Skip to main content

Singapura

WP mahu model pertumbuhan baharu; PAP pertahan pendekatannya beri manfaat beberapa generasi

Parti Pekerja (WP) pada Rabu (5 Ogos) menggesa model pertumbuhan ekonomi yang dikemas kini untuk memberi manfaat kepada para pekerja Singapura, manakala Parti Tindakan Rakyat (PAP) menegaskan pendekatan sedia ada telah membawa hasil yang baik bagi beberapa generasi rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
WP mahu model pertumbuhan baharu; PAP pertahan pendekatannya beri manfaat beberapa generasi

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh, AP Kenneth Tiong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng serta Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Jeffrey Siow berucap di parlimen pada 5 Ogos 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 12:01AM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Rabu (5 Ogos) menggesa model pertumbuhan ekonomi yang dikemas kini untuk memberi manfaat kepada para pekerja Singapura, manakala Parti Tindakan Rakyat (PAP) menegaskan pendekatan sedia ada telah membawa hasil yang baik bagi beberapa generasi rakyat Singapura.

Para Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua pihak mengambil bahagian dalam perbahasan berhubung usul yang dibentangkan AP WP Kenneth Tiong (WP-Aljunied) dan Jamus Lim (WP-Sengkang) mengenai sebuah "ekonomi masa depan" yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Tiong menggesa model pertumbuhan ekonomi yang dikemas kini, iaitu model yang "bukan sahaja mengambil kira angka pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (GDP), tetapi juga struktur pertumbuhan itu sendiri".

Beliau menggesa supaya pertumbuhan dinilai dan diutamakan secara “jujur”, termasuk mengambil kira sejauh mana pekerja, pemilik perniagaan dan usahawan Singapura menyumbang kepada pendapatan negara.

Ketua WP Pritam Singh mengulangi gesaan parti itu supaya sokongan bagi pekerja yang diberhentikan kerja diwujudkan, sambil berkata sudah tiba masanya faedah minimum pemberhentian kerja diperuntukkan dalam undang-undang.

“Kelopongan dalam undang-undang pekerjaan kita ini amat berbeza dengan realiti yang dihadapi para pekerja kita, seperti yang digariskan dalam laporan ESR,” katanya, merujuk kepada Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang mengeluarkan laporan akhirnya pada 24 Jun.

Menjawab usul WP, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng berkata dalam ucapannya bahawa sokongan kewangan semasa seseorang menganggur atau menjalani latihan semula memberi “ruang bernafas” kepada para pekerja dan keluarga mereka, namun ia perlu disertakan dengan laluan yang jelas untuk mereka melangkah ke hadapan.

Menurut beliau, matlamatnya adalah untuk membantu setiap individu kembali bekerja secara mampan dengan penuh keyakinan, dan bukan sekadar menjadikan tempoh pengangguran lebih mudah dilalui.

Beliau menambah: “Kita tidak akan dapat menjanjikan bahawa setiap pekerjaan akan kekal seperti sedia ada. Saya rasa kita tidak mampu, malah tidak seharusnya cuba … menghalang kemajuan teknologi semata-mata untuk mengekalkan keadaan seperti sekarang.”

Sebaliknya, pemerintah akan membantu para pekerja membuat persiapan lebih awal, memperolehi kemahiran yang relevan, mengenal pasti langkah seterusnya yang sesuai, serta menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa dipinggirkan.

“Begitulah caranya seseorang pekerja memperolehi manfaat jangka panjang daripada kejayaan ekonomi, bukan hanya menerusi pampasan selepas berlakunya gangguan, tetapi melalui keupayaan yang berkekalan untuk terus menyumbang, menjana pendapatan, menyesuaikan diri dan terus maju,” kata Dr Tan.

Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Jeffrey Siow berkata strategi ekonomi pemerintah “sentiasa berteraskan rakyat Singapura”, sama ada sebagai pekerja, golongan karyawan, pelabur, usahawan mahupun pemilik perniagaan.

“Pertumbuhan ekonomi tidak pernah menjadi matlamat utama. Ia adalah satu cara untuk mencapai beberapa perkara, iaitu mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Singapura. Dan berdasarkan ukuran tersebut, model ekonomi Singapura telah membawa manfaat kepada beberapa generasi rakyat Singapura,” kata Encik Siow, yang juga merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa ESR berhubung daya saing global.

MODEL PERTUMBUHAN EKONOMI YANG "DIKEMAS KINI"

Encik Siow berkata demikian sebagai respons kepada ucapan pembukaan Encik Tiong bagi usul tersebut, yang menggesa pemerintah melaksanakan pembaharuan "besar" terhadap struktur ekonomi Singapura bagi memastikan agihan hasil pertumbuhan yang lebih adil.

Encik Tiong berkata, walaupun pendekatan untuk mengembangkan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengagihkan manfaatnya menerusi baucar dan rebat "boleh diterima" sebagai langkah sementara, dalam jangka sederhana dan panjang, pertumbuhan ekonomi itu sendiri perlu menghasilkan agihan yang lebih adil.

Justeru, kata beliau, Singapura memerlukan enjin ekonomi yang dipacu syarikat tempatan yang dinamik, permintaan domestik yang kukuh, serta rakyat Singapura dan modal Singapura yang berkembang ke luar negara.

“Hanya apabila rakyat Singapura berkembang maju, dan percaya bahawa peluang untuk berjaya adalah adil buat semua, barulah negara ini dapat kekal terbuka,” kata Encik Tiong.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemerintah supaya “mengukur perkara yang menjadikan pertumbuhan itu benar-benar bermakna”, termasuk memastikan bahagian pendapatan negara yang adil, pertumbuhan pendapatan sebenar yang seiring dengan produktiviti serta peningkatan kemampuan gaji biasa untuk menampung lebih banyak keperluan.

Sementara itu, AP Gerald Giam (WP-Aljunied) menggesa supaya pekerjaan yang berteraskan kemahiran seperti juruelektrik, tukang paip, jurutera lif dan juruteknik prasarana diangkat sebagai kerjaya bernilai tinggi.

Menurut beliau, golongan pekerja mahir merupakan tunjang kepada prasarana negara dan kemahiran mereka tidak mudah digantikan oleh kecerdasan buatan (AI).

“Walaupun kecerdasan buatan boleh mengautomasikan penyediaan laporan pentadbiran dan pekerja jarak jauh di luar negara boleh menguruskan akaun korporat, mereka tidak mampu memasang semula pendawaian bilik server, membaiki paip air utama atau menyelenggara prasarana kritikal di Singapura.

“Kemahiran ini sememangnya bersifat tempatan, memerlukan kepakaran tinggi dan sukar digantikan dari jauh,” kata beliau.

Encik Giam turut mengemukakan beberapa cadangan, termasuk mempromosikan pekerjaan berteraskan kemahiran kepada para pelajar dan mereka yang ingin bertukar kerjaya sebagai pilihan yang berdaya maju serta dihormati setanding dengan diploma politeknik dan ijazah universiti.

Beliau turut menggesa supaya kerjaya tersebut dikawal selia dan diperkasakan dalam pasaran terbuka.

Memetik statistik tenaga buruh, Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash, yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Keusahawanan ESR, berkata dalam ucapannya bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa struktur ekonomi Singapura gagal berfungsi meskipun dunia sedang berubah.

Encik Dinesh berkata pasaran buruh Singapura kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran luaran yang mencabar.

Walaupun pemberhentian pekerja di beberapa syarikat menjadi tumpuan media, pekerjaan terus meningkat bagi suku ke-19 berturut-turut pada suku pertama 2026.

Beliau menambah bahawa pekerjaan dalam kalangan penduduk terus meningkat, kadar pengangguran kekal rendah dan syarikat masih terus mengambil pekerja. Pendapatan sebenar juga meningkat, manakala jurang pendapatan semakin mengecil.

“Tidak banyak ekonomi maju yang berjaya mencapai semua pencapaian ini pada masa yang sama.

“Ada AP yang membandingkan Singapura dengan ekonomi perindustrian lain, dengan berhujah bahawa kebergantungan mereka yang lebih tinggi kepada syarikat tempatan telah menghasilkan model produktiviti dan hasil yang lebih baik untuk para pekerja,” kata Encik Dinesh.

“Namun, berdasarkan ukuran yang setanding, pencapaian gaji di Singapura adalah lebih tinggi berbanding ekonomi tersebut, bukan sahaja pada paras pendapatan median, malah bagi golongan berpendapatan rendah.”

Beliau menambah: “Oleh itu, bukti yang ada tidak menyokong kesimpulan bahawa model ekonomi Singapura gagal. Kita sedang melalui peralihan struktur, walaupun mencabar dan tidak sekata, dari kedudukan yang kukuh.

“Sistem ini telah banyak memberi manfaat kepada kita, namun kita mesti dan akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.”

PERBAHASAN BERHUBUNG PAMPASAN PEMBERHENTIAN KERJA

Ketua WP Pritam Singh menggesa pemerintah menggubal undang-undang yang menetapkan pampasan minimum bagi pekerja yang diberhentikan kerja, satu isu yang pernah dibangkitkannya di parlimen, termasuk semasa semakan Akta Pekerjaan.

Lapan daripada 10 pekerja yang layak menerima pampasan pemberhentian kerja pada kadar semasa atau lebih tinggi daripada garis panduan sedia ada, iaitu dua minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan, antara 2020 hingga 2025.

Namun, Encik Pritam menarik perhatian bahawa pada 2024, hampir 3,000 pekerja yang diberhentikan kerja di Singapura berkemungkinan sama ada tidak menerima sebarang pampasan pemberhentian kerja atau menerima bayaran yang lebih rendah daripada yang disyorkan dalam garis panduan tiga pihak.

Kata beliau, pekerja di Singapura tidak mempunyai hak berkanun untuk menerima pampasan pemberhentian kerja.

“Untuk menerima pampasan pemberhentian kerja, pekerja di Singapura bergantung kepada ihsan majikan, syarat kontrak pekerjaan mereka, atau kekuatan kedudukan tawar-menawar mereka selepas mereka kehilangan pekerjaan.”

Beliau berkata pampasan pemberhentian kerja merupakan satu bentuk sokongan penting yang disediakan majikan, sebagai pelengkap kepada bantuan yang dibiayai pemerintah seperti skim sokongan pencari kerja.

Beliau menambah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) selama ini mengemukakan beberapa hujah bagi menolak penggubalan undang-undang berkaitan pampasan pemberhentian kerja. Antaranya, pampasan mandatori boleh menyebabkan majikan lebih berhati-hati dalam menawarkan kontrak pekerjaan jangka panjang atau tetap; penetapan kadar minimum dalam undang-undang mungkin menyebabkan majikan hanya menawarkan kadar minimum tersebut; dan pampasan mandatori boleh menjejaskan syarikat yang sedang menghadapi masalah kewangan.

Encik Pritam mengakui bahawa penggubalan undang-undang berkaitan pampasan pemberhentian kerja pasti menimbulkan kebimbangan dalam kalangan perniagaan.

Namun, kata beliau, banyak majikan yang bertanggungjawab sudahpun menyediakan faedah tersebut, dan amalan itu boleh dijadikan asas bagi pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Langkah tersebut, kata beliau, pada asasnya hanya akan merasmikan amalan sedia ada sambil memastikan para pekerja yang tidak dilindungi oleh garis panduan tiga pihak turut mendapat perlindungan.

AP Fadli Fawzi (WP-Aljunied) turut mencadangkan jaringan keselamatan yang kukuh bagi melindungi pekerja menerusi pampasan pemberhentian kerja mandatori serta skim insurans pemberhentian kerja.

Menurut beliau, usaha meningkatkan kemahiran dan latihan semula mungkin tidak kedengaran seperti suatu penyelesaian bagi mereka yang telah atau bakal kehilangan pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi satu lagi sumber tekanan dan ketidakpastian.

Beliau mengutarakan cadangan WP mengenai skim insurans pemberhentian kerja yang akan menawarkan perlindungan lebih baik kepada semua pekerja di Singapura, termasuk golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME).

Berbeza dengan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, cadangan WP itu seharusnya bersifat sejagat dan dibiayai menerusi sumbangan bersama daripada majikan serta pekerja, kata beliau.

Menjawab perkara itu, AP buruh Patrick Tay (PAP-Pioneer) berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pergerakan buruh telah merundingkan perjanjian kolektif serta memasukkan syarikat ke dalam kesatuan bagi memastikan pekerja dilindungi dengan baik sekiranya berlaku pemberhentian kerja, selain memastikan pampasan pemberhentian kerja dibayar.

Beliau menambah bahawa pihaknya juga telah menggesa supaya rejim perlindungan pemberhentian kerja di Singapura terus diperkukuh.

“Kami kekal terbuka untuk berunding, dan perbincangan sedang dijalankan, sama ada berkaitan Akta Pekerjaan, semakan nasihat tiga pihak untuk diperkukuh menjadi garis panduan tiga pihak seperti yang pernah saya bangkitkan di Dewan ini, mahupun langkah yang lebih tegas terhadap syarikat yang melanggar atau gagal mematuhi nasihat tersebut,” kata Encik Tay.

Tidak seperti skim insurans pengangguran, Penolong Setiausaha Agung NTUC itu berkata Skim Bantuan Pencari Kerja tidak memerlukan majikan dan pekerja membayar premium.

“Dalam keadaan ini, pemerintah menanggung kos tersebut dan memberikan sokongan yang diperlukan menerusi dasar pasaran buruh yang aktif,” kata beliau.

Merujuk kepada cadangan dalam laporan ESR untuk memperkukuh Skim Bantuan Pencari Kerja, Encik Dinesh berkata pemerintah sedang meneliti cara untuk meluaskan skim itu kepada lebih ramai PME supaya mereka mempunyai keyakinan dan jaminan yang lebih besar ketika mencari pekerjaan baharu.

Beliau menambah bahawa laporan ESR turut menekankan keperluan untuk meneliti sama ada skim insurans sedemikian wajar diperkenalkan.

Encik Dinesh kemudian berkata tidak jelas apakah perbezaan antara skim insurans pemberhentian kerja yang dicadangkan WP dengan Skim Bantuan Pencari Kerja pemerintah, “kecuali skim sokongan pencari kerja lebih menekankan usaha untuk mendapatkan pekerjaan semula”.

“Namun saya mengesyaki kedua-dua skim itu pada asasnya adalah serupa. Daripada mewujudkan mekanisme baharu, ESR mencadangkan supaya kita memperkukuh skim seperti (Skim Bantuan Pencari Kerja), khususnya bagi PME yang sedang melalui peralihan kerjaya yang lebih mencabar,” kata beliau.

Kenyataan itu mendorong Encik Fadli memberi penjelasan bahawa Skim Bantuan Pencari Kerja memerlukan pekerja yang diberhentikan kerja untuk melalui proses permohonan dan “berdepan kemungkinan permohonan tersebut ditolak”.

Beliau menambah bahawa skim yang dicadangkan WP boleh mengurangkan risiko guna tenaga yang tidak memenuhi potensi. Ia juga boleh menjadi lebih berkesan dalam memastikan semua pekerja yang diberhentikan kerja menerima perlindungan.

Sebagai respons, Encik Dinesh berkata satu-satunya perbezaan ialah pekerja perlu menunjukkan bahawa mereka sedang memohon untuk mendapatkan pekerjaan semula di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita