Skip to main content

Singapura

WP sokong kenaikan elaun AP, persoalkan gaji dan peranan datuk bandar

Parti Pekerja (WP) menyokong kenaikan elaun Anggota Parlimen (AP) bagi mengambil kira inflasi, selain bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri Lawrence Wong untuk mengehadkan kenaikan gaji menteri kepada 9 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
WP sokong kenaikan elaun AP, persoalkan gaji dan peranan datuk bandar

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berucap di Parlimen pada 10 September 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 04:42PM
  • Parti Pekerja, melalui Pritam Singh, menyokong kenaikan elaun AP dan had kenaikan gaji menteri, namun menegaskan formula penetapan gaji politik perlu diubah.
  • WP mencadangkan gaji menteri ditetapkan berdasarkan gandaan gaji AP dan komponen berubah-ubah sederhana, berbeza dengan formula jawatankuasa semakan.
  • Pritam Singh turut mempersoalkan peranan dan imbuhan datuk bandar serta meminta penjelasan lanjut mengenai skop tugas mereka.
  • WP menggesa semakan elaun pembantu AP yang tidak berubah sejak 2007, dengan alasan kenaikan kos sara hidup dan peranan penting mereka.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) menyokong kenaikan elaun Anggota Parlimen (AP) bagi mengambil kira inflasi, selain bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri Lawrence Wong untuk mengehadkan kenaikan gaji menteri kepada 9 peratus.

Namun, Setiausaha Agung WP Pritam Singh menegaskan semula pada Khamis (10 Sep) bahawa partinya mempunyai pandangan berbeza mengenai formula yang digunakan untuk menentukan gaji politik.

Berucap semasa perbahasan di Parlimen mengenai respons pemerintah terhadap saranan jawatankuasa semakan, Encik Pritam berkata WP berpendapat gaji menteri seharusnya ditentukan berdasarkan gandaan gaji AP yang bersandarkan kepada gaji seorang penjawat awam kanan, digabungkan dengan komponen berubah-ubah yang lebih sederhana.

Menurutnya, pendekatan itu lebih baik untuk Singapura dan rakyatnya, selain terus menarik individu berkebolehan untuk menyertai politik.

Pendirian WP mengenai cara gaji politik ditentukan tidak berubah sejak 2012, kata Encik Pritam.

Beliau berkata perbezaan utama terletak pada formula yang digunakan pihak jawatankuasa, yang menyarankan agar gaji menteri terus bersandarkan kepada gaji median 1,000 individu berpendapatan tertinggi di Singapura dengan potongan tertentu.

Encik Pritam berkata formula yang dicadangkan WP pada 2012 menggunakan penanda aras yang lebih mudah difahami orang ramai dan akan menghasilkan kenaikan lebih sederhana bagi jumlah gaji menteri dari semasa ke semasa.

PERSOAL GAJI SEBAGAI FAKTOR TARIK SERTAI POLITIK

Encik Pritam turut menyentuh cabaran menarik individu berkaliber tinggi daripada sektor swasta untuk menyertai kepimpinan politik sebagai menteri.

Beliau berkata majoriti menteri terus direkrut daripada sektor awam atau perkhidmatan awam.

Menurutnya, bagi sesetengah individu daripada sektor awam, menyertai pemerintah sebagai menteri berpotensi membawa kenaikan gaji berbanding pendapatan mereka sebelum ini dalam perkhidmatan awam.

Encik Pritam turut mempersoalkan sama ada realiti khidmat politik pada masa kini, dan bukannya gaji, yang menghambat sesetengah individu daripada menyertai politik.

Beliau berkata tiada jumlah wang yang dapat meyakinkan sesetengah individu untuk meninggalkan kerjaya mereka demi menyertai kegiatan akar umbi, menangani isu perbandaran dan berdepan cabaran politik.

Encik Pritam turut menggesa supaya didedahkan jumlah imbuhan sebenar yang diterima menteri pada gred MR4, iaitu gred menteri paling rendah, berbanding norma gaji tahunan.

Menurutnya, pendedahan angka bagi komponen berubah-ubah tahunan, bonus prestasi dan bonus nasional akan memberikan gambaran lebih tepat mengenai jumlah sebenar yang diterima menteri.

PERSOAL PERANAN DATUK BANDAR

Encik Pritam turut meminta penjelasan mengenai skop, peranan dan fungsi datuk bandar serta sebab gaji mereka perlu dikaitkan dengan rangka kerja gaji politik.

Beliau berkata masih tidak jelas bagi ramai rakyat Singapura mengenai skop tugas datuk bandar.

Menurutnya, banyak fungsi yang sebelum ini dilaksanakan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), yang diterajui datuk bandar, secara beransur-ansur sudah diserahkan kepada badan lain termasuk Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan agensi pemerintah.

Encik Pritam menarik perhatian bahawa Jawatankuasa Semakan 2026 sendiri mengakui pertimbangan bagi peranan berkaitan masyarakat seperti AP dan datuk bandar mungkin berbeza daripada pemegang jawatan politik sepenuh masa.

Pemerintah menerima saranan jawatankuasa untuk mengkaji cara memisahkan bayaran bagi peranan tersebut daripada penanda aras gaji menteri MR4, sambil memastikan jumlahnya kekal mencukupi bagi membolehkan tugas dilaksanakan dengan berkesan.

Encik Pritam meminta pemerintah menyatakan bila kajian itu dijangka selesai dan sama ada Pejabat Datuk Bandar akan dikekalkan, selain menjelaskan skop, peranan serta fungsinya.

MINTA ELAUN PEMBANTU AP DISEMAK

Encik Pritam turut menggesa supaya elaun pembantu perundangan dan pembantu kesetiausahaan yang membantu AP dikaji semula.

Menurutnya, elaun tersebut kali terakhir disemak pada 2007 dan tidak termasuk dalam skop semakan gaji politik terkini.

Beliau mempersoalkan mengapa selepas 19 tahun, imbuhan dan sokongan tenaga kerja bagi para pembantu tersebut masih tidak berubah.

Encik Pritam berkata elaun mereka wajar dinaikkan bagi mengambil kira inflasi sepanjang hampir dua dekad.

Beliau menambah para pembantu itu membantu AP melaksanakan tanggungjawab kepada para penduduk dan di Parlimen tanpa mengira parti politik.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita