Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yahoo berhentikan kakitangan penyuntingan SG dalam langkah penstrukturan semula

Anggaran Waktu Membaca:
Yahoo berhentikan kakitangan penyuntingan SG dalam langkah penstrukturan semula

Logo syarikat Yahoo (Gambar fail: REUTERS/Denis Balibouse)

SINGAPURA: Yahoo memberhentikan sebilangan kakitangan penyuntingannya yang berpangkalan di Singapura.

Ini menyusuli penstrukturan semula pasukan penyuntingannya di Asia Tenggara dan pemberhentian penerbitan kandungan tempatan di Filipina dan Indonesia.

Mediacorp difahamkan daripada sebilangan sumber bahawa tujuh kakitangan yang berpangkalan di Singapura diberhentikan, di mana kesemua mereka adalah wartawan.

Mereka berasal dari Singapura/Malaysia, Filipina dan pasukan-pasukan kewangan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap syarikat media dan teknologi antarabangsa itu mengesahkan "sebilangan anggota" daripada pasukan penyuntingannya terjejas oleh langkah berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap itu tidak memberi perincian lanjut tentang berapa ramai yang diberhentikan atau bila pemberhentian pekerja itu dijalankan.

Dalam respons bertulisnya, Yahoo menyatakan penstrukturan semula pasukan penyuntingan itu adalah "keputusan strategik semata-mata" memandangkan syarikat itu menilai semula bagaimana dan di mana ia boleh berkhidmat dengan terbaik bagi pembaca globalnya.

"Pasukan-pasukan penyuntingan yang menerbitkan kandungan tempatan bagi Singapura dan Malaysia akan terus menyediakan laporan berita yang boleh dipercayai dan kandungan gaya hidup yang dijangkakan para pengguna kami," kata jurucakap itu menerusi emel pada Selasa (11 Okt).

Seorang wartawan yang mengumumkan beliau sudah meninggalkan syarikat itu adalah Encik Nicholas Yong, yang membuat catatan di laman LinkedIn pada Rabu.

Menurut profilnya di platform rangkaian profesional itu, Encik Yong kali pertama menyertai Yahoo pada September 2014 dan jawatan terakhir yang dipegangnya adalah sebagai editor kanan dalam syarikat tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan Mediacorp berhubung pemberhentian kerja itu.

Menurut Institut Laporan Berita Digital 2022 Reuters yang diterbitkan pada bulan Jun, Yahoo News menduduki tangga keempat di Singapura dari segi jangkuan online mingguan dan ke-11 dari segi jenama yang diyakini.

Yahoo News adalah salah satu daripada 11 laman yang diberi lesen oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) di bawah Skim Pelesenan Berita Online.

Di bawah skim berkenaan, laman berita online akan diberi lesen secara individu jika ia, sepanjang tempoh dua bulan, melaporkan purata sekurang-kurangnya satu rencana seminggu berhubung berita dan ehwal semasa Singapura dan dikunjungi sekurang-kurangnya 50,000 alamat IP unik dari Singapura setiap bulan.

Pemberhentian kerja terakhir yang dilakukan pejabat Yahoo Singapore yang dilaporkan Mediacorp adalah pada Februari 2016. Ketua editor Yahoo Singapore pada waktu itu adalah antara yang meninggalkan syarikat berkenaan ketika itu.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan