Skip to main content

Singapura

Yayasan Temasek ikrar sumbangan 300,000 makanan percuma bantu golongan terjejas COVID-19

Yayasan Temasek akan membantu menyediakan 300,000 makanan kepada sekitar 2,750 orang yang terjejas oleh pandemik COVID-19. Ia mengumumkan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (29 Apr). Kos makanan itu menelan belanja sekitar S$780,000. 

Anggaran Waktu Membaca:
Yayasan Temasek ikrar sumbangan 300,000 makanan percuma bantu golongan terjejas COVID-19

(Gambar: Yong Jun Yuan/TODAY)

Diterbitkan : 30 Apr 2020 09:26PM Dikemas Kini : 30 Apr 2020 09:27PM

SINGAPURA: Yayasan Temasek akan membantu menyediakan 300,000 makanan kepada sekitar 2,750 orang yang terjejas oleh pandemik COVID-19. Ia mengumumkan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (29 Apr). Kos makanan itu menelan belanja sekitar S$780,000.

Cabang dermawan syarikat pelaburan negara Temasek Holdings menyatakan anggota masyarakat bersatu untuk menyokong golongan yang hidup mereka terjejas oleh krisis kesihatan dan ekonomi serta menghadapi masa sukar.

Bekerjasama dengan badan-badan amal dan sekolah-sekolah, ia menyasarkan untuk menyediakan makanan menerusi tiga program bantuan yang membantu kumpulan-kumpulan seperti warga emas, keluarga memerlukan, pelajar dari sekolah-sekolah khas serta penjaja.

Dua daripada program itu sudahpun dijalankan. Yayasan Temasek menyatakan ia bekerjasama dengan badan-badan amal seperti Free Food For All (FFFA) dan Willing Hearts sejak 20 April untuk menghantar 270,000 makanan percuma kepada sehingga 1,500 penerima bagi tempoh selama enam bulan.

Matlamat utama menerusi inisiatif itu adalah untuk memberikan makanan kepada individu berpendapatan rendah, warga tua yang hidup sebatang kara di flat sewa serta golongan dengan masalah perubatan sedia ada yang membuatkan mereka tidak mampu bergerak.

Encik Nizar Mohamed Shariff, Pengasas FFFA, menekankan betapa pentingnya untuk menyediakan kumpulan-kumpulan individu itu dengan "benteng pertahanan terhadap makanan yang tidak terjamin".

"Kami percaya masyarakat perlu bersatu untuk memastikan kelaparan tidak wujud dalam keluarga-keluarga kita kerana masyarakat yang bebas daripada rasa lapar adalah sebuah masyarakat yang kukuh," katanya.

Satu lagi program bantuan makanan sedang dijalankan oleh Yayasan Temasek untuk membantu sehingga 750 pelajar dari Sekolah Metta dan empat sekolah pendidikan khas - Sekolah Assumption Pathway, Sekolah Menengah Crest, Sekolah Northlight dan Sekolah Menengah Spectra.

Sekolah-sekolah itu masih dibuka semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari 8 April hingga 1 Jun sementara kebanyakan sekolah lain beralih ke pembelajaran di rumah.

Sejak 13 April, Yayasan Temasek sudah mula menyokong pengagihan sekitar 300,000 baucar makanan, catuan makanan atau juadah dibungkus kepada para pelajar di sekolah-sekolah pendidikan khas selama dua bulan.

Menyentuh tentang para pelajar yang dikenal pasti bagi program itu oleh Sekolah Menengah Spectra, Encik Tan Moon Choong, pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, berkata sesetengah pelajar pergi ke sekolah dengan perut kosong.

Pengetua Sekolah Menengah Crest, Encik Seet Tiat Hee, berkata para pelajarnya meminta makanan seperti roti, buah-buahan serta biskut dan bijirin.

Yayasan Temasek juga menyatakan pihaknya bekerjasama dengan Bank Makanan Singapura untuk membeli dan menghantar 7,000 makanan penjaja percuma kepada 500 orang serta keluarga memerlukan yang tidak menerima bantuan makanan daripada agensi-agensi lain. Bank Makanan Singapura menjalankan pelbagai program makanan untuk golongan memerlukan dan mendapatkan makanan melalui sumbangan makanan atau bekerjasama dengan pembekal atau peruncit makanan.

Mulai 4 Mei, Bank Makanan Singapura dan Yayasan Temasek menjalankan percubaan selama 14 hari bersama 30 penjaja daripada lima pusat penjaja seperti Pusat Makanan Maxwell dan Pusat Makanan Tanjong Pagar.

Sebahagian makanan itu akan dihantar oleh mereka yang tidak bekerja atau pekerja bergaji rendah dan mereka akan menerima sedikit bayaran bagi tugasan tersebut bagi menampung kehilangan mata pencarian mereka sewaktu tempoh ini.

Bulan lalu, Yayasan Temasek berganding bahu dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan 50 mililiter cecair pembasmi kuman secara percuma kepada semua keluarga di Singapura melalui kelab-kelab masyarakat serta pusat beli-belah merata negara.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita