Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yuran Skim Tuisyen MENDAKI dikurangkan kepada S$10 setahun berbanding S$210 sebelum ini

Mulai tahun depan (2022), ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas tuisyen di bawah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) hanya perlu membayar S$10 setahun, berbanding S$210 sebelum ini.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai tahun depan (2022), ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas tuisyen di bawah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) hanya perlu membayar S$10 setahun, berbanding S$210 sebelum ini.

Ini diumumkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis penyampaian Anugerah Tutor MENDAKI yang diadakan pada 13 November.

"Bagi memastikan Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) kekal relevan di tengah-tengah landskap sekarang, MENDAKI akan terus menyemak dan mengemas prosesnya bagi menyokong lebih ramai pelajar," ucap Dr Faishal.

"Bermula dari 2022, yuran pendaftaran Skim Tuisyen Mendaki (MTS) sudah pun disemak kepada bayaran yuran satu kali bernilai S$10 sepanjang tahun untuk semua pelajar Muslim. Sebelum ini, pelajar perlu membayar sehingga S$210 setiap tahun," tambahnya lagi.

Menurut Dr Faishal juga, perubahan ini diharap dapat menjadikan program-program MENDAKI lebih mudah diakses oleh setiap pelajar Muslim agar mereka dapat menerima sokongan akademik yang mencukupi.

Selain itu, Dr Faishal juga menyentuh tentang portal MyMENDAKI, di mana para ibu bapa boleh mendaftar untuk program-program di bawah MENDAKI dengan lebih mudah.

56 TUTOR DIIKTIRAF ATAS SUMBANGAN MEREKA

(Gambar: MENDAKI) 

Penerima Anugerah Sumbangan Cemerlang, Nur Khairinny Khairi. (Gambar: MENDAKI) 

Dalam majlis yang sama, Dr Faishal turut menyampaikan anugerah kepada 56 tutor MTS atas sumbangan dan kesan positif mereka melalui Program Tuisyen MENDAKI (MTP).

Satu-satunya penerima Anugerah Sumbangan Cemerlang tahun ini ialah Cik Nur Khairinny Khairi, 30 tahun.

Cabaran COVID-19 ini membuatkannya lebih bersemangat menyuntik pembaharuan dalam cara beliau mengendalikan kelas tuisyennya agar lebih interaktif dan seronok.

"Saya rasa cabaran utama ialah untuk mengenali dan mendekati para pelajar kerana semua kelas dijalankan secara maya dan saya tidak pernah bertemu dengan mereka bersemuka. Jadi sukar untuk melahirkan hubungan yang kukuh dan membina kepercayaan dan keyakinan di antara satu sama lain," ujar Cik Khairinny.

"Namun saya tetap harus memastikan mereka hadir pada setiap sesi kerana ia amat penting untuk mereka. Jadi saya tidak keberatan untuk mencuba sesuatu yang baru seperti mengubah bahan yang sedia ada kepada bentuk 'virtual' untuk memastikan kelas itu lebih seronok untuk dihadiri," tambahnya lagi.

(Gambar: MENDAKI)

Semangat dan usaha guru tuisyen dengan pengalaman 10 tahun ini lantas membuatnya sering mendapat pujian ibu bapa pelajar.

"Saya memang suka berinteraksi dengan kanak-kanak. Gelagat dan kesungguhan mereka untuk belajar dan menimba ilmu membuat saya lebih teruja," kata Cik Khairinny yang mula menjadi seorang guru tuisyen semasa beliau sedang menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) lagi.

"Tambahan lagi saya rasa ini adalah masanya untuk saya menyumbang semula kepada masyarakat," menurutnya yang kini bertugas sepenuh masa sebagai seorang juruanalisis kontrak.

27 TUTOR DIIKTIRAF DALAM KATEGORI ANUGERAH TUTOR CEMERLANG

Bagi kategori Anugerah Tutor Cemerlang pula, 27 tutor diiktiraf atas dedikasi dan sumbangan mereka.

Salah seorang penerimanya ialah Cik Siti Nurba'ah yang peka akan nasib beberapa pelajarnya yang menghadapi kesukaran mengikuti kelas secara online.

"Kami menghadiahkan para pelajar terpilih yang menerima subsidi bantuan kewangan di sekolah dengan sepasang fonkepala jenama JBL kerana kita menjangkakan bahawa pembelajaran HBL akan tiba," kongsi Cik Nurba'ah.

"Dengan fonkepala ini, kami berharap mereka dapat mengambil bahagian secara aktif semasa pembelajaran HBL," tambah Cik Nurba'ah yang mendapati para pelajar ini kadangkala tidak menggunakan sebarang alat pendengaran untuk mengikuti pembelajaran HBL.

(Gambar: MENDAKI) 

Beliau yang sendiri pernah menjadi pelajar yang mengikuti kelas MTS tiga dekad lalu, faham akan keadaan dan cabaran yang dialami oleh para pelajar di bawah skim itu.

"Sama seperti kebanyakan pelajar dalam MTS, saya pun tidak mampu untuk membayar tuisyen privet dan menyediakan diri untuk peperiksaan PSLE dan hanya di MTS sahaja, saya boleh mendapat bantuan dengan kerja sekolah saya," ujar Cik Nurba'ah.

"Sekarang saya rasa masanya untuk saya menyumbang bakti dan membantu membina komuniti Melayu kita dengan meningkatkan tahap pembelajaran para pelajar," tambah Cik Nurba'ah yang sudah lima tahun berkhidmat dalam MTS.

Anugerah Perkhidmatan Lama untuk penyelia dan penjaga pusat serta Anugerah Ketua Tutor Cemerlang turut diberikan kepada 28 lagi individu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan