Skip to main content

Singapura

WP tetap semangat, Pritam tekad tanding dalam GE2025

Anggaran Waktu Membaca:
WP tetap semangat, Pritam tekad tanding dalam GE2025

Pritam bertekad maju kehadapan dan tidak undur diri untuk GE2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA:Susulan keputusan mahkamah terhadap Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, Parti Pekerja (WP) menegaskan kepentingan memastikan proses undang-undang berjalan dengan sewajarnya.

Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, berkata adalah tidak wajar baginya mengulas mengenai merit keputusan mahkamah, terutama ketika Encik Pritam sedang dalam proses memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Beliau menekankan bahawa WP bukanlah asing kepada cabaran dan akan terus bangkit menghadapi situasi sedemikian, seperti yang telah dilakukan berkali-kali sebelum ini.

Cik Lim turut menegaskan komitmen parti untuk terus meraih kepercayaan dan sokongan rakyat Singapura.

PRITAM SINGH AKAN TERUS BERTANDING UNTUK GE2025

Ketibaan Pritam Singh di mahkamah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Encik Pritam didapati bersalah atas dua tuduhan memberi keterangan palsu kepada Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) berhubung cara beliau menangani pembohongan bekas Ahli Parlimen Parti Pekerja (WP), Raeesah Khan, di Parlimen.

Bercakap kepada media di luar mahkamah selepas keputusan kesnya diumumkan pada Isnin (17 Feb), beliau menegaskan pendiriannya untuk terus bertanding dalam pilihan raya akan datang.

"Saya rasa keperluan sekarang adalah untuk saya maju ke hadapan, bukan mengundurkan diri. Pilihan raya akan berlaku dan ia bukan pilihan raya yang mudah. Seperti yang sering saya katakan dalam ucapan awam saya kepada anggota Parti Pekerja. Jadi, kita perlu berjuang dengan gigih, dan itulah yang akan kami lakukan," katanya kepada pihak media.

SEMANGAT PARTI TIDAK TERJEJAS: PRITAM

Ketua Pembangkang Singapura, Pritam Singh. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Beliau juga yakin bahawa semangat dalam WP tidak terjejas meskipun berdepan cabaran undang-undang.

Ketika ditanya oleh media mengenai kesannya terhadap parti, beliau menekankan bahawa WP akan terus berpegang teguh pada perjuangannya.

"Setakat yang saya fahami, semangat parti tidak terjejas. Seperti yang saya katakan, jalan memilih politik pembangkang bukan untuk mereka yang lemah semangat, dan saya berasa bersyukur dan sebenarnya bertuah dapat bersama-sama dengan ahli-ahli parti yang bekerja keras untuk menyediakan alternatif kepada rakyat Singapura, untuk sekurang-kurangnya menyediakan semak dan imbang yang wajar terhadap pemerintah," katanya.

Encik Pritam menjawab pertanyaan pihak media. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Beliau juga menegaskan bahawa parti itu telah melalui pelbagai cabaran sepanjang perjalanan politiknya dan akan terus bertahan.

"Kami telah menghadapi pelbagai halangan dalam perjalanan politik kami. Kami telah menunjukkan daya tahan. Dan dalam hal ini, kes ini tidak jauh berbeza. Kita terus menunjukkan daya tahan. Lagipun, saya percaya, SG60 adalah menandakan daya tahan ," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita