Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wujudkan kategori baru COE bagi kereta sewa privet akan naikkan kos penumpang

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2022 06:00PM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 11:45PM
SINGAPURA: Mengecualikan kereta sewa privet (PHC) daripada bidaan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) akan menaikkan kos bagi para penumpang.

Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor memberitahu demikian kepada Parlimen hari ini (13 Sep).

"Mengecualikan PHC daripada bidaan dan mewujudkan kategori baru dengan syarat-syarat tertentu, seperti jumlah minimum perjalanan untuk mengurangkan penyalahgunaan sukar untuk dikuatkuasakan dan menambah kos pematuhan bagi pengendali, pemandu dan akhirnya penumpang PHC," kata beliau.

Beliau juga berkata syarikat-syarikat PHC belum menyerahkan bidaan COE dengan harga simpanan lebih tinggi berbanding syarikat bukan PHC.

Dr Khor berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Louis Chua (WP-Sengkang), yang bertanya sama ada syarikat-syarikat kereta sewa, khususnya yang menyediakan khidmat sewa kepada syarikat PHC, terjejas oleh harga bidaan COE dalam tempoh setahun lalu.

Premium COE bagi kereta lebih besar dalam Kategori B mencatat rekod buat kali kedua berturut-turut dalam bidaan terkini pada 7 September, sedang harga ditutup lebih tinggi bagi kebanyakan kategori.

Premium COE sebahagian besarnya menunjukkan trend meningkat dan memecah paras rekod dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan para pemerhati menyatakan ia disebabkan oleh peruntukan COE yang berkurangan.

Sebahagian warga siber menuding jari ke arah harga yang melambung tinggi bagi PHC dan syarikat-syarikat kenderaan sewa, dengan mengandaikan bahawa mereka seharusnya dikecualikan daripada proses bidaan COE, serupa dengan pengendali teksi. PHC dan syarikat kenderaan sewa sebelum ini memberitahu Mediacorp, mereka tidak membuat bidaan agresif bagi COE dan tidak bertanggungjawab ke atas kenaikan premium.

Dr Khor berkata hari ini, "tiada bukti" menunjukkan syarikat PHC menyebabkan kenaikan dalam harga bidaan COE.

"LTA (Penguasa Pengangkutan Darat) sudah memantau pasaran dengan teliti sepanjang setahun lalu. Permintaan bagi COE daripada syarikat-syarikat PHC serta jumlah keseluruhan PHC stabil," ujar beliau.

Sejak 2012, syarikat pengendali teksi tidak perlu membuat bidaan bagi CEO untuk mendaftarkan teksi masing-masing. Sebaliknya, mereka boleh membuat bidaan bagi Kategori E (Terbuka) dan membayar premium kuota sedia ada bagi COE Kategori A.

Piawai ketersediaan teksi juga diperkenalkan, dan pengendali teksi boleh menambah jumlah teksi masing-masing sehingga dua peratus setiap tahun, tertakluk kepada piawai yang ditetapkan, kata Dr Khor.

"Tidak seperti teksi, PHC pada asasnya adalah kereta milik persendirian yang mempunyai kelonggaran dan kebebasan untuk mengambil penumpang, sekali gus memperluaskan bekalan kenderaan yang menawarkan khidmat kereta sewa privet" tambah beliau.

"Lantaran itu, PHC dianggap seperti kereta privet di bawah sistem kuota kenderaan."

Dr Khor berkata gesaan untuk menyemak kategori-kategori COE adalah "saranan tiada kesudahannya", sambil menarik perhatian bahawa akan ada timbal balik antara mewujudkan sesebuah kategori untuk memenuhi keperluan tertentu dengan memastikan kuota COE yang mencukupi bagi kategori-kategori tersebut.

"Hakikatnya ia akan membawa kepada lebih banyak perpecahan dan ketidaktentuan, khususnya apabila bekalan COE rendah," kata beliau.

"Jadi, jika anda melihat kepada premium COE dan seterusnya, pada asasnya permintaan dan bekalan kenderaan yang menentukan premium COE."

Dr Khor menambah LTA akan terus memantau sektor pengangkutan penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi dan mengkaji skim-skim untuk terus dipertingkat.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan