Yayasan NTUC derma S$40,000 kepada Dana Amanah Pendidikan MENDAKI sempena Ramadan
Yayasan NTUC FairPrice mendermakan S$40,000 kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI.
SINGAPURA: Yayasan NTUC FairPrice mendermakan S$40,000 kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI.
Pengagihan cek pendermaan itu diadakan di acara Hari Raya Do Good pada Ahad (26 Mac) di pasar raya NTUC Fairprice di Hab Tampines Kita, dan dihadiri tetamu terhormat Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zukifli.
Encik Masagos berkata bahawa ETF MENDAKI menyediakan huraian kepada keperluan para pelajar, melebihi keperluan pendidikan seperti tuisyen.
"Kalau dahulu, telefon bimbit hanya untuk keperluan mereka yang berada. Tetapi sekarang ini, semua orang juga memerlukan telefon bimbit. Jadi kita perlu menyediakan sokongan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan untuk terus menjalani hidup di Singapura."
"Kita berharap bahawa menerusi penambahan dana di dalam ETF, para pelajar ini juga akan mendapat lebih banyak fleksibiliti dari segi huraian kepada keperluan mereka dari segi pendidikan," tambah Encik Masagos.
Menurut Ketua Pegawai Perolehan Fairprice, Encik Tng Ah Yiam, derma kepada MENDAKI akan dapat membantu menampung kos keperluan anak-anak daripada keluarga-keluarga yang memerlukan.
"Derma ini akan membantu mengurangkan kos pendidikan para pelajar termasuk yuran sekolah, kos pengangkutan serta kos untuk membeli buku-buku sekolah. Ini adalah tahun ke-10 kita membuat dermaan kepada MENDAKI, dan sejauh ini sudah menyumbang lebih S$400,000 untuk menyokong para pelajar ini," ujar Encik Tng.
Selain pengagihan cek kepada MENDAKI, pihak Fairprice juga memperkenalkan inisiatif-inisiatif Ramadan untuk masyarakat Melayu/Islam setempat.
Ini termasuk lebih banyak tawaran produk halal dan agihan 'Pek Iftar' bagi para pelanggan Muslim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.