Skip to main content

Singapura

WP lantik Nicole Seah selaku presiden sayap belia, anggota termuda CEC Raeesah Khan, timbalan bendahari

 Parti Pekerja (WP) melantik Cik Nicole Seah, 34 tahun, sebagai presiden sayap belia parti itu, manakala anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) termuda, Cik Raeesah Khan, 27 tahun, selaku timbalan bendahari.

Anggaran Waktu Membaca:
WP lantik Nicole Seah selaku presiden sayap belia, anggota termuda CEC Raeesah Khan, timbalan bendahari

Cik Nicole Seah (kiri) dan Cik Raeesah Khan. (Gambar: Parti Pekerja)

Diterbitkan : 07 Jan 2021 12:25AM Dikemas Kini : 07 Jan 2021 12:29AM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) melantik Cik Nicole Seah, 34 tahun, sebagai presiden sayap belia parti itu, manakala anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) termuda, Cik Raeesah Khan, 27 tahun, selaku timbalan bendahari.

Dr Jamus Lim, 44 tahun, yang juga Anggota Parlimen(AP) GRC Sengkang bersama Cik Raeesah, dilantik timbalan ketua bagi pasukan kajian dasar parti tersebut. Jawatan itu baru dibentuk dalam CEC kali ini.

Dua lagi AP GRC Sengkang yang lain, Cik He Ting Ru, 37, dan Encik Louis Chua, 33 tahun, masing-masing dilantik timbalan setiausaha penganjur dan timbalan ketua pasukan media WP.

WP mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan pada Rabu (6 Jan), sehari selepas CEC bertemu untuk meluluskan pelantikan tersebut.

CEC dipilih semasa satu sidang anggota kader parti pada 27 Dis, bagi memberi peluang kepada anggota lebih muda menyertai badan pembuat keputusan tertingginya. Mereka termasuk empat AP GRC Sengkang dan Cik Seah, yang merupakan sebahagian daripada pasukan WP di GRC East Coast yang kalah dalam pilihan raya dengan meraih 46.59 peratus undi.

Encik Pritam Singh, 44, dan Cik Sylvia Lim, 55, yang merupakan AP GRC Aljunied, masing-masing kembali menyandang jawatan setiausaha agung dan pengerusi tanpa pesaing.

CEC baru WP itu juga termasuk Encik Kenneth Foo, 43, yang kembali sebagai timbalan setiausaha penganjur, jawatan yang dipegangnya dari 2016 hingga 2018.

Mantan presiden sayap belia, AP GRC Aljunied, Leon Perera, 50, dilantik ketua pasukan media - jawatan yang dikosongkan Dr Daniel Goh pada April lalu, disebabkan keadaan kesihatannya.

AP GRC Aljunied Gerald Giam, 43, kekal sebagai bendahari parti, jawatan yang beliau pegang sejak 2018. Beliau juga memimpin pasukan kajian dasar.

Encik Faisal Manap, 45, AP GRC Aljunied dan Encik Dennis Tan, 50, yang kini AP kubu kuat WP di SMC Hougang, masing-masing kekal sebagai naib pengerusi dan setiausaha penganjur parti.

Mantan ketua WP Low Thia Khiang, 64 tahun, dan mantan setiausaha penganjur Png Eng Huat, 59, kekal tidak memegang sebarang jawatan di CEC sejak 2018.

Bagaimanapun, WP menyatakan Encik Low dan Encik Png dilantik dan "terus berkhidmat sebagai anggota CEC". 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita