Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yayasan Temasek akan agih pelitup guna semula secara percuma mulai 10 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Yayasan Temasek akan agih pelitup guna semula secara percuma mulai 10 Jan

Setiap penduduk Singapura boleh mengumpul satu pelitup guna semula MaskPure AIR+ percuma di mana-mana mesin layan diri #StayMasked yang terletak di seluruh pulau (Foto: Temasek Foundation)

Diterbitkan : 06 Jan 2022 04:19PM Dikemas Kini : 06 Jan 2022 04:21PM

SINGAPURA: Para penduduk Singapura boleh mendapatkan pelitup guna semula secara percuma mulai 10 Jan melalui satu lagi pengagihan kepada seluruh negara oleh Yayasan Temasek.

Para penduduk boleh mendapatkan satu pelitup guna semula MaskPure AIR+ secara percuma daripada mana-mana mesin layan diri bagi pelitup tersebut yang akan ditempatkan di merata negara, menurut Yayasan Temasek dalam catatan Facebooknya pada Khamis (6 Jan).

Pengagihannya akan bermula dari pukul 10.00 pagi, 10 Jan sehingga 11.59 malam pada 23 Jan.

"Terdapat bekalan yang mencukupi, jadi tidak perlu tergesa-gesa," menurut Yayasan Temasek dalam kenyataan medianya.

Direka khas oleh ST Engineering, pelitup antimikrob itu dilengkapi dengan lapisan tengah bertaraf N95 dan "kecekapan penapisan zarah" pelitup tersebut melebihi 95 peratus.

Pelitup itu menawarkan penapisan gred N95 yang "terbukti" berkesan terhadap PM2.5 dan zarah berbahaya dan perlindungan antimikrob pelitup berkenaan adalah 99.9% terhadap virus dan bakteria, dedah Yayasan Temasek.


Pelitup kalis air itu boleh dibilas seminggu sekali atau apabila ia kotor. Ia berupaya mengekalkan ciri perlindungannya sehingga 30 bilasan atau lebih daripada tujuh bulan jika dipakai setiap hari dan dibilas setiap minggu.

Selepas 30 bilasan, pelitup tersebut boleh digunakan seperti pelitup biasa atau dengan pelitup lain untuk perlindungan tambahan, dedah syarikat itu selanjutnya.

"Cara pembilasan yang salah akan mengurangkan keberkesanan dan ketahanan pelitup tersebut," menurut Yayasan Temasek.

Pelitup itu ditawarkan dengan dua saiz, M dan L, untuk semua orang dewasa dan sesetengah remaja yang lebih tua. Tiada saiz kanak-kanak bagi pelitup guna semula ini.

Oleh kerana saiznya berbeza daripada pengagihan sebelum ini, Yayasan Temasek mengingatkan orang ramai supaya memeriksa saiz masing-masing melalui stayprepared.sg/sizing-guide sebelum mengambil atau menempah lebih banyak pelitup.

Tiada pertukaran atau bayaran balik selepas mengambil pelitup tersebut atas sebab kebersihan.

PELITUP TAMBAHAN BOLEH DITEMPAH

Pelitup tambahan juga boleh ditempah online pada harga S$13 setiap satu, menurut Yayasan Temasek.

Tempahan akan dibuka dari 10 Jan sehingga 22 Jan melalui stayprepared.sg/buymasks. Para penduduk boleh menempah sehingga lima pelitup bagi setiap jenis pelitup, tertakluk kepada bekalan.

Para penduduk juga dinasihatkan supaya mengambil dan mencuba dahulu pelitup yang diagihkan secara percuma itu bagi memeriksa saiz yang betul sebelum menempah lebih banyak pelitup.

Agihan pelitup percuma ini adalah yang kelima oleh Yayasan Temasek selepas tiga kali berbuat demikian pada 2020 dan sekali lagi pada tahun lalu.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan