Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP lantik 3 anggota baru Jawatankuasa Eksekutif Pusat

Anggaran Waktu Membaca:
WP lantik 3 anggota baru Jawatankuasa Eksekutif Pusat

(Dari kiri) Encik Nathaniel Koh, 39 tahun, Encik Ang Boon Yaw, 40 tahun, dan Encik Tan Kong Soon, 45 tahun. Kesemua tiga anggota tersebut dilantik menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja (WP). (Gambar: Parti Pekerja)

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) melantik tiga anggota baru untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tersebut.

Cik Sylvia Lim dilantik semula sebagai Pengerusi parti, manakala Encik Pritam Singh pula dilantik semula selaku Setiausaha Agung parti pembangkang itu.

Tiga anggota baru yang dilantik pada Sabtu (12 Nov) adalah Encik Nathaniel Koh, Encik Ang Boon Yaw dan Encik Tan Kong Soon.

Encik Koh menyertai WP pada 2009 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020. Beliau adalah sebahagian daripada pasukan lima anggota yang ditampilkan oleh parti tersebut bagi
GRC Marine Parade semasa bertanding menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin oleh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Encik Koh sebelum ini menganggotai sayap belia WP dan adalah ejen pilihan raya di SMC Sengkang West, yang kini sudah tidak lagi berfungsi.

Menurut profil Encik Ang seperti yang dipaparkan dalam laman web WP, beliau mula menjadi sukarelawan dengan parti tersebut pada 2012 di mana beliau membantu mantan Anggota Parlimen (AP) Chen Show Mao dalam Sesi Anggota Parlimen (MPS).

Bagi Encik Tan pula, beliau adalah bekas penolong perundangan mantan ketua parti Low Thia Khiang dari 2013 hingga 2017.

Penyokong setia WP, Encik Low, juga dilantik semula untuk menganggotai CEC, badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.

Mantan AP Hougang Png Eng Huat pula mengundurkan diri daripada jawatankuasa berkenaan.

Pemilihan semasa Persidangan Anggota Kader diadakan setiap dua tahun.

WP sudah membuat percubaan untuk memperbaharui CEC parti itu selepas Encik Low menyerahkan tampuk kepimpinan parti tersebut kepada Encik Singh pada 2018. Encik Pritam kini menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Dalam Persidangan Anggota Kader yang lalu, Encik Singh berkata bahawa WP sedang mengimbangi pembaharuan dengan kesinambungan dalam parti tersebut.

Buat masa ini, terdapat 15 anggota dalam CEC berbanding 14 sebelum ini.

"CEC yang baru ini sudahpun mengambil alih tugas, dengan gabungan anggota yang berbeza usia dan latar belakang; dan sudah mula bekerja dengan serta-merta," menurut WP.

Anggota-Anggota CEC adalah seperti berikut -

Pengerusi: Cik Sylvia Lim, 57 tahun

Setiausaha Agung: Encik Pritam Singh, 46 tahun

Anggota-Anggota:

Encik Ang Boon Yaw, 40 tahun

Encik Chua Kheng Wee, 35 tahun

Encik Foo Seck Guan Kenneth, 45 tahun

Encik Gerald Giam, 45 tahun

Cik He Ting Ru, 39 tahun

Encik Nathaniel Koh, 39 tahun

Dr Jamus Lim, 46 tahun

Encik Low Thia Khiang, 66 tahun

Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, 47 tahun

Encik Leon Perera, 52 tahun

Cik Nicole Seah, 36 tahun

Encik Dennis Tan Lip Fong, 52 tahun

Encik Tan Kong Soon, 45 tahun
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan