Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yip Pin Xiu penerima sulung Anugerah Presiden bagi Pencapaian Berinspirasi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Feb 2022 06:35PM Dikemas Kini : 11 Feb 2022 08:46PM

SINGAPURA: Pemenang lima pingat emas sukan Paralimpik, Yip Pin Xiu pada Jumaat (11 Feb) menjadi penerima sulung Anugerah Presiden bagi Pencapaian Berinspirasi atas pencapaian cemerlang dan sumbangannya kepada masyarakat.

Presiden Halimah Yacob menyampaikan anugerah tersebut kepada atlit berusia 30 tahun itu di Istana. Ia pertama kali diumumkan di Parlimen pada Oktober 2021 oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.

Berucap di majlis itu, Presiden Halimah berkata anugerah tersebut mengiktiraf dan meraikan rakyat Singapura yang menunjukkan keberanian dan kegigihan untuk mengatasi kesukaran peribadi, cemerlang di pentas global dalam bidang masing-masing dengan sumbangan mereka memberi impak yang besar kepada masyarakat.

"Dengan pencapaian cemerlang Pin Xiu, sumbangan meluas kepada masyarakat dan ketabahan untuk mengatasi segala rintangan, amatlah wajar beliau menjadi penerima pertama Anugerah Presiden bagi Pencapaian Berinspirasi," kata Presiden Halimah.

'MENGGUNAKAN PENGARUHNYA UNTUK KEBAIKAN'

Cik Yip, yang dilahirkan dengan distrofi otot, menjadi warga Singapura pertama memenangi dua pingat emas di Sukan Paralimpik 2016, sekali gus mencatat dua rekod dunia.

Dia juga menjadi pemenang pingat emas pertama Singapura di Paralimpik 2008 di Beijing, dalam acara renang kuak lentang 50 meter S3 wanita.

Di temasya Paralimpik Tokyo 2021, Cik Yip memenangi dua emas, termasuk juara bertahan acara renang kuak lentang 50 meter S3 wanita yang dimenanginya di Rio pada 2016. Dia juga adalah pemegang rekod dunia acara itu.

"Selain pencapaiannya dalam bidang sukan, Pin Xiu juga membuat sumbangan berharga kepada masyarakat," kata Presiden Halimah.

Semasa menjadi Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dari 2018 hingga 2020, Cik Yip memperjuangkan "semangat inklusif dalam sukan dan meningkatkan kesedaran mengenai isu keganasan dan gangguan seksual", tambah Presiden Halimah.

"Minatnya yang mendalam dan penuh semangat untuk bertindak bukan sahaja mencetuskan perbincangan mengenai perkara ini tetapi juga mencabar masyarakat untuk memainkan peranan mereka ke arah kebaikan bersama."

Semasa menerima anugerah itu, Cik Yip berkata: "Saya amat berbesar hati kerana menerima anugerah sulung ini dan bersyukur atas pengiktirafan dan sokongan daripada Presiden Halimah Yacob dan Menteri Edwin Tong.

"Saya berharap anugerah ini menunjukkan bahawa ia bukan hanya tentang membuat pencapaian besar dalam kehidupan, tetapi kita perlu konsisten dalam melakukan tugas yang lebih kecil dan lebih mudah untuk sampai ke matlamat yang diinginkan."

Sebagai penyumbang aktif dan anggota Majlis Belia Kebangsaan(NYC) dan Pasukan Petugas Sukan Selamat Singapura, Cik Yip baru-baru ini dilantik ke Jawatankuasa Atlit Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bersama-sama atlit antarabangsa untuk berkhidmat sebagai duta bagi sukan anti-doping dan bersih.

Dia juga merupakan naib pengerusi jawatankuasa kerja Purple Parade - sebuah pergerakan yang meraikan warga kurang upaya.

"Pelibatan Pin Xiu dalam usaha ini adalah bukti nalurinya untuk berkhidmat dan menggunakan pengaruhnya demi kebaikan," kata Presiden Halimah.

Trofi yang diberikan kepada Cik Yip direka khas dan dibuat dengan tangan oleh pengukir tempatan Victor Tan.

Presiden Halimah juga menjemput rakyat Singapura untuk mencalonkan individu cemerlang yang memberi inspirasi dan kesan besar kepada masyarakat melalui kerja mereka.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan