Skip to main content

Singapura

Yang mana benar? Kenyataan Raeesah Khan berbanding ketua WP Pritam Singh

"Respons awal Pritam Singh ialah saya harus memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa," menurut keterangan Cik Raeesah. Apa lagi yang didedahkan bekas AP GRC Sengkang itu, ada yang bercanggah dengan kenyataan Encik Singh...

Anggaran Waktu Membaca:
Yang mana benar? Kenyataan Raeesah Khan berbanding ketua WP Pritam Singh

(Gambar: Gov.sg/YouTube dan CNA)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 11:07PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 11:18PM

SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen GRC Sengkang, Raeesah Khan mendakwa beliau diberitahu kepimpinan Parti Pekerja (WP) untuk mengekalkan naratif pembohongan yang dibuatnya pada 3 Ogos lalu di Parlimen.

Cik Raeesah mendakwa dimaklumkan ketua WP Pritam Singh, pengerusi Sylvia Lim dan naib pengerusi Faisal Manap semasa mesyuarat pada 8 Ogos, bahawa tidak perlu baginya membuat penjelasan atau menyatakan kebenaran.

Pendedahan Cik Raeesah itu terkandung dalam satu laporan khas Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen yang dikeluarkan lewat malam Jumaat (3 Dis).

Beberapa keterangannya mempertikaikan kenyataan yang dibuat Encik Singh semasa sidang media pada Khamis (2 Dis) - menimbulkan persoalan baru berhubung apa yang menyebabkan Cik Raeesah meneruskan pembohongan itu sebelum akhirnya membuat pengakuan di Parlimen pada 1 November.

Berikut adalah perbandingan kenyataan mereka, berdasarkan apa yang Encik Singh memberitahu wartawan semasa sidang media itu dan keterangan Cik Raeesah di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen:

MENGAPA BELIAU TIDAK MENGAKU BOHONG LEBIH AWAL

Menurut Encik Singh: Beliau memberitahu sidang media di ibu pejabat WP pada Khamis (2 Dis) bahawa apabila beliau mula-mula bertanya kepada Cik Raeesah tentang kejadian itu, wanita itu berpegang pada kenyataan awalnya - beliau telah menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis untuk melaporkan kejadian itu dan mangsa dilayan secara tidak sensitif oleh anggota polis.

Ketua WP itu berkata hanya selepas Cik Raeesah didesak berulang kali barulah beliau mengaku telah berbohong. Insiden ini berlaku sekitar seminggu selepas ucapannya di Parlimen pada 3 Ogos.

Cik Raeesah mendedahkan beliau sendiri merupakan mangsa serangan seksual, selain perkara berkaitan yang "bersifat sangat peribadi", kata Encik Singh, sambil menambah bahawa ini tidak diketahui pihak kepimpinan parti sehingga ketika itu.

Encik Singh berkata WP tidak bertindak lebih awal kerana mahu memberi masa kepada Cik Raeesah untuk bercakap dengan keluarganya tentang perkara itu, dan Cik Raeesah sendiri yang harus membetulkan kenyataan yang tidak benar itu di Parlimen.

Encik Singh, yang juga Ketua Pembangkang, berkata: "Pada pertimbangan saya, adalah penting untuk beliau berbuat demikian sebelum dapat menangani sepenuhnya sebab di sebalik kenyataan tidak benar beliau di Parlimen dan untuk membetulkan rekod itu."

Cik Lim dan Encik Faisal juga dimaklumkan tentang pembohongan Cik Raeesah pada masa yang sama, tambahnya.

Encik Singh berkata Cik Raeesah mengulangi kenyataan tidak benar itu dalam rekod Parlimen pada 4 Okt yang "sama sekali tidak selari dengan pendedahan yang telah dikongsikannya dengan kepimpinan parti selepas 3 Ogos".

Pun begitu, Encik Singh berkata sebelum sidang parlimen itu, Cik Raeesah sudah dimaklumkan bahawa "sebarang penjelasan di parlimen mengenai perkara ini adalah haknya atas kapasiti sebagai Anggota Parlimen yang dipilih".

“Sebaik sahaja sidang Parlimen ditangguhkan pada Oktober, Raeesah bersetuju dengan kepimpinan parti beliau perlu menjelaskan duduk perkara. Saya berkongsi dengannya bahawa itu adalah perkara yang sebaiknya dilakukan.”

Menurut Cik Raeesah: Dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, Cik Raeesah berkata beliau menelefon Encik Singh pada 7 Ogos untuk memberitahu perkara sebenar selepas ketua WP itu mendesaknya untuk membuktikan anekdot yang dikongsi di Parlimen.

Menurutnya beliau berjumpa dengan Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal pada keesokan harinya untuk membincangkan perkara itu.

Ketiga-tiga pemimpin parti itu menunjukkan "kekecewaan yang luar biasa", "marah yang teramat" namun juga belas kasihan, katanya kepada jawatankuasa itu.

"Reaksi mereka adalah jika saya tidak didesak, maka perkara terbaik adalah untuk mengekalkan naratif yang saya buat pada Ogos," katanya.

Sebagai menjawab, Encik Edwin Tong, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, yang juga anggota jawatankuasa hak istimewa parlimen, bertanya kepada Cik Raeesah sama ada ini bermaksud "jika anda dapat lepas, kami (WP) tidak perlu menjelaskan tentang pembohongan itu".

Cik Raeesah menjawab bahawa ini adalah betul.

Encik Tong kemudian bertanya sama ada reaksi awal pemimpin WP apabila diberitahu terdapat pembohongan adalah untuk "cuba mengelak isu itu jika boleh, dan jika ia tidak ditimbulkan, maka hal yang sebenar mungkin tidak akan diberitahu akhirnya".

Cik Raeesah menjawab: "Saya perlu katakan, bahawa respons awal Pritam Singh ialah saya harus memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa. Tetapi selepas berbincang dan saya menjelaskan keadaan yang membawa saya kepada maklumat itu, ia berubah."

Beliau hanya bercakap lagi dengan Encik Singh mengenai perkara itu hampir dua bulan kemudian, pada 3 Oktober, apabila Encik Singh pergi ke rumah Cik Raeesah seorang diri, kongsinya.

Encik Singh memberitahunyabeliau akan didesak mengenai hal itu di Parlimen pada keesokan harinya apabila Parlimen bersidang.

"Perbualannya adalah jika saya kekal dengan naratif asal, atau jika saya meneruskan naratif, saya tidak akan dihakimi," katanya kepada jawatankuasa itu.

"Pada tafsiran saya, saya tidak akan dikenakan sebarang tindakan jika meneruskan naratif yang telah saya buat pada Ogos."

Beliau memberitahu jawatankuasa itu bahawa Encik Singh tidak memintanya menjelaskan perkara itu di Parlimen.

Pada 4 Okt, Cik Raeesah mengulangi pembohongan itu di Parlimen apabila disoal Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Cik Raeesah memberitahu jawatankuasa itu bahawa tiada pemimpin kanan parti atau aktivis yang menyuruhnya membetulkan pembohongannya sebelum sidang pada 4 Okt.

Beliau berkata pada pertemuan dengan Encik Singh dan Cik Lim di pejabat Encik Singh di Parlimen selepas persidangan hari itu, tiada perbincangan mengenai sebab beliau tidak mematuhi sebarang arahan untuk menjelaskan hal sebenar.

Seandainya arahan sedemikian dibuat, Encik Tong bertanya: Adakah Cik Raeesah akan menjangkakan Encik Singh akan bersemuka dengannya untuk bertanya mengapa beliau tidak mengikut arahan supaya berterus terang?

Cik Raeesah menjawab: "Saya tidak boleh membuat andaian tentang yang beliau akan lakukan, tetapi bukan itu yang dilakukan."

Pada 7 Okt, Cik Raeesah menerima emel daripada polis menjemputnya untuk membantu menyiasat perkara yang diketengahkannya di Parlimen. Beliau memberitahu jawatankuasa tersebut, bahawa Encik Singh dan Cik Lim menasihatkannya supaya mengabaikan permintaan polis itu.

Hanya pada 12 Okt, selepas Encik Singh dan Cik Lim membuat kesimpulan bahawa perkara itu tidak akan digugurkan, mereka bertiga memutuskan dalam satu mesyuarat bahawa Cik Raeesah perlu berterus terang mengenai perkara yang sebenar.

PROSES WP SEMAK UCAPAN PARLIMEN

Menurut Encik Singh: Pada sidang media pada Khamis, Encik Singh berkata terdapat proses semakan bagi ucapan Cik Raeesah dan beliau dimaklumkan perlu bersedia untuk membuktikan anekdotnya telah menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis.

Proses itu tidak gagal dari segi itu, katanya.

“Mengapa dia tidak mengendahkan arahan itu, mengapa dia tidak mengendahkannya? Itu bukan soalan yang boleh saya jawab."

Menurut Cik Raeesah: Beliau memberitahu jawatankuasa bahawa AP WP perlu menyerahkan ucapan yang akan mereka sampaikan ke portal dalaman seminggu sebelum setiap sidang parlimen. Semua AP mempunyai akses ke portal itu dan boleh meninggalkan komen pada ucapan satu sama lain.

Cik Raeesah terlewat menyerahkan ucapannya bagi 3 Ogos, memuat naiknya hanya dua hari sebelum parlimen bersidang. Beliau memasukkan anekdot tentang mangsa serangan seksual hanya sehari sebelum sidang parlimen.

Cik Raeesah berkata selepas beliau berbuat demikian, Encik Singh membulatkan bahagian ucapan dan mengulas: "Substantiate?" ("Bukti?")

Cik Raeesah berkata beliau tidak faham maksud komen itu pada ketika itu dan tidak membalasnya.

Selepas beliau menyampaikan ucapan, Encik Singh membangkitkan isu tersebut kepadanya dan menyuarakan kekecewaan kerana Cik Raeesah tidak memandang penting komen beliau.

ADAKAH RAEESAH DIBERITAHU AKAN DIPECAT JIKA TIDAK LETAK JAWATAN?

Menurut Encik Singh: Pada 2 Nov, WP menyatakan ia telah membentuk panel disiplin untuk meneliti pengakuan Cik Raeesah di Parlimen.

Pada 30 Nov, sebelum pemimpin parti mengumumkan tindakan yang akan mereka ambil terhadapnya, Cik Raeesah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Encik Singh.

Encik Singh membalasnya pada keesokan harinya.

Semasa sidang media pada Khamis, Encik Singh mendedahkan bahawa oleh kerana jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) WP belum menerima peletakan jawatan Cik Raeesah secara bertulis pada masa itu, ia meneruskan untuk membincangkan cadangan panel disiplin.

CEC mengundi "dengan jelas" bagi Cik Raeesah meletak jawatan secara sukarela. Jika tidak, beliau akan dipecat daripada parti.

Menurut Cik Raeesah: Semasa perbicaraan di hadapan jawatankuasa itu, Cik Raeesah, serta pembantu setiausahanya Loh Pei Ying dan sukarelawan WP Yudhisthra Nathan, berkata mereka terkejut apabila mengetahui parti itu telah membentuk panel disiplin pada 2 Nov.

Cik Raeesah berkata pada mesyuarat 12 Okt di mana beliau memutuskan dengan Encik Singh dan Cik Lim untuk menjelaskan pembohongannya di Parlimen, beliau telah bertanya kepada mereka sama ada sebarang tindakan disiplin akan diambil.

"Jawapannya adalah tidak," katanya.

Beliau berkata ketika bertemu dengan panel disiplin pada 29 Nov, Encik Singh dan Cik Lim mencadangkan kepadanya supaya meletakkan jawatan demi kesejahteraannya dan kerana beliau sudah kehilangan sokongan rakan-rakan Anggota Parlimen di Kawasan Undi Berkumpulan (GRC) Sengkang.

Cik Raeesah berkata beliau tidak diberitahu akan dipecat jika beliau tidak meletakkan jawatan secara sukarela.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita