Skip to main content

Singapura iklan

Zakat anda bukan sekadar bantuan; Muhammadiyah gunakannya untuk perkasa keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Zakat anda bukan sekadar bantuan; Muhammadiyah gunakannya untuk perkasa keluarga
(Gambar: Muhammadiyah)
Diterbitkan : 18 Feb 2026 10:15PM Dikemas Kini : 18 Feb 2026 10:56PM

SINGAPURA: Di sebuah flat sewa kecil, setiap pagi Cik Aida (bukan nama sebenar), 49 tahun, memulakan harinya dengan bantuan anak lelakinya yang baru berusia 16 tahun.

Ini kerana sejak ditimpa kemalangan tragis satu ketika dahulu, kaki ibu tunggal ini terpaksa dipotong. Selepas itu, beliau diuji dengan glaukoma yang menyebabkannya kehilangan daya penglihatan.

Anaknyalah yang menjadi penjaga utama - membantu urusan harian, memastikan makan minum terjaga, dan menjadi “mata” yang membimbing langkah ibunya di rumah. Dalam keadaan serba terbatas, mereka belajar untuk terus tabah menempuhinya, dari hari ke hari.

Sungguhpun demikian, untuk keluarga-keluarga seperti mereka, kekuatan sahaja tidak mencukupi; mereka juga memerlukan sokongan padu dan berterusan daripada masyarakat.

Kisah Cik Aida ini mengingatkan kita bahawa dalam kita menjalani kehidupan seperti biasa, wujud insan lain - ibu, ayah, anak - yang sedang berusaha mempertahankan maruah keluarga.

MUHAMMADIYAH UNTUK SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT

Di sinilah peranan sebuah pertubuhan masyarakat menjadi lebih daripada sekadar “badan amal”. Persatuan Muhammadiyah mahu dikenali sebagai rakan seperjalanan seumur hidup yang memperkasa masyarakat di setiap peringkat kehidupan - daripada membentuk minda muda, hingga memastikan warga emas meniti usia senja dengan bermaruah dan bermakna.

Lebih enam dekad, Muhammadiyah membina amanah ‘dari masyarakat untuk masyarakat’. Sejak ditubuhkan pada tahun 1957, pelbagai institusi dibangunkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura - dengan fokus dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Dalam pendidikan, Muhammadiyah menyantuni pembentukan generasi: daripada Tadika Muhammadiyah, Madrasah Hujung Minggu KABA, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Kolej Islam Muhammadiyah, hinggalah Tapak Suci Pencak Silat yang memupuk disiplin dan jati diri.

Dari segi kebajikan pula, khidmatnya merangkumi Rumah Kebajikan Muhammadiyah, pusat kesihatan dan jagaan harian warga emas (MHCC), Pusat Penuaan Aktif (AAC) Muhammadiyah @ Yishun, Projek Sinar Ihsan (agensi keluarga titipan), bantuan kebajikan termasuk pengurusan jenazah - semuanya lahir daripada keperluan masyarakat.

Related article image
(Gambar: Muhammadiyah)

SUMBANGAN ANDA UNTUK JANGKA PANJANG

Ramadan yang bakal menjelang adalah masa terbaik untuk kita kembali kepada fitrah makna memberi. Zakat bukan sekadar kewajipan; ia amanah yang menyucikan harta dan mengangkat darjat sesama insan. Dengan Zakat, kita memperkukuh ummah - menjaga maruah, dan menyalakan harapan bagi mereka yang sedang diuji.

Apabila anda menyalurkan Zakat Harta, infak dan fidyah melalui Muhammadiyah, sumbangan itu tidak terhenti sebagai bantuan jangka pendek. Ia menjadi sokongan yang berpanjangan, sekali gus menghidupkan program pendidikan, dakwah dan kebajikan; memupuk ilmu yang bermanfaat, memperteguh iman, dan membantu keluarga bergerak ke arah kestabilan serta berdikari.

Zakat disalurkan kepada golongan asnaf, sekali gus memenuhi tuntutan syarak, dan mengalirkan pahala melalui kebaikan yang sampai kepada mereka yang memerlukan.

Related article image
(Gambar: Muhammadiyah)

TUA, MUDA DIHULUR SOKONGAN

Bagi keluarga Cik Aida, bantuan yang diterima memberi ruang untuk menghela nafas lega. Muhammadiyah membantu menampung keperluan asas mereka ketika waktu sukar, dan pada masa yang sama, turut menyediakan kelas agama percuma sebagai sebahagian daripada inisiatif dakwah - agar keluarga ini bukan sahaja dibantu dari segi keperluan fizikal, tetapi juga diberi kekuatan rohani untuk terus bertahan.

Malah, bukan setakat keluarga muda yang dibantu. Warga emas, Rokiah (bukan nama sebenar), 72 tahun, sudah hampir sedekad menerima bantuan kebajikan menerusi Muhammadiyah.

Beliau menjaga suami yang menjalani pembedahan saraf tunjang lebih 20 tahun lalu. Kata beliau ringkas tetapi penuh makna: “Terima kasih kepada Muhammadiyah kerana sentiasa sudi menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, seperti saya dan suami.”

Related article image
(Gambar: Muhammadiyah)

PROJEK WAHDAH

Pada masa yang sama, Muhammadiyah juga mengajak masyarakat menyokong Projek Wahdah, iaitu usaha menaik taraf bangunan di 14 Jalan Selamat, sebuah pusat dakwah, pendidikan dan kebajikan yang sudah lama dibangunkan.

Pusat ini menyokong lebih 15,000 pelajar serta menyediakan sokongan penting kepada ramai penerima bantuan. Kerja naik taraf ini akan memperkukuh kemampuan Muhammadiyah untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada generasi akan datang.

Kadangkala kita tertanya, “Sejauh mana sumbangan kecil kita boleh mengubah sesuatu?” Hakikatnya, setiap amal, walau sedikit, membina rangkaian bantuan yang besar. Setiap infak mengukir senyuman. Setiap fidyah meringankan beban. Setiap Zakat membuka peluang untuk seseorang bangkit semula dengan bermaruah.

Sumbangan ikhlas anda akan memberikan manfaat terbaik kepada masyarakat dan generasi akan datang. Sempurnakan Zakat anda bersama Muhammadiyah: muhammadiyah.org.sg/donate.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita