WP hormati keputusan anggota kader kekalkan dirinya sebagai setiausaha agung: Pritam
Parti Pekerja (WP) akan menghormati keputusan "majoriti besar" anggota kader yang mengundi untuk mengekalkan beliau sebagai setiausaha agung, kata Encik Pritam Singh pada Ahad (28 Jun), selepas berjaya mengekalkan kedudukannya susuli undian rahsia berhubung kepimpinannya.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh bercakap kepada media pada 28 Jun 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas persidangan khas anggota kader, yang diadakan berikutan permohonan rasmi daripada 25 anggota kader pada penghujung tahun lalu. Mereka meminta Encik Pritam untuk memberi penjelasan berhubung sabitannya atas tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, serta meletakkan jawatan atau berdepan undian rahsia.
Tiada sesiapa yang mencabar kedudukannya, kata Encik Pritam kepada para wartawan.
Ketika ditanya bagaimana beliau akan meyakinkan orang ramai atau anggota kader yang tidak berpuas hati dengan beliau yang dapat mengekalkan jawatan, Encik Pritam berkata keputusan tersebut dibuat oleh anggota kader menerusi proses pengundian dan parti akan menghormatinya.
"Mereka meminta mesyuarat itu diadakan dan saya perlu berkongsi bahawa mereka menggunakan hak yang diperuntukkan kepada anggota kader di bawah perlembagaan parti. Kami menghormati proses tersebut," tambah beliau.
Pihak yang mengemukakan petisyen meminta supaya satu undian dijalankan, dan pengerusi mesyuarat itu, yang juga Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, Gerald Giam, bersetuju dengan permintaan tersebut.
"Saya cukup yakin mereka menghormati proses demokrasi seperti kita semua. Dan keputusan yang dibuat adalah apa yang diputuskan oleh anggota kader," tambah Encik Pritam.
WP turut mengadakan pemilihan dwitahunannya pada Ahad. Cik Sylvia Lim dipilih semula sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), manakala anggota kader memilih 12 lagi anggota untuk menganggotai badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.
Encik Pritam berkata persidangan khas anggota kader itu mempunyai tujuan yang khusus untuk membincangkan petisyen berkenaan, manakala pemilihan CEC "berjalan seperti biasa".
"Parti memahami bahawa tanggungjawabnya adalah untuk bertindak secara rasional dan bertanggungjawab, serta mewakili rakyat Singapura dengan penuh amanah. Dan jika kami mahu terus berbuat demikian, saya fikir kami perlu bersatu sebagaimana yang sewajarnya bagi sebuah parti yang munasabah dan dihormati."
Menurut beliau, petisyen itu mencerminkan cara WP beroperasi, sambil menambah bahawa ia adalah penting bagi anggota kader untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pendapat mereka.
Encik Giam pula memberitahu para wartawan bahawa perbincangan semasa persidangan itu berlangsung secara terbuka dan tertib, manakala Encik Pritam menjawab semua soalan daripada anggota kader selepas memberikan penjelasan mengenai keputusan mahkamah pada Disember 2025.
Beliau menambah bahawa anggota kader kemudian mengundi "jauh melebihi majoriti besar yang diperlukan" untuk mengekalkan Encik Pritam sebagai setiausaha agung parti.
"Ini mencerminkan komitmen parti terhadap proses demokrasi dan proses yang adil yang diberikan kepada Encik Pritam, serta kepada semua pihak yang meminta agar persidangan khas ini diadakan," kata Encik Giam, yang turut dipilih semula untuk menganggotai CEC.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.