Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Yahaya Sanusi antara lebih 360 Penterjemah Kita diiktiraf atas sumbangan pertingkat mutu penterjemahan di S'pura

Sumbangan lebih 360 individu kepada usaha untuk mempertingkatkan mutu penterjemahan di Singapura diiktiraf.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sumbangan lebih 360 individu kepada usaha untuk mempertingkatkan mutu penterjemahan di Singapura diiktiraf.

Mereka merupakan kumpulan pertama Penterjemah Kita yang mendapat sijil penyertaan Peringkat Asas di bawah rangka kerja Pengiktirafan dan Latihan untuk projek yang dilancarkan pada tahun lalu.

Para peserta tersebut menyertai sekurang-kurangnya tiga aktiviti sepanjang tempoh tahun lalu seperti memberi maklum balas untuk memperhalusi penterjemahan dalam perhubungan awam, melaporkan sebarang kesilapan dalam penterjemahan, atau menghadiri sesi dialog atau pendampingan di bawah projek tersebut.

Demikian menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam kenyataan media hari ini (5 Mei).

BANTU TEMAN-TEMAN TERJEMAH BAHASA JERMAN KEPADA BAHASA MELAYU

Salah seorang peserta projek itu adalah Dr Yahaya Sanusi, 63 tahun.

Dr Yahaya mula terlibat dalam kerja-kerja penterjemahan bahasa ketika bertugas di Bremen, Jerman selama lebih 30 tahun.

Jurutera perkapalan itu berkata beliau sering membantu menterjemahkan dokumen-dokumen rasmi untuk teman-temannya.

Dr Yahaya bersama kumpulan "Mari Bersama" yang terdiri daripada warga Malaysia dan Singapura. (Gambar ihsan: Dr Yahaya Sanusi)

"Saya menolong teman-teman warga Indonesia saya menterjemahkan dokumen-dokumen pentadbiran daripada Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu agar mudah difahami.

"Semasa saya berada di sini, saya menolong kawan-kawan membuat penterjemahan daripada Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu pula. Jadi ada juga pengalaman sedikit sebanyak dalam bidang ini," kata kongsi arkitek maritim dan jurutera lepas pantai itu.

Setelah tinggal di luar negara buat sekian lama, Dr Yahaya menyertai projek CT apabila ia dilancarkan pada tahun lalu kerana ingin menyumbang kepada usaha melestarikan Bahasa Ibunda di Singapura, di samping memastikan fikirannya kekal aktif.

Dr Yahaya bergambar dekat dengan rumahnya di Bremen, Jerman. (Gambar ihsan: Dr Yahaya Sanusi)

Dr Yahaya dalam kalangan lebih 1,180 Penterjemah Kita yang membantu menyemak bahan-bahan yang diterjemahkan agensi-agensi Pemerintah dan melaporkan sebarang kesilapan berkaitan penterjemahan.

Setakat ini, beliau telah memberikan maklum balas kepada penterjemahan laman 'Token Go Where', risalah Singpass Digital IC dan aplikasi Singpass.

"Pemerintah mengeluarkan banyak aplikasi seperti SingPass. Kalau tidak diterjemahkan dengan hati-hati, ia akan menimbulkan salah faham kepada sesiapa yang membacanya.

"Kalau ada kesalahan atau terjemahan yang tidak begitu tepat atau kurang tepat dan kalau kita fikir ada kesalahan, kita akan berikan sebab-sebabnya dan menghantar cadangan bagaimana ia boleh diperbaiki," jelas beliau.

Dr Yahaya turut menyumbang kepada projek portal penterjemahan SG Translate Together (SGTT)

"Ia seperti Google Translate tapi menggunakan konteks budaya dan masyarakat di sini. Jadi kita boleh menulis perkataan atau ayat-ayat yang kita masukkan dan enjin penterjemahan ini akan berikan satu cadangan bagaimana betul atau tidak," kata beliau.

Portal SG Translate Together (SGTT) itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada akhir bulan depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan