Skip to main content

Singapura

WP 'tidak boleh terima' pelawaan PM Wong untuk calonkan Ketua Pembangkang baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jan 2026 04:39PM Dikemas Kini : 25 Jan 2026 10:53AM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Rabu (21 Jan) menyatakan pihaknya tidak akan mencalonkan anggota lain partinya bagi peranan Ketua Pembangkang (LO).

WP menyatakan demikian menerusi kenyataan balasnya kepada Perdana Menteri Lawrence Wong mengenai peranan Ketua Pembangkang yang kini tidak digalas oleh sesiapa.


Dalam surat kepada PM Wong, WP menyatakan ia "tidak boleh menerima" pelawaan perdana menteri itu untuk melakukan demikian.

"Penubuhan pejabat Ketua Pembangkang merupakan langkah ke hadapan dalam perkembangan politik kita. Pengiktirafan seorang Ketua Pembangkan dalam Parlimen diperkenalkan oleh pemerintah PAP pada 2020, pada zahirnya sebagai mengakui keinginan kuat rakyat Singapura untuk melihat lebih banyak kerencaman dalam pandangan politik," menurut WP dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman dan akaun media sosialnya.

"Pelantikan LO lazimnya diberikan kepada ketua parti pembangkang terbesar di parlimen atau ditentukan oleh parti pembangkang itu sendiri. Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa peranan LO ini wujud hasil daripada kemenangan politik pihak pembangkang dalam pilihan raya," tambah kenyataan itu.

"Undi rakyatlah yang menentukan kehadiran ahli Parlimen pembangkang. Dalam sistem Westminster yang lain, gelaran Ketua Pembangkang ditetapkan oleh undang-undang. Ia bukan hak mutlak atau pilihan Pemerintah mahupun Perdana Menteri. Pendekatan ini menghormati kuasa dan kesucian undi rakyat."

Menurut Parti Pekerja pihaknya berpandangan bahawa ketua parti pembangkang terbesar dalam parlimen adalah ketua pembangkang.

"Oleh itu, Parti Pekerja sudah menyampaikan kepada perdana menteri bahawa kami tidak akan mencalonkan ahli parlimen lain Parti Pekerja bagi peranan LO," tambah WP.

"Kami akan terus menumpukan perhatian kepada tugas utama kami, iaitu bekerja untuk rakyat Singapura dan memberikan semakan yang rasional, bertanggungjawab, serta dihormati terhadap pemerintah."
Related article image
Respons WP kepada Perdana Menteri Lawrence Wong pada 21 Januari 2026. (Gambar: Laman WP)
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita