Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP usul lebih banyak cuti bapa; pantas dapat kerakyatan S'pura bagi pasangan warga asing

Anggaran Waktu Membaca:
WP usul lebih banyak cuti bapa; pantas dapat kerakyatan S'pura bagi pasangan warga asing

Gambar Hiasan: Istock

Diterbitkan : 06 Apr 2022 11:47AM Dikemas Kini : 06 Apr 2022 11:48AM

SINGAPURA: Apabila Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim disuruh oleh penyelianya untuk memakai alat solek semasa bekerja, beliau menganggap tindakan itu sebagai "tidak masuk akal".

Insiden itu berlaku beberapa dekad yang lalu sewaktu beliau bekerja sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang.

"Memikirkan kembali tentangnya hari ini, komen itu mungkin dibuat tanpa sebarang niat jahat tetapi adakah ia wajar?

"Adakah komen sedemikian akan memberi kesan lebih mendalam pada wanita lain?" soal Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied itu.

Cik Lim mengongsi kisah peribadi itu di Parlimen semasa perbahasan mengenai usul tentang pembangunan wanita pada Selasa (5 April).

Beliau merupakan antara enam AP WP yang berucap tentang topik itu semasa perbahasan yang berlangsung hampir sepuluh jam.

Berikut adalah enam isu utama yang dibangkitkan oleh WP semasa perbahasan parlimen tersebut.

1. PERCERAIAN DAN NAFKAH

AP GRC Aljunied Leon Perera menggesa perubahan pada undang-undang nafkah pasangan dalam ucapannya dengan menarik perhatian bahawa dalam sebuah perceraian, sesetengah lelaki berada dalam keadaan tidak berkemampuan di bawah Seksyen 69 Piagam Wanita.

Seksyen 69 Piagam Wanita menyatakan bahawa seorang wanita boleh memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan suaminya membayar wang nafkah bulanan atau secara pukal jika suaminya tidak memberi nafkah yang memadai.

Encik Perera menarik perhatian pendirian pemerintah semasa perbahasan berhubung Piagam Wanita pada 10 Januari lalu bahawa perundangan yang tidak berpihak kepada jantina tidak diperlukan kerana "terdapat peluang lebih tinggi bahawa kaum wanita akan meninggalkan kerjaya mereka untuk memikul tanggungjawab menjaga keluarga."

Beliau juga menyarankan supaya suami seharusnya dibenarkan untuk memfailkan permohonan nafkah tanpa perlu mensyaratkan bahawa mereka dalam keadaan tidak berupaya.

2. DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA

AP GRC Sengkang He Ting Ru berkata beliau "gembira" apabila mendapat tahu bahawa undang-undang antidiskriminasi akan diperkenalkan untuk mendenda majikan yang tidak mematuhi undang-undang.

Undang-undang baru itu juga akan memberikan perniagaan kejelasan mengenai amalan diskriminasi yang tepat.

Encik Perera menarik perhatian bahawa mangsa diskriminasi boleh meminta bantuan agar kesnya melalui Mahkamah Perlindungan daripada Gangguan atau memfailkan aduan Majistret mahupun mengambil tindakan guaman. Namun, proses tersebut mungkin terhalang kerana ia mahal dan memakan masa.

Beliau menambah tanpa undang-undang yang menetapkan takrif gangguan seksual atau tanggungjawab majikan, hasil tindakan undang-undang mungkin tidak dapat diputuskan.

Encik Perera menyarankan supaya menggesa majikan untuk mengamalkan garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP).

Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mensyaratkan institut pengajian tinggi supaya mematuhi "piawai pematuhan minimum garis dasar" tertentu berkenaan dengan gangguan seksual.

3. CUTI IBU BAPA DAN CUTI PENJAGAAN KELUARGA

Berhubung cuti ibu bapa, AP GRC Sengkang Louis Chua menarik perhatian terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa golongan bapa memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak semasa tahun-tahun awal pembangunan kanak-kanak.

Encik Chua menambah cuti ibu bapa elektif empat minggu sedia ada lazimnya diambil oleh para ibu, dengan "94 hingga 97 peratus bapa tidak mengambil sekurang-kurangnya satu hari cuti yang dikongsi ibu bapa bagi kohort 2014 hingga 2018”.

Beliau mengusulkan satu skim cuti yang dikongsi ibu bapa yang membenarkan ibu bapa untuk mengambil 24 minggu cuti yang dibayar pemerintah, dikongsi antara pasangan, dengan minimum empat minggu diambil oleh bapa dan 12 minggu diambil oleh ibu.

Ini akan menambah jumlah cuti ibu bapa dari 18 minggu kepada 24 minggu.

AP GRC Aljuneid Gerald Giam mengusulkan undang-undang bagi cuti penjagaan keluarga yang memberikan penjaga cuti berbayar untuk menjaga anggota keluarga di bawah tanggungan mereka.

Dalam saranannya, beliau berkata semua pekerja rakyat Singapura harus diberikan sehingga enam hari cuti untuk menjaga anak-anak kecil mereka atau ahli keluarga terdekat yang kurang upaya atau yang sakit uzur. Tiga hari akan dibayar oleh majikan dan tiga hari lagi akan dibayar oleh Pemerintah.

Beliau juga menyarankan tambahan dua hari diberikan kepada penjaga yang mempunyai lebih daripada seorang tanggungan di bawah jagaannya dengan cuti itu dibayar oleh Pemerintah.

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata pemerintah akan "mengambil masa untuk mempertimbangkan" menggubal undang-undang bagi cuti bu bapa atau cuti penjagaan keluarga.

4. JURANG GAJI ANTARA JANTINA

Semasa ucapan beliau, AP GRC Sengkang Jamus Lim berkata lelaki yang sudah berkahwin mendapat kerja 1.3 kali lebih tinggi berbanding wanita yang sudah berumah tangga, namun wanita mendapat gaji 14 peratus lebih rendah.

Beliau mengulangi gesaannya untuk menerbitkan maklumat mengenai jurang gaji agregat dan gaji purata berdasarkan industri.

5. PASANGAN ASING RAKYAT SINGAPURA

Encik Perera berhujah dengan mendalam mengenai status imigresen suami atau isteri rakyat Singapura yang berwarga asing.

Beliau menarik perhatian bahawa pasangan warga asing yang menjadi ibu bapa kepada kanak-kanak rakyat Singapura mungkin menghadapi isu keselamatan yang timbul daripada status imigresen mereka yang tidak menentu.

Encik Perera menekankan manifesto WP pada 2020 menyeru "laluan 'jalan pantas' yang jelas, telus dan berasaskan masa untuk kewarganegaraan" bagi ibu bapa berkenaan.

6. IBU BAPA TUNGGAL

Encik Chua berkata bahawa beliau "berbesar hati" dengan pelan tindakan Kertas Putih yang bertujuan untuk meningkatkan sokongan kepada ibu bapa tunggal.

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian keluarga ibu atau bapa tunggal yang belum berkahwin tidak diberikan manfaat seperti konsesi daripada
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk keperluan perumahan.

Mereka juga tidak layak untuk menerima Hadiah Tunai Bonus Bayi Pemerintah, Hadiah Tunai (Bonus Bayi Plus (Dipertingkat)), Rebat Cukai Keibubapaan (PTR) dan Pelepasan Anak untuk Ibu Yang Bekerja (WMCR).

Untuk golongan ibu bapa ini, Cik Sun merujuk kepada Perikatan untuk Bertindak Mengukuhkan Perkahwinan dan Hubungan Keluarga sambil berkata bahawa ia menghulurkan sokongan kepada ibu bapa tunggal melalui penyediaan maklumat, aturan penjagaan kanak-kanak alternatif dan sokongan sosio-emosi.

Cik Sun juga berkata berhubung permohonan sewa rumah awam oleh ibu bapa tunggal yang tidak berkahwin, HDB akan memaklumkan mereka tentang hasilnya dalam masa tiga minggu.

HDB juga aka memberikan satu kemas kini sementara bagi kes-kes rumit yang memerlukan lebih banyak masa untuk diproses.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan