Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yunnos Shariff, 77, dan Jenap Said, 62 antara penerima Anugerah Sukarelawan Cemerlang HTVN

Usia bukanlah penghalang bagi seseorang itu terus berkhidmat kepada masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usia bukanlah penghalang bagi seseorang itu terus berkhidmat kepada masyarakat.

Itulah pegangan dua penerima Anugerah Relawan Cemerlang Rangkaian Relawan Home Team (HTVN) tahun ini iaitu Encik Yunnos Shariff, 77 tahun dan Cik Jenap Said, 62 tahu.

Mereka merupakan antara empat pemenang sulung anugerah tersebut yang diperkenalkan sempena ulang tahun rangkaian itu yang ke-10.

Anugerah tersebut mengiktiraf para sukarelawan yang mengambil peranan kepimpinan, memaparkan komitmen yang kukuh dan penyertaan aktif.

BEKAS PEGAWAI SCDF AKTIF LAKUKAN KERJA SUKARELAWAN PADA USIA 77

(Gambar: SCDF)

(Gambar: SCDF)

Meski usianya sudah menginjak 77 tahun dan sudah mempunyai dua orang cicit, tidak terdetik lagi di fikiran Encik Yunos Shariff untuk berhenti berkhidmat kepada masyarakat.

Ini dilakukannya menerusi Unit Relawan Pertahanan Awam (CDAU) sebagai seorang pemandu pelawat di Galeri Warisan Pertahanan Awam (CDHG).

Tidak lokek berkongsi ilmu, beliau sering mengendalikan lawatan berpandu kepada para pelawat dan kumpulan-kumpulan tertentu, sambil berkongsi tentang pengalaman dan kisah lamanya sebagai seorang ahli bomba.

"Di dalam galeri itu, semua barang-barang lama dan ada yang tidak tahu mengenainya. Jadi saya akan terangkan kepada mereka nama alat tersebut dan kegunaannya," kongsi Encik Yunnos.

(Gambar: SCDF)

(Gambar: SCDF)

Walaupun sudah tidak lagi bergelar seorang anggota bomba, Encik Yunnos giat memainkan peranan dalam mendekati masyarakat dan meningkatkan kesedaran mereka tentang langkah-langkah keselamatan bagi elak kebakaran dan persediaan pada waktu kecemasan.

Jiwanya sudah sebati dengan kerja-kerja seorang anggota bomba bagaikan minat semula jadi yang mengalir dalam darahnya.

"Saya kirakan orang lama, bapa saya bekas bomba, abang saya pun bekas bomba, adik saya pun bekas bomba jadi saya juga meneruskannya," kongsi Encik Yunnos.

"Apabila saya sudah bersara dan pihak pengerusi meminta saya untuk bertugas di Unit Relawan Pertahanan Awam untuk menjaga barang-barang lama, saya pun setuju kerana memang niat saya selepas saya bersara kalau panjang umur, saya ingin menyertainya," tambahnya lagi.

Atas dedikasi dan sumbangannya kepada masyarakat, Encik Yunnos diiktiraf dengan Anugerah Sukarelawan Cemerlang HTVN.

KETUA SUKARELAWAN PROJEK REBEN KUNING INGIN DEKATI DIRI DENGAN BANDUAN

(Gambar: MHA) 

(Gambar: MHA)

Seorang lagi penerima anugerah yang sama ialah Cik Jenap M Said yang sudah melakukan kerja sukarelawan bersama Projek Reben Kuning (YRP) sejak 2012 lagi.

Percaya kepada peluang kedua, apa yang mendorong Cik Jenap untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama YRP ialah kerana beliau ingin mendekati para bekas banduan.

"Saya ingin mendekati mereka agar mereka dapat berkongsi pengalaman mereka di dalam (penjara) dan apa yang mereka impikan selepas dibebaskan agar saya dapat membantu mereka meneruskan kehidupan baru dan diterima oleh masyarakat," kongsi Cik Jenap.

Antara kenangan manis yang sentiasa terpahat di ingatannya adalah apabila beliau menyertai larian maraton sepanjang 24 jam yang dilakukannya untuk projek Dana Reben Kuning danberjaya mengumpul sebanyak $120,000.

(Gambar: Yellow Ribbon Project)

(Gambar: Projek Reben Kuning)

Bukan lari biasa-biasa tapi Cik Jenap berlari sejauh 60 kilometer mengenakan pakaian 'Catwoman'.

Oleh kerana itu jugalah nama gelaran 'Catwoman' melekat pada dirinya sehingga ke hari ini dan

"Dana ini disalurkan untuk bekas banduan bagi kebajikan dan pelajaran mereka jadi saya berbesar hati dapat memberi sokongan kepada projek ini kerana dapat membantu mereka," ujar Cik Jenap.

Kini pada usia 62 tahun, Cik Jenap masih terus aktif dalam kerja-kerja sukarelawan di YRP dan sudahpun menyandang jawatan sebagai ketua sukarelawan sejak 2016 lagi, atas keupayaannya mengetuai dan membimbing para sukarelawan lain semasa acara-acara YRP.

Sungguhpun begitu, anugerah ini memang sesuatu yang tidak beliau dijangkakan.

"Rasa gembira juga ada kerana dalam sesuatu yang saya lakukan, ianya ikhlas dari naluri saya dan saya tidak mengharapkan apa-apa penghargaan kerana saya ingin seseorang banduan yang saya bantu itu kembali kepada masyarakat dan mengubah cara hidup mereka," ujar Cik Jenap.

"Saya berharap buat masyarakat di luar sana jika ada masa lapang, mereka akan membuat kerja sukarelawan kerana di sinilah mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat di luar dan memahami keadaan mereka," tambahnya lagi.

16 SUKARELAWAN TERIMA ANUGERAH KOMENDASI

Encik Yunnos dan Cik Jenap merupakan antara empat penerima Anugerah Sukarelawan Cemerlang yang diraikan dalam majlis sambutan ulang tahun kesepuluh Rangkaian Sukarelawan Home Team (HTVN).

16 lagi sukarelawan turut diiktiraf dengan Anugerah Pujian HTVN.

(Gambar: MHA)

(Gambar: MHA)

Majlis yang diadakan secara maya itu turut dihadiri oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang, K Shanmugam.

Sejak ditubuhkan pada 2011, HTVN kini mempunyai sekitar 15,000 sukarelawan daripada 12 skim relawan di lapangan dan 45 Jawatankuasa, Majlis dan Lembaga Home Team.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa