WP lantik anggota baharu ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat
Dua anggota parlimen baharu, Andre Low dan Eileen Chong, diserapkan ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja (WP).
Encik Andre Low (kiri) dan Cik Eileen Chong dari Parti Pekerja (WP) dipilih sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) menyusuli Pilihan Raya Umum 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor, Syamil Sapari)
Encik Low dilantik sebagai timbalan ketua pasukan media WP, manakala Cik Chong dinamakan sebagai presiden sayap belia parti itu, menurut kenyataan WP pada Rabu (18 Jun). Mereka akan mengisi dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dalam Parlimen ke-15 Singapura apabila sesi pertamanya bermula pada 5 September.
Cik Chong akan mengambil alih jawatan presiden sayap belia daripada Profesor Madya merangkap Anggota Parlimen, Jamus Lim, yang akan terus berkhidmat sebagai timbalan ketua penyelidikan dasar parti tersebut.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Dr Jamus Lim atas sumbangannya dalam pembangunan sayap belia parti, dan beliau akan menyerahkan kepimpinan tersebut kepada Cik Eileen Chong,” kata WP.
CEC WP mengadakan mesyuarat pada Selasa, di mana dua lagi anggota parlimen baharu, Abdul Muhaimin Abdul Malik dan Kenneth Tiong, turut diserap ke dalam jawatankuasa tersebut. Encik Abdul Muhaimin dilantik sebagai timbalan setiausaha penganjur WP, manakala Encik Tiong dilantik sebagai timbalan bendahari parti.
Tiada perubahan lain bagi jawatan yang dipegang anggota CEC sedia ada, menurut WP, sambil menambah bahawa parti itu akan terus dipimpin setiausaha agung Pritam Singh dan pengerusi Sylvia Lim. Kedua-duanya mengekalkan jawatan mereka dalam satu persidangan parti pada Jun lalu.
“Parti Pekerja yakin bahawa anggota CEC baharu kami akan memainkan peranan penting sedang kami terus berkhidmat untuk rakyat Singapura dan bekerja demi Singapura.”
WP memenangi 10 kerusi secara keseluruhan pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.