Skip to main content

Singapura

Yayasan MENDAKI lantik 4 anggota Lembaga Pengarah baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Aug 2026 08:55PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:04PM
  • Yayasan MENDAKI melantik Dr Syed Harun Alhabsyi, Dr Hamid Razak, Hazlina Halim dan Shariq Barmaky ke Lembaga Pengarah pada 28 Ogos di Wisma MENDAKI.
  • Zaqy Mohamad berkata pelantikan itu memperbaharui kepimpinan, menyusuli pemilihan semula pada Mei, dengan keseluruhan 21 anggota lembaga kini dilantik.
  • Anggota baharu dijangka menyumbang pengalaman dalam pendidikan, pembangunan wanita, kewangan, khidmat profesional dan kerjasama masyarakat, termasuk melalui platform M³+.
  • Sallim Abdul Kadir, Sharael Taha dan Mariam Jaafar menamatkan perkhidmatan, sementara lembaga baharu akan memperkukuh pendidikan, sosial dan pembangunan masyarakat Melayu/Islam.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Empat anggota baharu dilantik untuk menyertai Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI pada Jumaat (28 Ogos), semasa mesyuarat Lembaga Pengarah di Wisma MENDAKI.

Mereka ialah Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi, Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast–Jurong West, Dr Hamid Razak, AP GRC East Coast, Hazlina Halim, dan Rakan Kongsi Pengurusan Deloitte Singapura, Shariq Barmaky.

Keempat-empat anggota baharu dilantik oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, dengan tujuan untuk memperbaharui barisan kepimpinan pertubuhan itu.

Pelantikan tersebut menyusuli pemilihan semula lima pengarah baharu, serta pemilihan semula seorang pengarah semasa Mesyuarat Agung Tahunan MENDAKI pada Mei lalu.

Secara keseluruhan, 21 anggota Lembaga Pengarah dilantik.
Related article image
Kiri ke kanan - Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Pembangunan Negara, Dr Syed Harun, Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Hazlina Halim, AP GRC West Coast–Jurong West, Dr Hamid Razak dan Rakan Kongsi Pengurusan Deloitte Singapura, Shariq Barmaky. (Gambar: Yayasan MENDAKI)


SETIAP ANGGOTA BOLEH SUMBANG KEPAKARAN TERSENDIRI

Menurut Encik Zaqy, setiap anggota mempunyai kepakaran dan pengalaman tersendiri yang dapat disumbangkan kepada MENDAKI.

"Encik Syed Harun membawa kepimpinan beliau dalam arena pendidikan, Cik Hazlina pula membawa pembangunan wanita sebagai satu-satunya pengalaman beliau semasa beliau Presiden PPIS," jelas Encik Zaqy.

"Saya rasa usaha kerja MENDAKI mendampingi masyarakat ^memberi peluang bagi saya untuk terus berbakti kepada masyarakat. Seiringan dengan itu, dalam jawatan saya sebagai Setiausaha Kanan Parlimen bagi Kementerian Pendidikan terutamanya, saya rasa terdapat kesinambungan atas usaha kita untuk mendampingi masyarakat dan memberikan terbaik terutama sekali bagi pelajar dan belia- belia kita," kongsi Dr Syed Harun.

Bagi Cik Hazlina, beliau berharap kerjasama antara sektor swasta, awam dan masyarakat dapat diteruskan supaya setiap individu terlibat dan terdorong untuk melakukan terbaik buat masyarakat.

"Saya berharap pengalaman bekerjasama di kalangan masyarakat dan juga pendekatan untuk terus menyantuni masyarakat bermakna kita dapat menjadi titian dari segi mencapai aspirasi menangani cabaran dan juga menyediakan sokongan yang bersesuaian," kata beliau.

Encik Zaqy juga berharap dengan penglibatan Encik Hamid Razak, MENDAKI dapat menganjurkan lebih banyak program bersama badan-badan India Islam.

Selain anggota parlimen, Rakan Kongsi Pengurusan Deloitte Singapura, Shariq Barmaky, mampu memainkan peranan dalam pentadbiran MENDAKI, tambahnya.

"Jika anda lihat bagaimana M³+ beroperasi, ia menggalak pertubuhan akar umbi untuk bekerjasama dengan MENDAKI, dan saya fikir M³+ akan terus menjadi platform di mana pertubuhan Melayu/Islam, India/Islam dan mana-mana pertubuhan akar umbi dalam masyarakat boleh bekerjasama untuk melakukan kebaikan," kata Encik Hamid Razak.

"Dengan pengalaman saya dalam bidang kewangan dan khidmat profesional, saya boleh membantu masyarakat untuk lebih memahami tentang perkhidmatan profesional, pembankan dan kewangan," kata Encik Shariq.

Related article image
(Gambar: Yayasan MENDAKI)
26 TAHUN MENYUMBANG PENGALAMAN BERSAMA MENDAKI

Bagi Sallim Abdul Kadir, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas 26 tahun, beliau mengaku bahawa pelbagai pencapaian telah diraih masyarakat Melayu/Islam.

"Bila saya masuk ke dalam MENDAKI dalam tahun 2000, tentu sekali masa itu masyarakat Melayu Islam Singapura ini berkaitan dengan pendidikan, memang rendah sekali. Dari itu MENDAKI dapat mengajukan beberapa inisiatif untuk memajukan anak-anak Melayu/Islam Singapura," ujar Encik Sallim.

Turut menamatkan tempoh perkhidmatan mereka ialah AP GRC Pasir-Ris Changi, Sharael Taha dan AP GRC Sembawang, Mariam Jaafar yang masing-masing berkhidmat sebagai pengarah selama dua tahun sejak Jun 2024.

Lembaga Pengarah baharu itu akan memacu usaha memperkukuh pendidikan, sosial dan pembangunan masyarakat Melayu/Islam.

Berbekalkan kepakaran dalam sektor awam, korporat dan masyarakat, lembaga tersebut akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempertingkat program, penglibatan masyarakat dan peluang bagi individu serta keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita