Skip to main content

Singapura

Yuran baharu visa Amerika tidak jejas visa H-1B1 bagi rakyat SG: Kedutaan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Yuran baharu visa Amerika tidak jejas visa H-1B1 bagi rakyat SG: Kedutaan Amerika

Borang permohonan visa H-1B Amerika Syarikat terpapar pada bendera Amerika Syarikat. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 30 Sep 2025 07:57PM Dikemas Kini : 30 Sep 2025 08:43PM
  • Yuran baharu visa H-1B sebanyak AS$100,000 (S$129,000) tidak menjejas visa H-1B1 bagi rakyat Singapura, kata Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Isnin (29 Sep).
  • Visa H-1B1 adalah varian khas visa H-1B bagi rakyat Singapura dan Chile.
  • Terdapat 5,400 visa sedemikian ditawarkan kepada rakyat Singapura setiap tahun.
  • Sejak memegang jawatan Presiden pada Januari lalu, Encik Trump sudah pun mengambil tindakan keras imigresen yang meluas termasuk langkah-langkah mengehadkan beberapa bentuk imigresen yang sah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Yuran baharu visa H-1B sebanyak AS$100,000 (S$129,000) tidak menjejas visa H-1B1 bagi rakyat Singapura, kata Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Isnin (29 Sep).

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat mengumumkan yuran tersebut pada 19 September dan ia berkuat kuasa pada 21 September.

"Pengisytiharan presiden baru-baru ini mengenai visa H-1B tidak menjejas visa H-1B1 untuk rakyat Singapura. Tiada perubahan pada proses H-1B1 pada masa ini," menurut kedutaan itu dalam catatan di Facebook.

Visa H-1B membenarkan penggajian sementara pekerja asing bukan hijrahan dalam sektor-sektor yang memerlukan kemahiran sangat khusus, seperti teknologi.

Visa H-1B1 adalah varian khas visa H-1B bagi rakyat Singapura dan Chile.

Terdapat 5,400 visa sedemikian ditawarkan kepada rakyat Singapura setiap tahun.

Visa tersebut membenarkan tempoh pekerjaan selama setahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua kali dalam kenaikan setahun.

Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, mereka yang memohon bagi visa H-1B1 perlu menunjukkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk tinggal atau bekerja secara kekal di Amerika.

Program H-1B menawarkan 65,000 visa setiap tahun kepada majikan yang memawa masuk pekerja asing buat sementara waktu untuk bekerja dalam bidang-bidang khusus, dengan lagi 20,000 visa tambahan bagi pekerja yang memegang ijazah lanjutan.

Visa H-1B diluluskan selama tempoh tiga hingga enam tahun.

Pengumuman yuran baharu itu mendorong sesetengah syarikat teknologi besar untuk memberi amaran kepada pemegang visa supaya kekal di Amerika Syarikat atau segera pulang ke negara itu.

Sejak memegang jawatan Presiden pada Januari lalu, Encik Trump sudah pun mengambil tindakan keras imigresen yang meluas termasuk langkah-langkah mengehadkan beberapa bentuk imigresen yang sah.

Langkah membentuk semula program visa H-1B merupakan usaha paling berprofil tinggi oleh pentadbirannya untuk menyemak semula visa pekerjaan sementara.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita