Skip to main content

Singapura

Yayasan MENDAKI kerjasama dengan NYP; bangunkan kursus AI percuma untuk masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jun 2026 05:59PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 11:01AM
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Politeknik Nanyang (NYP) bagi memperluaskan latihan AI dan teknologi kepada masyarakat pada Sabtu (13 Jun).

Di bawah MOU itu, beberapa kursus percuma akan disediakan, terutama sekali untuk golongan ibu bapa dan golongan belia bagi meningkatkan pemahaman tentang AI dan penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Pemeteraian MOU berlangsung di Hab Tampines Kita sempena acara Raikan Ilmu@Heartlands anjuran MENDAKI.

Raikan Ilmu@Heartlands dilancarkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

MENDAKI METERAI MOU DENGAN POLITEKNIK NANYANG; PERKASA USAHA PENGGUNAAN AI

Dalam ucapannya, Dr Faishal menekankan bahawa dunia hari ini sedang berubah dengan pantas akibat kemajuan teknologi dan AI.

Beliau menegaskan bahawa acara Raikan Ilmu adalah salah satu cara untuk membawa pembelajaran dan persiapan untuk masa depan lebih dekat kepada masyarakat.

Dr Faishal berkata: "Ini penting kerana teknologi dan AI sedang mengubah cara kita belajar, bekerja dan menjalankan perniagaan. Kami akan terus membantu masyarakat kita membina keyakinan dan kemahiran untuk menyesuaikan diri serta memanfaatkan peluang-peluang baharu."

"Ini juga merupakan hala tuju di sebalik Jawatankuasa Daya Tahan Ekonomi, yang meneruskan usaha berdasarkan saranan-saranan Kajian Strategi Ekonomi (ESR) untuk mengenal pasti laluan-laluan praktikal bagi para pekerja, profesional, usahawan dan belia kita."

"Oleh kerana mereka (Politeknik Nanyang) adalah politeknik yang sering mempunyai kebolehan dalam AI dan sebagainya, kita mahu menggunakan sumber-sumber yang ada dan juga dengan itu kita memberi peluang bagi anak kita dan juga pekerja-pekerja kita yang ingin dilatih dan ingin meraih manfaat daripada kursus tersebut," tambah Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad.
Related article image
Pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands di Hab Tampines Kita. (Gambar: Yayasan Mendaki)
Menurut MENDAKI, kerjasama itu juga akan menyediakan peluang latihan dan penempatan kerja yang tersusun untuk para pelajar Politeknik Nanyang.

Selain itu, ia juga bakal menyokong pembangunan keupayaan para pelajar di samping melaksanakan inisiatif bersama dalam bidang digital dan teknologi maklumat (IT).

Encik Zaqy berkongsi beberapa MOU turut dimeterai sebelum ini dengan universiti, politeknik dan syarikat korporat lain.
LEBIH 90 RAKAN KONGSI, 100 KEGIATAN UNTUK MASYARAKAT PERKASA KEMAHIRAN

Raikan Ilmu@Heartlands 2026 tampil dengan model kerjasama M³+ yang diperkukuh bagi membawa peluang pembelajaran lebih dekat kepada masyarakat Melayu/Islam.

Model tersebut menyatukan usaha M³@Bandar, pertubuhan Melayu/Islam (MMO) serta rakan-rakan kerjasama nasional, masyarakat dan korporat.

Yayasan MENDAKI bekerjasama dengan lebih daripada 90 rakan kongsi tahun ini merentasi pelbagai sektor, terutama sekali dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Jumlah itu sekitar 50 peratus lebih banyak berbanding tahun lalu.

Menurut MENDAKI, ia sekali gus membolehkan program disesuaikan mengikut keperluan penduduk di kawasan kejiranan masing-masing di samping mengurangkan pertindihan usaha dan memperkukuh sokongan kepada individu serta keluarga.
Related article image
(Gambar: Yayasan Mendaki)

PARA PENGUNJUNG PERKASA DIRI MENERUSI LEBIH 30 RERUAI DI HAB TAMPINES KITA

Di Hab Tampines Kita, para pengunjung dapat mencuba pelbagai kegiatan terutama yang berteraskan ilmu AI, robotik.

Ia termasuk reruai Aeroviation yang mengenalkan konsep penerbangan menerusi cabaran mendaratkan kapal terbang secara imersif manakala kegiatan memadankan warisan Melayu dengan pemikiran komputasi menggunakan anyaman daun pandan.

Para pengunjung turut menyifatkan acara tersebut sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan memberi pendedahan baharu.

Abdul Hannan Sufian, 10 tahun, berkata: "Tadi saya pergi ke reruai VM Education. Saya berasa seronok dan ghairah di acara ini. Acara di VM Education ialah bermain dengan matematik," kongsinya.

Seorang lagi peserta, Muhammaed Farihin Nor Azmi, 10 tahun, berkata beliau mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan.

"Hari ini saya datang sama saya kawan-kawan, saya ke banyak reruai, di situ ada dron, ada robot, ada polis, ada bola jaring, pencetakan 3D dan banyak lagi," kata Farihin.

Dia berkata pengalaman itu menyeronokkan kerana dapat dilakukan bersama rakan-rakan.

Sementara itu, ibunya Sahida Hussin berkata, acara tersebut membantu kanak-kanak membina keyakinan diri dan mempelajari pelbagai perkara baharu.

Related article image
Abdul Hannan Sufian.
Related article image
Muhammaed Farihin Nor Azmi bersama ibunya, Sahida Hussin.
Bilik BERITA Mediacorp juga turun padang ke Hab Tampines Kita untuk menyediakan peluang para pengunjung menyelami sendiri apa rasanya menjadi penyampai berita.

Raikan Ilmu@Heartlands di OTH akan berlangsung sehingga Ahad (14 Jun).

10 lagi acara Raikan Ilmu@Hearlands akan diadakan sehingga Oktober termasuk di kawasan kejiranan seperti Pasir Ris, Jalan Kayu dan Punggol.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita