Skip to main content

Singapura

Yuran ujian menunggang motosikal, memandu dan teori naik mulai 13 Mac; kenaikan pertama sejak 2016

Anggaran Waktu Membaca:
Yuran ujian menunggang motosikal, memandu dan teori naik mulai 13 Mac; kenaikan pertama sejak 2016
Pemandangan Pusat Memandu ComfortDelGro. (Gambar: ComfortDelGro)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 05:27PM Dikemas Kini : 13 Mar 2026 05:28PM
SINGAPURA: Yuran untuk ujian menunggang motosikal, memandu dan teori akan meningkat mulai Jumaat (13 Mac), dan akan meningkat secara bertahap-tahap dalam beberapa tahun akan datang.

Ini disebabkan oleh kos operasi yang semakin meningkat, kata polis dalam kenyataan medianya, sambil menambah bahawa kali terakhir yuran ujian memandu disemak adalah pada 2016.

Yuran yang dikemas kini adalah seperti berikut:

Ujian Teori Pemanduan Asas, Ujian Teori Pemanduan Akhir dan Ujian Teori Menunggang Motosikal

- Naik daripada S$6.50 kepada S$7.20 (berkuat kuasa 13 Mac 2026)
- Naik kepada S$8 (berkuat kuasa 13 Mac 2027)

Ujian Menunggang Motosikal Praktikal, Ujian Memandu Praktikal dan Ujian Kecekapan Memandu

- Naik daripada S$33 kepada S$40 (berkuat kuasa 13 Mac 2026)
- Naik kepada S$45 (berkuat kuasa 13 Mac 2027)
- Naik kepada S$50 (berkuat kuasa 13 Mac 2028)

Polis menyatakan semakan yuran itu dilaksanakan ke atas pemohon yang menempah ujian mereka pada atau selepas tarikh kuat kuasa masing-masing.

Mereka yang menempah ujian mereka sebelum tarikh tersebut tidak akan terjejas.

UJIAN JALAN RAYA UNTUK PEMEGANG LESEN KELAS 3C/3CA

Polis juga menyatakan bahawa mereka yang mempunyai lesen memandu Kelas 3C/3CA - yang dikhaskan untuk pemegang permit kerja dan pemegang Pas S yang menukar lesen memandu asing mereka kepada lesen Singapura - boleh menempah penilaian wajib jalan raya mulai Jumaat.

Ini bagi mereka yang majikannya mengemukakan pengisytiharan sokongan untuk mereka mengambil lesen memandu Kelas 4/4P (untuk kenderaan berat) sejak 15 September 2025.

Mereka hanya akan dapat mendaftar untuk kelas memandu Kelas 4/4P selepas lulus penilaian jalan raya, kata polis.

Polis trafik memperkenalkan keperluan penilaian wajib jalan raya pada 15 September untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

"Penilaian jalan raya menilai kecekapan keseluruhan pemandu untuk memandu kereta Kelas 3/3A dalam keadaan lalu lintas sebenar, meliputi kawalan kenderaan asas, termasuk pemeriksaan cermin, memberi isyarat, kawalan kelajuan, kedudukan, navigasi simpang, interaksi dengan pengguna jalan raya lain, dan pematuhan kepada undang-undang lalu lintas," kata polis.

Semua pemegang lesen memandu Kelas 3C/3CA yang majikannya mengemukakan pengisytiharan sokongan mulai 15 September akan dihubungi oleh polis trafik untuk pergi ke Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC) bagi mendaftar bagi penilaian jalan raya mereka mulai Jumaat.

Polis trafik akan menjalankan penilaian jalan raya di Pusat Ujian Woodlands dalam SSDC.

Yuran penilaian jalan raya akan sama dengan yuran ujian praktikal, iaitu sebanyak S$40, berkuat kuasa Jumaat.

Ini juga tertakluk kepada kenaikan secara berperingkat yang sama kepada S$45, berkuat kuasa 13 Mac 2027, dan seterusnya kepada S$50, bermula 13 Mac 2028.

Yuran tambahan akan dikenakan untuk penilaian jalan raya selain yuran ujian, termasuk sewa kenderaan dan caj pentadbiran yang dikenakan dan ditentukan oleh sekolah memandu.

Pemegang lesen Kelas 3C/3CA yang gagal dalam penilaian jalan raya tidak akan dibenarkan mendaftar untuk kelas pengajaran Kelas 4/4P.

“Lesen Kelas 3C/3CA mereka juga akan dibatalkan memandangkan mereka didapati tidak cukup cekap untuk memandu kereta Kelas 3/3A. Mereka tidak akan dibenarkan mendapatkan lesen memandu bagi mana-mana kelas dalam tempoh satu tahun dari tarikh pembatalan lesen,” kata polis.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita