Skip to main content

Singapura

Yayasan Gates akan buka pejabat di SG

Pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan (NPO) milik hartawan Bill Gates, Yayasan Gates akan membuka sebuah pejabat di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Yayasan Gates akan buka pejabat di SG

Pengasas bersama Yayasan Gates, Bill Gates dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada 5 Mei 2025. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)

SINGAPURA: Pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan (NPO) milik hartawan Bill Gates, Yayasan Gates akan membuka sebuah pejabat di Singapura.

Semasa berucap di Sidang Puncak Kedermawanan Asia 2025 di Singapura pada Isnin (5 Mei), pengasas bersama Microsoft itu berkata pejabat itu akan "mengakses sains dan bekerjasama dengan masyarakat dermawan" dan "menyertai penyelidikan yang sedang dijalankan" di negara ini.

Kehadiran yayasan itu di Singapura akan diusahakan dengan sokongan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

"Lokasi Singapura yang strategik dan ekosistem penyelidikannya yang kukuh menjadikan negara ini platform yang kukuh untuk memajukan inovasi jagaan kesihatan, teknologi kewangan dan (kecerdasan buatan) yang boleh memberikan kesan bermakna di rantau ini dan seluruh dunia," kata pengarah pengurusan EDB Jermaine Loy dalam satu kenyataan.

Dibangunkan pada 2000 oleh Encik Gates dan bekas isterinya, Melinda French Gates, Yayasan Gates adalah sebuah pertubuhan dermawan yang bertujuan mempertingkatkan kesihatan global, akses kepadan pendidikan dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Penubuhan yayasan itu di Singapura mencerminkan komitmen lebih luas yayasan itu untuk bekerjasama dengan negara-negara dan rakan-rakan kongsi bagi membantu lebih ramai orang menjalani kehidupan lebih sihat dan produktif serta memacukan kemajuan ke arah matlamat pembangunan mampan.

Dalam satu catatan di Facebook, Perdana Menteri Lawrence Wong yang bertemu dengan Encik Gates pada Isnin berkata: "Singapura mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Yayasan Gates bagi memajukan inovasi dan memperbaiki kehidupan - di Asia dan di seluruh dunia."

Encik Wong berkata beliau "mengadakan perbincangan menyeluruh" dengan Encik Gates "mengenai cabaran di masa hadapan, dari segi tenaga bersih hingga pembangunan vaksin".

Encik Gates juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Isnin.

Encik Lee berkongsi bahawa mereka “saling berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu, daripada usaha menghapuskan polio dan sakit campak hingga membangunkan teknologi baharu bagi tenaga nuklear".

Mereka juga membincangkan bagaimana Yayasan Gates boleh memperluaskan kerjasama dengan entiti di Singapura seperti Temasek Trust dan universiti-universiti tempatan.

"Kami mengalu-alukan Yayasan Gates dan pihak lain untuk terus membawa perniagaan dan kepentingan mereka ke Singapura, melabur dalam ekosistem kita dan mengeratkan hubungan dengan rantau ini," kata SM Lee dalam catatan Facebook.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita