Yusman Yusoff dipuji polis kerana bantu tangkap suspek kes rakam video bawah skirt
Seperti biasa, Encik Yusman Yusoff akan berehat sebentar di bawah blok 175 di Toa Payoh, setelah sehari suntuk bekerja sebagai pekerja khidmat pengiriman.
SINGAPURA: Seperti biasa, Encik Yusman Yusoff akan berehat sebentar di bawah blok 175 di Toa Payoh, setelah sehari suntuk bekerja sebagai pekerja khidmat pengiriman.
Namun pada Rabu itu, 19 September sekitar 7.20 malam, beliau ternampak seorang lelaki berkelakuan mencurigakan di luar stesen MRT Toa Payoh.
Lelaki berusia 20-an tahun itu kelihatan membuat pusingan-U dan mengekori seorang wanita yang sedang berjalan keluar daripada stesen MRT menuju ke blok 175.
Sedang mereka berdua jalan berdekatan blok berkenaan, Encik Yusman melihat lelaki itu meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt wanita itu.
Encik Yusman bingkas bangun dan bergegas mendekati lelaki berkenaan. Dalam pada itu, beliau juga menarik perhatian sekumpulan pegawai polis Transcomm yang sedang membuat rondaan.
Namun, lelaki itu menghilangkan diri dan mereka meneruskan pencarian di blok yang berdekatan. Beliau akhirnya diberkas setelah pihak polis menemuinya berkeliaran di belakang sebuah kedai kopi.
SIKAP "INI TIDAK BOLEH DIDIAMKAN..."
Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp, Encik Yusman berkongsi bahawa semuanya berlaku dalam masa kurang lebih 10 minit sahaja.
"Bila saya nampak kejadian itu berlaku, saya berasa bahawa itu sesuatu yang tidak betul. Jadi saya fikir, ini tidak boleh didiamkan dan saya harus buat sesuatu dan bantu dalam siasatan," ujar beliau.
Semangat kemasyarakatan dan keberanian Encik Yusman untuk menegakkan kebenaran, diiktiraf dalam sebuah majlis yang diadakan di Komand Keselamatan Pengangkutan Awam hari ini (17 Okt).
Gambar Encik Yusman Yusoff dan Encik Yap Zuo Peng. (Gambar: Nur Hazimah Anuar)
YAP ZUO PENG TAHAN LELAKI DI MRT HOUGANG
Turut diiktiraf hari ini ialah Encik Yap Zuo Peng, kerana membantu polis menahan seorang lelaki lain yang mengambil video bawah skirt, dalam satu kes lain.
Encik Yap sedang menaiki tangga bergerak di stesen MRT Hougang apabila beliau menyedari lelaki dihadapannya meletak telefon bimbit di bawah skirt seorang wanita.
Beliau dengan berani mendekati lelaki itu dan menahannya di stesen berkenaan.
Gambar Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Koh Wei Keong menyampaikan anugerah kepada Encik Yap Zuo Peng. (Gambar: SPF)
Kedua-dua orang awam itu - Encik Yusman dan Encik Yap - menerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Koh Wei Keong.
"Para penumpang dinasihati supaya kekal berwaspada terhadap sekitaran mereka ketika dalam perjalanan di rangkaian pengangkutan awam," AC Koh Wei Keong.
"Selain membantu mencegah diri mereka daripada menjadi mangsa jenayah, mereka juga boleh membantu polis memastikan rangkaian pengangkutan awam selamat dengan menjadi 'mata dan telinga' di tempat-tempat awam."
Tambah beliau lagi: "Pihak polis melahirkan rasa terima kasih kepada Encik Yap dan Encik Yusman kerana menampilkan semangat kemasyarakatan. Tindakan sedemikian dapat membantu mencegah jenayah di rangkaian pengangkutan awam."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.