Zakat MUIS: Semua transaksi secara tunai, digital akan diuruskan dengan cara baik & selamat
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memastikan kesemua transaksi secara tunai mahupun digital akan diuruskan dengan cara yang baik dan selamat.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memastikan kesemua transaksi secara tunai mahupun digital akan diuruskan dengan cara yang baik dan selamat.
Demikian jaminan yang diberikan Penolong Pengarah Kanan bahagian Dana Masyarakat, Encik Shamsul Hadi Jangarodin menyusuli satu kes melibatkan bayaran tunai yang mencurigakan oleh anggota masyarakat di Masjid Al-Istiqamah.
Encik Shamsul juga menekankan tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil pihak MUIS semasa menjalankan audit tahunan.
"Sistem yang kami miliki dinamakan IPaRS atau 'Integrated Payment and Receipting System'. Ia membolehkan pihak MUIS memantau semua transaksi baik tunai mahupun digital yang dilakukan di masjid-masjid khususnya bagi pembayaran zakat dengan teliti," katanya.
Berikutan kejadian di masjid yang terletak di Serangoon North itu, MUIS akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkannya dalam pengurusan pembayaran zakat di kesemua Pusat-pusat Pungutan Zakat yang Berdaftar.
Encik Shamsul berkata: "MUIS akan menyemak semula semua SOP kami di semua peringkat bagi memastikan sebarang kelemahan dalam proses kutipan zakat kami dapat dikesan dengan baik. Sekiranya perlu, MUIS juga akan memperkenalkan langkah-langkah baru bagi mengukuhkan SOP kami."
"Ini kami lakukan untuk memberi jaminan kepada masyarakat dan jemaah yang menunaikan zakat dan buat sumbangan kepada masjid-masjid kita kekal yakin bahawa sumbangan mereka dapat diurus dengan baik," tambah beliau
14% MASIH GUNAKAN PEMBAYARAN TUNAI; IA AKAN DIKEKALKAN
Meskipun kes tersebut melibatkan pembayaran secara tunai, Encik Shamsul berkata MUIS akan terus mengekalkan mod pembayaran tersebut bagi memenuhi keperluan semua jemaah.
Walaupun sekitar 86 peratus jemaah sudah menggunakan kaedah pembayaran digital dan cek, data terkini MUIS menunjukkan masih terdapat sekitar 14 peratus pembayaran Zakat dilakukan secara tunai.
"Kami akan memastikan ia bersifat inklusif agar semua lapisan masyarakat dan jemaah dapat memanfaatkannya. Kami akur bahawa terdapat segelintir kumpulan dalam masyarakat yang lebih cenderung untuk menunaikan zakat atau membuat sebarang sumbangan menerusi wang tunai," jelas Encik Shamsul.
Orang ramai boleh ke lelaman tertera untuk senarai Pusat-pusat Pungutan Zakat yang Berdaftar: www.zakat.sg/zakat-collection-centres/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.