Yuran tuisyen lebih tinggi bagi pelajar ITE, politeknik tahun depan
Para pelajar yang merancang untuk memasuki politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada tahun depan perlu membayar yuran tuisyen yang lebih tinggi.

Gambar fail pelajar Politeknik Singapura. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Para pelajar yang merancang untuk memasuki politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada tahun depan perlu membayar yuran tuisyen yang lebih tinggi.
Kenaikan yuran tuisyen itu adalah lebih tinggi bagi para penduduk tetap dan warga asing berbanding rakyat Singapura.
Ini diumumkan oleh ITE dan politeknik-politeknik tempatan melalui laman masing-masing hari ini (11 Dis).
Yuran yang dinaikkan itu hanya akan dikenakan ke atas kumpulan pelajar baru yang memulakan kelas pada tahun akademik 2018. Penggal baru bagi politeknik bermula pada bulan April, sementara ITE pula menawarkan dua pengambilan pelajar, iaitu pada Januari dan April.
Rakyat Singapura yang ingin memasuki kelima-lima politeknik tempatan akan membayar yuran tuisyen tahunan sebanyak S$2,800, naik dari S$2,700 pada tahun lalu.
Bagi penduduk tetap (PR), yurannya naik dari S$5,400 kepada S$5,600, sementara yuran untuk pelajar antarabangsa pula, naik dari S$9,600 kepada S$10,000.
Kelima-lima politeknik itu adalah Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Republik, Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek.
Bagi ITE pula, yuran baru bagi kursus Nitec sepenuh masa akan naik kepada S$406 bagi rakyat Singapura, sementara PR perlu membayar yuran S$5,023 dan pelajar antarabangsa pula akan membayar S$13,482. Ini termasuk yuran pendaftaran, yuran tambahan dan yuran peperiksaan.
Rakyat Singapura yang memasuki ITE tahun ini membayar yuran sebanyak S$386, manakala PR membayar S$4,719 dan pelajar antarabangsa pula dikenakan S$12,582.
Yuran tuisyen kekal tidak berubah bagi kursus-kursus Nitec Lanjutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.