Skip to main content

Singapura

WP tubuh panel disiplin siasat pengakuan Raeesah Khan berbohong di Parlimen

Parti Pekerja (WP) pada Selasa (2 Nov) mendedahkan ia sudah meluluskan penubuhan sebuah panel disiplin untuk "menyiasat pengakuan" Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan di Parlimen pada Isnin.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Nov 2021 03:08PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 09:11PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Selasa (2 Nov) mendedahkan ia sudah meluluskan penubuhan sebuah panel disiplin untuk "menyiasat pengakuan" Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan di Parlimen pada Isnin.

Pada Isnin, Cik Raeesah mengaku berbohong di Parlimen mengenai butiran kes rogol yang didakwanya diperlakukan dengan cara yang tidak betul oleh pihak polis, dengan mengatakan beliau tidak menemani mangsa ke balai polis seperti yang didakwanya sebelum ini.

Cik Raeesah memohon maaf kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) dan menarik balik butiran-butiran yang dikongsikan tentang mangsa rogol itu, sambil mendedahkan bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai perkara tersebut adalah "tidak benar".

AP GRC Sengkang itu sudah dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa kerana melanggar Hak Istimewa Parlimen.

Panel Disiplin Parti Pekerja (WP) itu terdiri daripada setiausaha agungnya Pritam Singh, pengerusi Sylvia Lim dan naib pengerusi Faisal Manap.

Panel tersebut akan melaporkan dapatan dan sarananya kepada jawatankuasa eksekutif pusat WP selepas ia menyelesaikan kerjanya, menurut WP.

"Tugas Panel Disiplin adalah berasingan daripada sebarang keputusan yang mungkin dibuat oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen," tambahnya.

DAKWAAN POLIS SALAH TANGANI KES

Cik Raeesah pertama kali membangkitkan kes rogol itu pada 3 Ogos, semasa usul WP untuk memperkasakan wanita.

Menurut Cik Raeesah, beliau pernah menemani seorang wanita berusia 25 tahun membuat aduan polis tiga tahun lalu, dan mangsa menangis semasa meninggalkan balai polis kerana seorang pegawai polis didakwa membuat komen mengenai pakaiannya dan peminuman arak.

Dakwaan-dakwaan itu mendorong Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam untuk meminta butiran lanjut mengenai kes itu di Parlimen, di samping mengarahkan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menjalankan siasatan.

Di Parlimen pada Isnin, Cik Raeesah mengaku bahawa beliau "tidak hadir bersama mangsa di balai polis seperti yang dinyatakan (sebelum ini)".

Menurut Cik Raeesah, butiran-butiran itu dikongsi oleh seorang bekas mangsa dalam kumpulan sokongan wanita yang disertai Cik Raeesah.

"Saya tidak berkongsi bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan itu kerana saya tidak mempunyai keberanian untuk mengaku secara terbuka bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan tersebut," katanya.

Cik Raeesah mendedahkan bahawa beliau pernah diserang secara seksual ketika berusia 18 tahun semasa belajar di luar negara, dan ia menyebabkannya mengalami trauma sehingga ke hari ini.

Beliau juga meminta maaf kepada mangsa serangan seksual yang dibangkitkan dalam kes tersebut, sambil menambah beliau tidak sepatutnya berbuat demikian tanpa persetujuannya.

"Saya sendiri sebagai bekas mangsa, saya turut merasakan kegagalan ini dengan mendalam. Penting bagi saya bertanggungjawab atas tindakan saya, atas kesilapan saya dalam membuat pertimbangan dan memperbetulkan faktanya," katanya.

Semasa merujuk Cik Raeesah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, Ketua Dewan Indranee Rajah menegaskan bahawa Cik Raeesah berbohong di Parlimen sebanyak tiga kali dan gagal membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut.

Encik Pritam Singh sebelum ini berkata pada Isnin bahawa Cik Raeesah tidak sepatutnya berkongsi kes yang tidak benar dalam Dewan.

Beliau akur bahawa Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) memberikan seseorang AP "kebebasan bersuara yang ketara", tetapi ia "tidak meliputi penyampaian maklumat yang tidak benar, sekalipun AP itu tidak berniat jahat".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita