Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP tolak kenaikan GST; tidak akan sokong Belanjawan 2022, kata Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Feb 2022 05:12PM Dikemas Kini : 28 Feb 2022 09:32PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) tidak akan menyokong Belanjawan 2022 kerana parti pembangkang itu tidak bersetuju dengan keputusan pemerintah untuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata ketua parti yang juga Ketua Pembangkang Pritam Singh di Parlimen pada Isnin (28 Feb).

"Kami tidak bersetuju dengan keputusan untuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), terutama sekali buat masa ini," kata Encik Pritam pada permulaan perbahasan Belanjawan 2022, sambil menambah bahawa Anggota Parlimen WP akan mengemukakan idea-idea alternatif untuk menjana pendapatan.

Semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022 pada 18 Feb, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata pemerintah akan melengahkan kenaikan GST sehingga 2023 dan menaikkannya secara berperingkat melalui dua fasa: Dari 7 peratus kepada 8 peratus pada 2023, dan kemudian kepada 9 peratus pada 2024.

BACA: Kenaikan GST dilengahkan; naik kepada 8% pada 2023, kemudian hingga 9% pada 2024

Menurut Encik Pritam, WP secara konsisten tidak menyokong rancangan pemerintah untuk menaikkan GST sejak pertama kali ia diumumkan dalam Belanjawan 2018.

WP, menurut Encik Pritam, sering merujuk kepada kurang kejelasan mengenai unjuran pendapatan dan perbelanjaan jangka panjang pemerintah. WP sebaliknya mencadangkan agar rangka kerja rizab negara diubah suai.

Encik Pritam menekankan perkara tersebut pada Isnin (28 Feb) sambil menarik perhatian bahawa kenaikan itu akan dilaksanakan sedang "inflasi dan harga barangan semakin meningkat".

Untuk mengurangkan kesan kenaikan GST, pemerintah akan menokok S$640 juta kepada Pakej Jaminan GST bernilai S$6 bilion yang diumumkan pada 2020 dan mempertingkatkan skim Baucar GST (GSTV).

Pakej Jaminan GST yang dipertingkatkan itu akan menampung sekurang-kurangnya lima tahun perbelanjaan tambahan GST untuk sebahagian besar keluarga di Singapura dan kira-kira 10 tahun bagi keluarga-keluarga bergaji rendah, kata Encik Wong.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan