Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yahoo Singapore buat notis pembetulan di catatan Facebook berhubung dakwaan hukuman 'kejam'

Yahoo Singapore menambah notis pembetulan pada catatan Facebooknya setelah pihaknya mengongsi rencana yang mengulangi dakwaan oleh sebuah kumpulan hak asasi dari Malaysia berhubung cara hukuman "kejam" yang kononnya dilakukan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Yahoo Singapore buat notis pembetulan di catatan Facebook berhubung dakwaan hukuman 'kejam'

Logo syarikat Yahoo (Gambar fail: REUTERS/Denis Balibouse)

Diterbitkan : 23 Jan 2020 11:19PM Dikemas Kini : 23 Jan 2020 11:31PM

SINGAPURA: Yahoo Singapore menambah notis pembetulan pada catatan Facebooknya setelah pihaknya mengongsi rencana yang mengulangi dakwaan oleh sebuah kumpulan hak asasi dari Malaysia berhubung cara hukuman "kejam" yang kononnya dilakukan di Singapura.

Pemeriksaan Mediacorp ke atas rekod pembetulan catatan Facebook terbabit menunjukkan notis itu ditambah pada Khamis (23 Jan) pagi, sehari setelah arahan pembetulan dikeluarkan oleh Pejabat POFMA (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online).

Arahan pembetulan dikeluarkan pada Rabu atas arahan Menteri Dalam Negeri K Shanmugam.

Kementeriannya (MHA) menyatakan dakwaan yang dibuat Lawyers for Liberty (LFL) pada 16 Januari adalah "tidak benar, tidak berasas dan tidak masuk akal".

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu, seorang jurucakap Verizon Media, yang memiliki Yahoo, berkata: "Orang ramai merata dunia bergantung kepada Yahoo sebagai sebuah penyedia berita yang sahih dan dipercayai dan kami tidak akan mengelak daripada tanggungjawab itu."

"Kami adalah sebuah wadah dan jenama media yang diyakini, dan kami berpegang teguh pada laporan tidak berat sebelah dan liputan berita dipercayai."

Arahan pembetulan juga dikeluarkan ke atas LFL, aktivis Kirsten Han dan laman The Online Citizen.

LAWYERS FOR LIBERTY TAK AKAN TANDING ATAU PATUH ARAHAN

LFL pula menyatakan pihaknya tidak akan mematuhi mahupun mencabar arahan pembetulan tersebut.

"Kami enggan mencabar perintah itu di mahkamah Singapura kerana Singapura tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kami," kata penasihat LFL N Surendran kepada Mediacorp.

"Percubaan mereka untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia adalah tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka tidak mempunyai kuasa merentasi Koswe, iaitu tanah berdaulat Malaysia."

Pada Rabu, kumpulan hak asasi itu menyatakan ia tetap menegaskan pendiriannya yang mendakwa perlaksanaan hukuman mati ke atas tahanan di Penjara Changi Singapura dijalankan secara kejam.

Dalam pernyataannya pada 16 Januari, LFL mendakwa bahawa pegawai penjara diarahkan untuk "menarik tali di leher tahanan itu ke arahnya" dan "menendang belakang leher tahanan dengan kuat untuk mematahkannya" setiap kali tali itu putus semasa hukuman gantung.

Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai "tidak berasas sama sekali", MHA pada Rabu menegaskan bahawa hukuman mati dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang yang ketat.

"Apa-apa perbuatan seperti yang didakwa dalam pernyataan LFL akan disiasat dengan teliti dan dibincangkan."

KIRSTEN HAN MUAT NAIK NOTIS PEMBETULAN

Cik Han menambahkan notis pembetulan pada Rabu petang kepada catatan Facebooknya, yang mengongsikan kenyataan media LFL.

"Di bawah POFMA, saya secara undang-undang diwajibkan untuk menyertakan notis pembetulan pada catatan ini," tulisnya pada catatan itu.

"Saya asalnya berkongsi catatan ini kerana tuduhan yang dibuat oleh Lawyers For Liberty, tentang proses yang mana orang ramai mempunyai maklumat yang sangat sedikit, adalah sangat serius dan mengganggu," katanya.

Wartawan bebas itu menambah bahawa beliau sebelum ini sudah memohon jawapan oleh Jabatan Penjara Singapura terhadap kenyataan LFL dan soalan-soalan lain berhubung perlaksanaan hukuman di penjara dan serta protokol standar mereka, namun tidak menerima balasan.

"Demi menangani 'berita palsu', saya berharap pemerintah dan agensi awam dapat lebih responsif kepada pertanyaan daripada wartawan dan/atau kumpulan masyarakat sivil apabila mereka memohon maklumat yang dapat menjelaskan kedudukan perkara," katanya.

TOC pada Rabu menyatakan pihaknya sudah memfailkan permohonan kepada Encik Shanmugam untuk membatalkan arahan pembetulan.

"Menteri itu mempunyai tiga hari untuk mempertimbangkan permohonan itu sebelum TOC boleh membawa perkara itu ke mahkamah," tulisnya di Facebook. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan