsian beliau adalah rasa syukur setiap kali melihat perubahan positif dalam diri Aniq.

Cik Anisah berharap, menerusi platform jurnal sedemikian, keluarga-keluarga lain juga akan rasa terdorong bahawa tiada perkara yang mustahil selagi kita bertekad untuk mencapainya, tidak kira apa jua cabaran dan rintangan.

ZAKAT PERTINGKAT HIDUP MASYARAKAT

Hakikatnya, zakat yang anda tunaikan berupaya membantu mempertingkatkan kehidupan lapan golongan asnaf seperti keluarga Cik Anisah. Dengan bantuan zakat anda, Cik Anisah sedikit sebanyak dapat memberi tumpuan yang lebih baik untuk menjaga dan membesarkan anak-anaknya dan menguruskan keluarga, tanpa terlalu terbeban dengan isu kewangan.

Zakat adalah satu kewajipan dan tanggungjawab kita bersama untuk mencapai kesamarataan sosial dengan mengagihkan kelebihan harta yang kita miliki. Zakat yang ditunaikan melalui MUIS akan diagihkan kepada lapan asnaf mengikut syarak.

Dalam bulan Ramadan ini, tunaikan zakat anda kepada lapan asnaf secara digital di laman www.zakat.sg - keberkatannya tetap sama.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan