Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yaw Shin Leong dakwa diarah 'tutup mulut' ketika dipecat WP pada 2012

Bekas Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Yaw Shin Leong menulis di Facebook menyangkal kenyataan Encik Singh minggu lalu bahawa bekas AP itu dipecat setelah dikatakan gagal mempertanggungjawabkan dirinya kepada parti dan orang awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Yaw Shin Leong dakwa diarah 'tutup mulut' ketika dipecat WP pada 2012

Bekas AP WP Yaw Shin Leong (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 07:35PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 08:53PM

SINGAPURA: Bekas Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Yaw Shin Leong menafikan kenyataan dibuat oleh ketua parti itu Pritam Singh minggu lalu bahawa beliau dipecat daripada parti pembangkang itu pada 2012 — atas dakwaan mempunyai hubungan sulit — kerana dia dikatakan gagal mempertanggungjawabkan dirinya kepada parti dan orang awam.

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin (6 Dis), Encik Yaw yang menulis menggunakan nama samaran "Amos Rao", menegaskan dakwaan Encik Singh itu sebagai tidak benar.

Encik Singh membangkitkan kejadian pada 2012 itu semasa sidang media Khamis lalu mengenai peletakan jawatan bekas AP WP Raeesah Khan daripada parti itu pada 30 Nov. Ini selepas Cik Raeesah mengaku berbohong di Parlimen semasa ucapannya pada Ogos.

Menulis di Facebook, Encik Yaw berkata beliau telah "menjelaskan keadaan itu secara terus terang" kepada setiausaha agung parti ketika itu, Encik Low Thia Khiang, sebelum dakwaan-dakwaan itu dikemukakan.

Dan apabila dakwaan itu didedahkan, beliau "segera memberitahu " Encik Low dan pengerusi parti Sylvia Lim.

"Saya dinasihatkan supaya tutup mulut," kata Encik Yaw.

Encik Yaw berkata beliau "mengutamakan parti daripada diri sendiri" dan untuk "mengurangkan kesan buruk", beliau berdiam diri serta meletak jawatan daripada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti.

“Niat saya adalah untuk menyerahkan kepada CEC WP corak naratif yang diperlukan. Bagi memudahkan proses itu, saya keluar negeri secara sukarela,” katanya.

Meskipun demikian, Encik Yaw berkata beliau dipecat daripada parti pada 14 Feb 2012 kerana "mencabuli keyakinan, kepercayaan dan jangkaan parti dan rakyat".

"Saya terima naratif ini, tetapi saya tidak setuju dengan apa yang Pritam katakan, kerana saya mengambil tanggungjawab terhadap tindakan saya sendiri."

Dalam kenyataannya Khamis lalu, Encik Singh mengaku bahawa pemimpin parti tahu bahawa Cik Raeesah, bekas AP GRC Sengkang, telah berbohong seminggu selepas beliau menyampaikan ucapannya di Parlimen. Ini bermakna mereka tahu tentang hal itu hampir tiga bulan sebelum Cik Raeesah berterus terang di Parlimen mengenai pembohongannya dan kemudian meletak jawatan.

Seorang wartawan menarik perhatian bahawa Encik Yaw dipecat dalam masa sebulan selepas dakwaan mengenai hubungan sulit itu timbul, dan bertanya kepada Encik Singh mengapa terdapat "perbezaan dalam jangka masa" ini.

Menjawab, Encik Singh berkata tindakan Cik Khan berlaku di Parlimen, dan apabila beliau mengaku berbohong, parti itu perlu menilai tindakannya berhubung kelakuan bekas AP itu.

"Terdapat beberapa perkara yang harus kita lakukan, dan kami tidak merasakan perlu tergesa-gesa dalam proses itu. Beliau adalah seorang Anggota Parlimen, dan adalah penting membiarkan keadilan berlaku,” katanya.

Mengenai Encik Yaw, Encik Singh berkata bekas anggota itu "gagal mempertanggungjawabkan dirinya" kepada parti selepas dakwaan terhadapnya dibuat.

"Beliau tidak bercakap kepada media, beliau tidak berterus terang kepada parti," kata Encik Singh.

"Kami bersedia memberinya ruang untuk menguruskan hal tersebut, tetapi ia berlarutan, hingga ke satu tahap di mana tindakannya itu sesuatu yang tidak munasabah."

Encik Singh berkata ini "tidak dapat diterima" dan parti itu mengambil keputusan untuk memecat Encik Yaw.

Encik Yaw dipilih menjadi AP Kawasan Undi Persendirian (SMC) Hougang dalam Pilihan Raya Umum 2011.

Pada Januari 2012, timbul dakwaan hubungan sulitnya dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Encik Yaw memberitahu media ketika itu bahawa beliau tidak akan mengulas mengenai khabar angin tersebut.

Pada 15 Feb, parti itu mengumumkan Encik Yaw dipecat, dan pilihan raya kecil diadakan yang menyaksikan anggota WP Png Eng Huat mengambil alih jawatan Encik Yaw sebagai AP Hougang.

Dalam catatan Facebooknya pada Isnin, Encik Yaw berkata beliau "tidak akan melayan sebarang pertanyaan media dan membiarkan sahaja (perkara itu) seperti adanya".

Mediacorp sudah menghubungi WP untuk mendapatkan ulasannya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan