Yaacob Ibrahim imbas kembali peranan selaku AP Melayu, Menteri & sebab beliau masih anggota parti
Dua tahun selepas melepaskan jawatan sebagai Menteri dan hampir setahun bersara daripada politik, Dr Yaacob Ibrahim berkongsi satu nasihat kepada Anggota Parlimen Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) khususnya yang muda:

Gambar fail Dr Yaacob Ibrahim. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Dua tahun selepas melepaskan jawatan sebagai Menteri dan hampir setahun bersara daripada politik, Dr Yaacob Ibrahim berkongsi satu nasihat kepada Anggota Parlimen Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) khususnya yang muda:
"Jika anda tidak boleh beri perhatian kepada pengundi Melayu, terus terang saya katakan anda tidak berguna kepada parti".
Beliau berkongsi pandangannya itu dalam satu wawancara dengan laman berita Mothership pada Sabtu (1 Mei) yang menyentuh tentang kerjaya politiknya, selain peranan dan tangunggjawab beliau sebagai seorang menteri dan AP Melayu.
Dr Yaacob, 65 tahun, merupakan antara Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang paling lama berkhidmat di Singapura. Beliau menyandang jawatan itu dari tahun 2002 hingga 2018.
Ia merupakan tempoh mencabar namun tidak kurang bermakna baginya.
TANGGUNGJAWAB TAMBAHAN AP MELAYU

Wawasannya untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam adalah sesuatu yang beliau mahu tekankan kepada barisan pemimpin Melayu PAP seterusnya.
"Jadi bila-bila saya bertemu dengan mereka yang muda dan bercita-cita menjadi AP, saya kata jangan lupa, anda ada tiga kumpulan pengundi – pengundi Melayu anda sangat penting. Dan jika anda tidak boleh memberi perhatian kepada pengundi Melayu, terus terang saya katakan anda tidak berguna kepada parti.
Kerana pengundi Melayu sangat penting, mereka sebahagian daripada landskap Singapura – kami membentuk 15 peratus. Dan kami harus pastikan 15 peratus itu tidak berasa mereka terasing, terpinggir, mereka tidak mempunyai tempat di Singapura. Betul? Jadi saya melihatnya sebagai sesuatu yang saya mahu lakukan ketika saya menceburi politik,” kata Dr Yaacob kepada Mothership.
Mengimbas penceburan beliau dalam politik pada lewat 90-an, Dr Yaacob akui ada sentimen tidak percaya terhadap pemerintah dalam sebahagian masyarakat Melayu ketika itu.
“Ada sesetengah orang berkata, kenapa anda mahu sertai mereka? Mereka layan kita dengan teruk, perkhidmatan negara dan sebagainya… jadi sentiasa ada pandangan bahawa parti ini mungkin tidak bersikap adil kepada masyarakat (Melayu/Islam). Itu adalah situasi latar yang tidak boleh kami sembunyikan.
BINA KEPERCAYAAN MASYARAKAT DENGAN PEMERINTAH
Jadi salah satu cabaran paling besar yang dihadapi mana-mana AP Melayu sekarang, bahkan ketika saya berkhidmat juga adalah untuk membina kepercayaan dalam masyarakat dan antara masyarakat dengan pemerintah. Saya sendiri putuskan itu adalah sesuatu yang mahu saya lakukan.”
Dan apakah yang dimaksudkan dengan “teruk”? Dr Yaacob secara terus terang menyenaraikan fenomena yang diketahui ramai tetapi jarang dibincangkan (secara terbuka) tentang anak-anak muda lelaki Melayu/Islam yang menyertai perkhidmatan negara dan kemudian dihantar berkhidmat ke SCDF atau diberi jawatan kerani dan bukan ke Sekolah Pegawai Kadet.
Senario yang kedua, secara kebetulan berlaku kepada dirinya.
"Saya orang pertama dalam keluarga saya yang menjalani NS sepenuh masa. Tapi saya ditugaskan ke jawatan kerani ketika kami mempunyai cita-cita untuk menjadi pegawai tentera dan sebagainya. Jadi saya rasa saya tidak mahu meremehkan perkara itu.
Ada penduduk yang datang bertanya, mengapa anak lelaki saya menyertai angkatan tentera dan dicampak ke dalam Pertahanan Awam? Soalan-soalan yang jujur. Bagaimana anda menjawab soalan-soalan itu? Saya sendiri mengalami sebilangan perkara itu semasa saya menjalani perkhidmatan negara.
Ini adalah sesuatu yang anda perlu tangani, kerana ini adalah masyarakat anda... anda sebahagian daripada Singapura; bagaimana anda memastikan ada integrasi, betul? Itu adalah salah satu perkara yang juga saya fikirkan bila saya sertai politik kerana saya tahu ada juga jangkaan diletakkan terhadap saya untuk memastikan saya boleh melindungi masyarakat dan kepentingan masyarakat kami," kata Dr Yaacob kepada Mothership.
Namun pada masa yang sama beliau akui penyertaannya dalam PAP merumitkan keadaan:
"Saya tahu bahawa saya bukan hanya seorang AP Melayu, saya juga seorang AP nasional; bagaimana kami pastikan bahawa agenda nasional juga diterima oleh masyarakat Melayu? Dan masyarakat ketika itu berpecah-belah.
Jadi ini adalah sesuatu yang perlu fahami ramai; saya melaluinya. Dan juga kerana saya rasa anda membesar dengan mengakui bahawa ini adalah antara cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat anda dan anda tidak boleh mengabaikannya."
Dr Yaacob masih ingat lagi pada 1976 beliau melihat sekumpulan pelajar Melayu yang ingin bertemu dengan Menteri Pertahanan Goh Keng Swee ketika itu, untuk bertanya mengapa orang Melayu tidak dipanggil untuk menjalani perkhidmatan negara - yang menurut Dr Yaacob merupakan situasi yang menjejas daya kerja mereka.
Maka itu kesan daripada diskriminasi yang tidak diungkapkan ini menjangkaui NS juga:
"Anda dengar cerita-cerita tentang orang Melayu yang tidak mendapat pekerjaan kerana mereka didiskriminasi. Orang Melayu tidak boleh bekerja dalam pasukan polis atau tentera kerana mereka semua dimasukkan ke dalam pertahanan awam. Ada orang-orang dalam MENDAKI yang memberitahunya kepada saya.
Saya tidak mahu menepis hal ini. Ia adalah satu pengalaman yang perit kerana anda terjaga dan berfikir, mengapa masyarakat saya ditanggap begitu rupa? Padahal kami sentiasa setia, dan kami membuat sumbangan. Ia adalah satu perkara yang mahu saya perbaiki."
MENYOKONG MASYARAKAT MELAYU

Sungguhpun demikian, Dr Yaacob akui keadaan sudah bertambah baik. Jumlah pegawai tentera Melayu kini lebih ramai namun mungkin apa yang masyarakat sedang nantikan katanya, adalah untuk melihat seorang pegawai tentera laut.
Beliau menekankan perlunya bagi perwakilan kepimpinan dalam lebih banyak sektor masyarakat dan peranan unik AP Melayu yang dipilih untuk mewakili masyarakat.
"Sejujurnya saya katakan - saya juga menceburi politik untuk mencari cara bagi membantu masyarakat saya. Saya tidak akan menafikannya. Saya tidaklah sampai mengatakan Singapura tidak memerlukan saya kerana ada menteri-menteri kaum Cina yang hebat di luar sana tetapi walaupun saya tahu saya menjadi seorang menteri untuk menyumbang kepada Singapura, pada masa sama, saya juga mesti lakukan sesuatu untuk masyarakat saya."
Lantaran itu beliau tidak elak daripada bercakap secara terus terang mengenai isu-isu masyarakat Melayu yang kurang dibincangkan secara terbuka termasuk kepercayaan terhadap pemerintah, diskriminasi, integrasi dan layanan secara adil.
Persoalannya adalah adakah beliau berjaya dalam membuat kemajuan dari segi perwakilan lebih besar dan layanan sama rata bagi masyarakat Melayu/Islam dalam tempoh jawatannya selama 16 tahun sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam?
CABARAN SEBAGAI MENTERI EHWAL MASYARAKAT ISLAM

Beliau menjelaskan ketika beliau menyandang jawatan pada Mac 2002, kecurigaan terhadap masyarakat Islam terus berlegar menyusuli serangan pengganas pada September 2001.
Maka itu, tumpuan utama beliau pada tahun-tahun awal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam adalah untuk menyepadukan masyarakat Islam sebagai sebahagian daripada Singapura dan bukan sebuah masyarakat berasingan atas sebab agama mereka.
"Kami berbeza dalam beberapa cara kerana kami mempunyai kepercayaan kami, tetapi kami juga rakyat Singapura. Jadi saya mahu terus tekankan kedua-duanya bagi masyarakat Melayu untuk melihat diri mereka sebagai rakyat Singapura dan anggota masyarakat Singapura yang lain, melihat orang Melayu sebagai warga Singapura."
Beliau menarik perhatian bahawa 9/11 juga adalah satu peluang untuk beliau dan pihak berkuasa Islam di sini mula belajar untuk menjelaskan prinsip-prinsip agama Islam kepada masyarakat bukan Islam - sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Namun dalam hal ini Dr Yaacob berlapang dada dan berkata "sejarah akan perlu mengadili" sama ada beliau berjaya membuat kemajuan berhubung perwakilan Melayu dan peluang sama rata dalam tentera dan bahagian masyarakat yang lain.
"... masyarakat akan tetap berkata, anda tidak memenuhi permintaan kami, anda tidak perjuangkan untuk kami... Apa yang anda boleh lakukan adalah terhad, dan anda lakukan yang terbaik. Saya percaya bahawa saya sudah melakukan yang terbaik, tetapi saya tahu saya ada pengkritik di luar sana yang berasa saya telah gagal. Dan saya perlu menerimanya. Itu adalah hakikat kehidupan.
Saya tahu bila saya menceburi politik dan akhirnya menjadi menteri, ia bukan satu tugas yang mudah. Tetapi saya seseorang yang berpegang kepada agama dan saya melihatnya sebagai peluang yang Tuhan berikan kepada saya, untuk saya cuba memanfaatkan peluang ini sebaik yang termampu. Bukan hanya membantu masyarakat tetapi melakukan yang terbaik untuk memajukan Singapura."
Dr Yaacob selanjutnya menjelaskan banyak perkara dan dakwaan tentang diskriminasi dan pengecualian orang Melayu terutama dalam tentera tidak terbukti dan kekal sebagai aduan-aduan yang diceritakan.
Meskipun beliau sudah banyak kali membuat kenyataan dalam banyak mesyuarat melibatkan pihak-pihak berkenaan selama bertahun-tahun, bagi menyuarakan aspirasinya bagi perwakilan lebih besar, beliau akui "ia tidak mudah".
"Saya sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan lebih banyak perwakilan Melayu dalam khidmat-khidmat beruniform. Satu perkara adalah, anda tidak boleh memaksa isu tersebut. Anda harap ia berlaku, anda suarakan keinginan itu, secara berterus-terang dalam mesyuarat. Kerana sejujurnya, saya tidak percaya bahawa orang Melayu kurang berkebolehan daripada masyarakat lain.
Saya percaya bahawa kaum Melayu sama berkebolehan dengan mana-mana masyarakat yang lain untuk melakukan tugas itu. Beri mereka peluang, dan saya fikir mereka akan berjaya melakukannya."
YAKIN PAP PROGRESIF

Ditanya mengapa beliau kekal dalam PAP selepas berundur daripada barisan kepimpinannya dan bersara daripada politik, beliau memberitahu Mothership beliau masih yakin dengan parti tersebut.
"Saya fikir parti ini telah melakukan banyak kebaikan untuk Singapura. Saya mungkin tidak bersetuju dengan beberapa dasar seperti sesiapa juga yang lain tetapi umumnya, saya rasa ia adalah sebuah parti yang wajar disokong. Jadi mengapa harus saya letak jawatan?"
Jawatan terakhir Dr Yaacob dalam PAP adalah naib pengerusi. Beliau menjelaskan, meskipun beliau kini tidak mempunyai peranan formal dalam parti itu, sebagai seorang anggota beliau juga diminta untuk memberi nasihat mengenai pelbagai isu dan hal berkaitan dasar, serta mengambil bahagian dalam perbincangan dan sesi maklum balas secara aktif.
Beliau juga menghargai peluang untuk menyampaikan maklum balas atau keprihatinannya secara langsung kepada pucuk kepimpinan sedia ada dan tahu bahawa maklum balasnya akan didengar.
"Saya rasa anda perlu berpegang kepada apa yang anda percaya. Tetapi pada masa sama, anda sebahagian daripada parti itu. Melainkan parti itu melakukan sesuatu yang teruk, itu satu perkara lain, kemudian anda katakan, tidak, anda sudah melepasi batas sistem nilai saya, dan saya perlu lakukan sesuatu tentangnya.
Tetapi saya rasa PAP tidak lakukan itu. Dan saya harap kami tidak akan pernah akan melakukan begitu. Dan anda maklum mereka adalah sebuah parti yang cuba seboleh mungkin untuk menjadi progresif, kerana anda mahu merancang untuk fasa pembangunan Singapura selanjutnya. Saya rasa itu perkara yang betul untuk dilakukan."
DEMI KEPENTINGAN SINGAPURA
Kepentingan dalam masa depan Singapura - itulah yang menjadikan minat semula jadi baginya dan maka itu tidak hairanlah, beliau terus menyuarakan pandangannya.
"Saya bersara sebagai ahli politik dalam sistem berparlimen tetapi saya tidak bersara daripada politik. Saya mempunyai taruhan dalam masa depan Singapura kerana anak-anak saya. Mereka warga Singapura, mereka ada pasport merah - jika negara ini gagal, ke mana mereka boleh pergi? Jadi kami perlu pastikan ia berjaya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.