Skip to main content

Singapura

Xuri Employment didenda; lesen ditarik balik kerana minta bayaran berlebihan

Xuri Employment didenda S$6,000 pada Khamis (25 Feb) di bawah Akta Agensi Pekerjaan kerana gagal memastikan dokumen-dokumen yang diluluskan secara prinsip diserahkan kepada para pemegang permit kerja sebelum mereka berlepas ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Xuri Employment didenda; lesen ditarik balik kerana minta bayaran berlebihan
Diterbitkan : 26 Feb 2021 09:46AM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 09:55AM

SINGAPURA: Xuri Employment didenda S$6,000 pada Khamis (25 Feb) di bawah Akta Agensi Pekerjaan kerana gagal memastikan dokumen-dokumen yang diluluskan secara prinsip diserahkan kepada para pemegang permit kerja sebelum mereka berlepas ke Singapura, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan medianya.

Disebabkan oleh sabitan kesalahan tersebut, lesen Xuri Employment juga ditarik balik, menurut MOM.

Seorang kakitangan Xuri dikenakan denda secara berasingan atas beberapa kesalahan yang dikesan ketika siasatan dijalankan terhadap syarikat itu.

"Di bawah Syarat Lesen Agensi Pekerjaan, agensi-agensi pekerjaan diwajibkan mengambil semua langkah yang ditetapkan bagi memastikan pekerja asing menerima salinan penuh dokumen yang diluluskan secara prinsip seperti yang dikeluarkan oleh MOM, selewat-lewatnya tiga hari sebelum mereka berlepas ke Singapura, menurut MOM.

"Ini bagi memastikan para pekerja itu sedia maklum dan berpeluang untuk meminta penjelasan tentang terma-terma penting serta hak dan tanggungjawab mereka sebelum tiba di Singapura."

Xuri menyerahkan dokumen-dokumen yang diluluskan secara prinsip bagi lima pemegang permit kerja kepada ejen luar negara mereka pada 20 Sep 2019, namun tidak memastikan setiap pekerja menerima salinan dokumen tersebut, dedah hasil siasatan yang dijalankan.

Disebabkan itu, para pekerja tersebut tiba di Singapura dengan jangkaan berbeza mengenai bayaran yang akan diterima, menurut MOM.

SIASATAN BONGKAR KESALAHAN KAKITANGAN

Siasatan terhadap syarikat itu juga mendedahkan bahawa salah seorang kakitangannya, Lim Hann Yeong, mengenakan bayaran yuran berlebihan terhadap enam pemegang permit kerja. Dia juga membuat perisytiharan palsu mengenai yuran tersebut kepada Pengawal Pas Kerja, menurut MOM.

Lim, 38 tahun, didakwa pada 13 Feb dan didenda S$29,000 di bawah Akta Agensi Pekerjaan. Dia juga diharamkan daripada bekerja dalam industri agensi pekerjaan.

"Di bawah Akta Agensi Pekerjaan, agensi-agensi pekerjaan dibenarkan mengenakan yuran agensi tidak lebih dari satu bulan gaji bulanan tetap pekerja bagi setiap tahun dia bekerja di sini, dihadkan kepada gaji sebanyak dua bulan," menurut MOM.

"Namun, Lim mengenakan yuran berlebihan hampir $1,000 dari setiap pekerja."

MOM menyatakan bahawa Lim sudahpun memulangkan yuran tersebut kepada para pemegang permit kerja yang terjejas, termasuk jumlah berlebihan yang dikenakan itu.

"Ia penting bagi agensi dan kakitangan agensi pekerjaan untuk menegakkan keadilan dalam proses pengambilan pekerja," menurut MOM.

"MOM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap agensi pekerjaan dan kakitangan mereka yang tidak mematuhi peraturan, termasuk didakwa di mahkamah."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita