WP mahu SME jadi pemacu pertumbuhan ekonomi; PAP tegaskan MNC juga berperanan penting
Parti Pekerja (WP) pada Rabu (5 Ogos) menggesa pemerintah memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat kecil untuk memacu pertumbuhan ekonomi, manakala Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan Singapura juga memerlukan syarikat berbilang negara untuk terus berkembang maju.
Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Jamus Lim (kiri) dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow (kanan) di parlimen pada 5 Ogos 2026. (Gambar: CNA)
Perbahasan itu berkisar satu usul yang dibentangkan Anggota Parlimen (AP) WP Kenneth Tiong (WP-Aljunied) dan Jamus Lim (WP-Sengkang), yang menggariskan visi parti pembangkang bagi sebuah ekonomi yang lebih berteraskan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Profesor Madya Lim berkata Singapura harus secara beransur-ansur mengurangkan kebergantungannya kepada pelaburan asing dan syarikat berbilang negara (MNC), sambil berhujah bahawa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) pemerintah baru-baru ini masih menunjukkan “kecenderungan tersirat” terhadap MNC.
Menjawab usul tersebut, Menteri Kedua Kewangan dan Pengerusi Bersama ESR Jeffrey Siow berkata ekonomi Singapura memerlukan kedua-dua MNC dan SME untuk berkembang maju, sambil menegaskan bahawa kedua-duanya saling memperkukuhkan satu sama lain dan bukannya bersaing.
“Kita bukan berada dalam situasi menang atau kalah. Malah, pertumbuhan syarikat tempatan dan MNC kita saling memperkukuhkan satu sama lain,” kata beliau.
Berhubung perubahan yang disifatkannya sebagai diperlukan, Profesor Madya Lim menggesa supaya Singapura beralih daripada persaingan berasaskan cukai yang rendah, kadar pertukaran yang rendah nilainya dan “usaha memikat syarikat berbilang negara yang mudah berpindah”.
Sebaliknya, Singapura perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan perusahaan tempatan yang lebih kukuh serta menggalakkan keusahawanan.
“Ini bermakna kita perlu menghentikan kebergantungan syarikat kepada pendekatan persaingan yang hanya menumpukan perhatian kepada pemotongan kos,” kata beliau.
Prof Madya Lim menarik perhatian bahawa SME membentuk 99 peratus daripada perniagaan berdaftar dan menggajikan 70 peratus pekerja Singapura, namun hanya menyumbang sekitar separuh daripada nilai tambah ekonomi.
“Jika SME kita terbantut kerana peluang perniagaan atau pembiayaan dikuasai para pemain lebih besar, kita tidak akan dapat melahirkan syarikat 'unicorn' tempatan sendiri yang mampu bersaing di peringkat global,” tambah beliau.
Encik Siow berkata Singapura perlu berusaha dengan lebih gigih untuk menarik pelaburan asing dalam suasana global yang semakin mencabar, sambil terus menyokong syarikat-syarikat tempatan.
Pemerintah menyediakan hampir S$2 bilion dalam bentuk geran langsung kepada SME tempatan setiap tahun, kata Encik Siow, yang juga Menteri Pengangkutan.
Bukan semua skim tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dan pemerintah boleh melakukan lebih banyak untuk membantu syarikat-syarikat menggunakan sokongan yang tersedia.
Jika permintaan terhadap skim tersebut meningkat, Kementerian Kewangan bersedia untuk menyediakan lebih banyak sumber, tambah beliau.
“Sudah tentu, jika perkara ini sekadar membelanjakan lebih banyak wang, kita pasti sudah mempunyai lebih banyak syarikat bertaraf dunia,” kata Encik Siow. “Namun, ramai antara kita memahami bahawa membangunkan sesebuah syarikat bukanlah mudah.”
AP PAP dan AP Dilantik yang berucap berhubung usul itu menyokong pendirian beliau, sambil menekankan kepentingan untuk Singapura kekal terbuka serta peranan MNC dan SME dalam ekonomi negara.
AP Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah) berkata jentera ekonomi Singapura harus digerakkan oleh kedua-dua syarikat tempatan yang dinamik dan perusahaan global.
“Syarikat tempatan yang dinamik sememangnya penting, namun kita tidak seharusnya menggambarkan syarikat tempatan dan perusahaan global sebagai dua pilihan yang saling bersaing. Kejayaan Singapura tidak pernah dibina atas pilihan palsu seperti itu,” tambah beliau.
Syarikat global membawa masuk pelaburan, teknologi dan rangkaian antarabangsa, manakala syarikat tempatan menyumbang ketangkasan, inovasi dan keupayaan khusus, tambah beliau.
“Bersama-sama, kedua-duanya mewujudkan ekosistem yang membina keupayaan, mempercepat inovasi serta mewujudkan pekerjaan dan peluang yang lebih baik untuk rakyat Singapura.”
KEKAL TERBUKA
Beberapa AP PAP berhujah bahawa pasaran domestik Singapura terlalu kecil untuk menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Walaupun permintaan domestik penting untuk menyokong perniagaan di kawasan kejiranan, syarikat-syarikat Singapura perlu bersaing di pasaran yang lebih besar, kata AP Mariam Jaafar (PAP-Sembawang).
Beliau menambah, permintaan domestik yang lebih kukuh sahaja tidak akan menjana pertumbuhan, gaji dan peluang yang dihasratkan Singapura.
“Respons kita juga perlu membantu perniagaan kita bersaing dengan cara yang berbeza,” kata beliau.
AP Dilantik Mark Lee, yang juga merupakan Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), turut berhujah bahawa permintaan domestik boleh menjadi penampan, tetapi tidak mampu menyediakan skala pertumbuhan yang diperlukan.
Menurut beliau, untuk berkembang, syarikat Singapura perlu meneroka pasaran luar negara, mencari pelanggan baharu, membina kapasiti pengeluaran baharu, memperolehi teknologi serta menyertai rantaian bekalan di luar negara.
“Jawapannya bukan perlindungan. Sebaliknya, kita perlu membantu syarikat Singapura membina keupayaan untuk berkembang ke luar negara, mengekalkan nilai di sini dan menjadi cukup kukuh untuk bersaing,” tambah beliau.
Encik Siow bersetuju, sambil berkata Singapura perlu memperkukuh penglibatannya dengan pasaran luar negara dan bukannya berundur daripadanya.
Kata beliau, penyelesaiannya bukan dengan memberi tumpuan ke dalam negara semata-mata. “Sebaliknya, kita perlu memperkukuh syarikat kita supaya dapat bersaing dengan lebih berkesan di lebih banyak pasaran luar negara, dengan daya tahan yang lebih tinggi.”
Banyak syarikat tempatan berkembang dan berjaya hasil hubungan mereka dengan MNC, bukan walaupun adanya MNC, kata Encik Siow.
Beliau menambah bahawa syarikat global turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lumayan, dengan lebih dua pertiga jawatan pengurusan kanan di MNC di Singapura disandang rakyat Singapura.
Sumber yang diperuntukkan Singapura untuk menarik pelaburan tidak mengorbankan usaha menyokong perusahaan tempatan, kata Encik Siow, sambil memberi amaran bahawa pengurangan usaha tersebut berisiko menyebabkan MNC dan syarikat tempatan berpindah ke negara lain.
“Pada ketika negara-negara lain sedang membelanjakan lebih banyak berbanding sebelum ini untuk menarik dan membawa pulang pelaburan strategik, sudah tentu respons kita tidak boleh kurang daripada itu. Melepaskan pelaburan ini bermakna peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan peluang untuk rakyat Singapura juga akan berkurangan.”
WP TOLAK "DIKOTOMI PALSU"
Menjelang akhir perbahasan, Profesor Madya Lim berkata parti itu tidak menggesa supaya sokongan terhadap MNC atau syarikat berkaitan pemerintah dikurangkan, mahupun mencadangkan bahawa SME dan MNC bersaing untuk mendapatkan sumber yang sama.
Beliau mengulangi bahawa Singapura tidak seharusnya mengetepikan MNC atau syarikat berkaitan pemerintah.
“Apa yang Encik Siow kaitkan dengan Parti Pekerja, saya khuatir, ialah satu dikotomi palsu yang tidak pernah kami timbulkan. Ia mungkin hujah yang memutarbelitkan pendirian kami agar ia mudah digunakan untuk memenangi perbahasan, sekiranya itulah yang benar-benar kami katakan,” kata AP WP itu.
Profesor Madya Lim turut menegaskan bahawa WP tidak percaya bahawa permintaan domestik semata-mata mampu menggerakkan ekonomi Singapura.
“Sebaliknya, apa yang kami ingin tekankan ialah pertumbuhan permintaan pengguna yang selama ini lebih lemah di sini berbanding ekonomi maju lain yang berada pada tahap pembangunan yang setara,” kata beliau.
Encik Tiong berkata Encik Siow telah salah tafsir pendirian WP apabila beliau mencadangkan bahawa parti itu mahu bergantung kepada pasaran domestik sebagai sumber utama pertumbuhan.
“Sudah tentu itu bukan sesuatu yang munasabah bagi sesiapa yang berfikir lebih daripada dua saat mengenainya,” kata beliau. “WP mengatakan bahawa permintaan domestik itu diperlukan, bukannya mencukupi.”
Encik Siow mengakui bahawa AP WP tidak berhujah supaya Singapura beralih sepenuhnya kepada SME, dan mereka juga mengiktiraf kepentingan SME serta syarikat global, selain mengakui bahawa strategi ekonomi yang menyeluruh memerlukan kedua-duanya.
Beliau berkata tanggapannya terhadap pendirian WP berpunca daripada kandungan usul parti pembangkang itu, yang tidak menyebut langsung mengenai perusahaan global dan ekonomi global.
Encik Siow berkata Profesor Madya Lim juga menyatakan dalam ucapannya bahawa Singapura perlu beralih dan memberi tumpuan kepada SME.
“Apabila kita menyebut 'beralih', saya mengandaikan beliau melihatnya sebagai situasi yang memihak kepada satu pihak,” kata beliau sambil menambah bahawa itulah sebabnya PAP mengemukakan pindaan terhadap usul tersebut.
“Namun, jika saya tersilap, saya amat gembira beliau telah menjelaskan bahawa WP sememangnya sehaluan dengan strategi ekonomi kami.”
Menteri itu berkata banyak cadangan yang dikemukakan WP mempunyai persamaan dengan ESR.
“Sebenarnya, dalam ucapan hari ini, saya juga tidak mendengar satu idea besar yang boleh menggantikan ESR. Malah, saya melihat WP banyak membina daripada apa yang telah disyorkan ESR,” tambah beliau.
TEKANAN KOS
Profesor Madya Lim menggesa pemerintah untuk menyokong SME secara "tidak langsung" dengan mengurangkan tekanan kos, khususnya kos sewa dan tenaga kerja.
Beliau mencadangkan supaya kenaikan sewa tahunan dihadkan kepada sekitar purata sejarah sebanyak tiga peratus, sambil berkata langkah itu akan memberi masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan kos tetap.
“Ini ialah had ke atas kadar kenaikan, bukan pada kadar sewa itu sendiri. Kadar sewa pasaran masih akan kekal dalam jangka panjang,” kata beliau.
Profesor Madya Lim berkata banyak negara mempunyai sekatan yang serupa, malah jika langkah itu hanya dikenakan ke atas hartanah milik pemerintah atau agensi pemerintah, ia tetap merupakan satu langkah besar ke hadapan.
Beliau turut mencadangkan supaya had nisbah kebergantungan kepada tenaga kerja asing dikaji semula dalam sektor-sektor seperti makanan dan minuman, yang menghadapi kesukaran mengisi jawatan kosong yang ada.
AP Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh) bersetuju bahawa SME berdepan tekanan kos yang ketara, namun menggesa para AP supaya menjelaskan dengan lebih terperinci pertukaran dasar yang perlu dibuat.
“Jika kos buruh menjadi kebimbangan utama, adakah para AP mencadangkan supaya dasar tenaga kerja asing dilonggarkan dengan ketara? Jika kos sewa menjadi isu, adakah mereka mencadangkan kawal selia sewa atau campur tangan yang lebih besar dalam pasaran sewaan komersial? Jika kos tenaga menjadi isu, adakah mereka mencadangkan kawalan harga tenaga atau subsidi jangka panjang?”
Menurut Encik Saktiandi, langkah mengurangkan satu kos boleh membawa kesan terhadap aspek-aspek lain.
Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling mengakui cabaran yang dihadapi perniagaan makanan dan minuman, perusahaan di kawasan kejiranan serta perniagaan warisan.
Kata beliau, matlamat pemerintah bukan sekadar untuk membantu perniagaan menampung kos yang meningkat, tetapi membantu mereka beroperasi dengan cara yang berbeza dan bersaing dengan lebih berkesan.
Beliau menambah usaha menarik pelaburan MNC dan sokongan yang diberikan kepada perniagaan tempatan merupakan strategi yang saling melengkapi.
“Ekonomi yang kukuh memerlukan sumbangan kedua-dua MNC dan SME,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.