Skip to main content

Singapura

Yayasan Jantung SG bakal buka pusat kesihatan ke-4 di Bedok jelang 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Yayasan Jantung SG bakal buka pusat kesihatan ke-4 di Bedok jelang 2027

Usaha akan dipergiat untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan jantung di Singapura, termasuk program untuk mengajar kanak-kanak kecil cara bertindak balas terhadap kecemasan jantung.

Diterbitkan : 23 Mar 2026 06:16PM Dikemas Kini : 23 Mar 2026 06:17PM
SINGAPURA: Yayasan Jantung Singapura merancang untuk membuka pusat kesihatan keempatnya di Bedok menjelang hujung tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi penyakit kardiovaskular dan mengurangkan tekanan penduduk yang semakin tua.

Agensi perkhidmatan sosial terkemuka untuk kesihatan jantung itu kini mempunyai tiga cawangan di Bishan, Bukit Batok dan Bugis.

Pusat-pusat ini menyediakan peralatan dan kepakaran untuk membantu pesakit mengekalkan tabiat sihat dan menguruskan faktor risiko mereka.

Pusat baharu di timur akan membolehkan agensi itu menyokong lebih ramai pesakit, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Jantung Singapura, Geoffrey Ong.

“Kami tahu ada pelanggan di sana, dan sebahagian daripada mereka mendapati sukar untuk pergi ke pusat atau ke barat Singapura untuk pemulihan,” katanya kepada Mediacorp.

Agensi itu juga bekerjasama dengan pertubuhan seperti Sport Singapore untuk mendekatkan perkhidmatannya kepada pesakit sedia ada dan pesakit baharu, tambahnya.

MENINGKATKAN KESEDARAN TENTANG KESIHATAN JANTUNG

Penyakit kardiovaskular kekal sebagai salah satu punca utama kematian di Singapura, menyumbang kira-kira satu daripada tiga kematian.

Walaupun kadar ini turun sedikit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kadar perubahannya agak perlahan.

Dari 2021 hingga 2024, kadar kematian disebabkan penyakit kardiovaskular turun daripada sekitar 32 peratus kepada kira-kira 30.5 peratus.

Namun begitu, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan, tegas Encik Ong, sambil menambah bahawa agensi itu menyasarkan untuk terus meningkatkan kesedaran tentang kesihatan jantung.

Ia memperluaskan program di bawah naungannya, termasuk mendidik kanak-kanak seawal usia lima tahun bagaimana untuk bertindak balas dalam kecemasan jantung.

Kanak-kanak diajar tentang tekanan darah, cara membaca dan mengambil ukuran, dan cara mengenali penyakit kardiovaskular.

Encik Ong menambah bahawa yayasan itu juga meminjamkan monitor tekanan darah kepada kanak-kanak ini supaya mereka boleh membawa pulang alat tersebut untuk ditunjukkan kepada ibu bapa dan datuk nenek mereka.

Daripada mengenali tanda-tanda serangan jantung hinggalah menghubungi 995 dan memaklumkan orang dewasa, usaha ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk mengembangkan kumpulan responden kecemasan yayasan.

TERUSKAN USAHA SELAMATKAN NYAWA

Dalam temu bual itu, Encik Ong menyeru lebih ramai sukarelawan yang boleh membantu semasa kecemasan, serta sumbangan untuk meneruskan inisiatif yang tertumpu pada pencegahan dan mengurangkan kos jagaan kesihatan jangka panjang.

Beliau berkongsi bahawa yayasan itu sedang mendekati institut-institut pengajian tinggi dan korporat dengan program Restart A Heart, kursus latihan CPR yang dipermudahkan dan defibrilator luaran automatik (AED) yang melengkapkan orang awam dengan kemahiran menyelamatkan nyawa yang penting.

Ia juga bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Angkatan Pertahanan Awam Singapura, St John Singapura dan Palang Merah Singapura untuk memastikan lebih ramai rakyat Singapura tahu cara bertindak balas dalam kecemasan jantung.

Berdasarkan pengalaman selama dua dekad beliau dalam sektor kewangan dan perbankan, Encik Ong berkata bahawa ramai orang "menghabiskan masa siang dan malam hanya menumpukan perhatian kepada perdagangan dan angka" tanpa memberi perhatian yang mencukupi kepada kesihatan mereka, terutamanya kesihatan jantung.

Sekalipun demikian, usaha tersebut juga ada cabarannya sendiri.

Encik Ong berkata ada salah tanggapan umum bahawa Yayasan Jantung Singapura dibiayai oleh pemerintah, sedangkan sebenarnya ia sebahagian besarnya bergantung pada derma.

Beliau menjelaskan bahawa 99 peratus daripada aktiviti dan subsidinya untuk pelanggan disokong oleh derma, yang menjadikan pembiayaan sebagai cabaran utama.

Beliau juga menekankan pentingnya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular: “Saya dapati apabila … orang ramai mulakan lebih awal (dengan pencegahan), mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat. Kemudian kita sebenarnya boleh mengurangkan beban kos kesihatan negara dalam jangka panjang.”
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita