Skip to main content

Singapura

WP keluarkan surat teguran rasmi kepada Pritam Singh susuli sabitan mahkamah kerana berbohong di parlimen

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja (WP) mengeluarkan surat teguran rasmi kepada Setiausaha Agungnya Pritam Singh, menyusuli proses disiplin dalaman berpunca daripada sabitan mahkamah kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
WP keluarkan surat teguran rasmi kepada Pritam Singh susuli sabitan mahkamah kerana berbohong di parlimen

Setiausaha Agung WP Pritam Singh bercakap kepada media di luar Mahkamah Agung selepas sabitannya dikekalkan pada 4 Dis 2025. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 30 Apr 2026 09:18PM Dikemas Kini : 30 Apr 2026 09:51PM
SINGAPURA: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja (WP) mengeluarkan surat teguran rasmi kepada Setiausaha Agungnya Pritam Singh, menyusuli proses disiplin dalaman berpunca daripada sabitan mahkamah kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen.

Dalam kenyataan media pada Khamis (30 Apr), WP menyatakan CEC mengadakan mesyuarat pada 28 dan 29 April untuk membincangkan laporan oleh panel disiplin berhubung perkara itu.

Encik Pritam serta Pengerusi WP Sylvia Lim dan Naib Pengerusi WP Faisal Manap, menarik diri daripada mesyuarat itu.

Panel disiplin itu mendapati Encik Pritam melanggar perlembagaan parti, khususnya Artikel 20(1) dan 30, berdasarkan dapatan mahkamah.

CEC menyatakan ia menerima dapatan panel tersebut berhubung pelanggaran itu.

"CEC secara berasingan menganggap bahawa Encik Pritam tidak mempunyai sebarang niat untuk bertindak dengan cara yang bertentangan dengan prinsip, matlamat, atau kebajikan parti, atau memudaratkan parti tersebut, dan tindakannya akhirnya mencerminkan keputusan yang perlu dibuatnya," menurut WP.

"Dalam menimbangkan pelbagai tindakan yang akan diambil terhadap Encik Pritam, CEC menilai keseluruhan keadaan dan telah mengeluarkan surat teguran rasmi kepadanya," tambah CEC.

"Kami akan terus membina sebuah sistem politik yang lebih seimbang untuk Singapura."

WP menyatakan pada awal bulan ini bahawa sebuah panel disiplin yang menyiasat Encik Pritam sudahpun selesai menjalankan siasatan berhubung sama ada ketua WP itu melanggar perlembagaan parti tersebut.

Panel itu terdiri daripada AP GRC Sengkang Jamus Lim dan He Ting Ru serta mantan AP Hougang Png Eng Huat.

Ia ditubuhkan oleh CEC pada Januari lalu, menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi untuk menegakkan sabitan terhadap Encik Pritam pada Disember 2025 menyusuli rayuan yang dikemukakannya.

WP sebelum ini menyatakan satu persidangan khas kader hanya akan diadakan selepas panel disiplin selesai menjalankan siasatannya.

Mediacorp difahamkan bahawa kedudukan Encik Pritam sebagai setiausaha agung parti adalah antara topik yang mungkin dibincangkan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita