Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP gesa usia kelayakan golongan bujang beli flat BTO diturunkan

Anggaran Waktu Membaca:
  WP gesa usia kelayakan  golongan bujang beli flat BTO  diturunkan

Flat HDB di Singapura. (Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Louis Chua hari ini (13 Sep) mengusulkan had usia untuk membolehkan rakyat bujang Singapura memohon flat baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) diturunkan kepada 28 tahun, sambil menggesa Pemerintah supaya menambah bekalan perumahan awam untuk semua.

Encik Chua (WP-Sengkang) membuat saranan tersebut dalam usul penangguhan bagi "Memastikan Keperluan Perumahan Golongan Bujang dan Rakyat Singapura dipenuhi" di Parlimen.

Beliau berkata meskipun pilihan perumahan awam bagi golongan bujang secara berperingkat sudah diperluaskan sejak 1991, apabila Skim Warga Singapura Bujang (SSC) diperkenalkan, satu syarat utama dasar itu kekal tidak berubah - iaitu golongan bujang mesti berusia sekurang-kurangnya 35 tahun dan ke atas untuk layak membeli perumahan awam.

Beliau menggesa agar usia kelayakan untuk memohon flat Bina Ikut Tempatan (BTO) diturunkan kepada 28 tahun.

"Usulan ini akan menjadi satu perubahan penting, namun satu kesinambungan usaha Pemerintah sejak beberapa tahun lalu untuk memperluaskan pilihan HDB bagi golongan bujang, di samping membenarkan HDB untuk memberi keutamaan kepada keluarga-keluarga tempatan," kata Encik Chua.

"Malah, kami yakin langkah menurunkan had usia kepada 28 tahun untuk memiliki flat HDB akan membantu matlamat HDB untuk menjadi perumahan awam Singapura yang 'inklusif' dan 'mencerminkan kerencaman masyarakat kita'."

Sungguhpun demikian, isu lebih genting lagi pada waktu ini adalah bekalan perumahan yang tidak mencukupi, kata beliau.

"Saya menggesa Pemerintah supaya mengambil langkah segera dan tegas untuk meningkatkan jumlah perumahan awam dan menangani isu permintaan dan bekalan sedia ada yang tidak seimbang, bagi memastikan permintaan perumahan oleh semua rakyat Singapura - bukan setakat golongan bujang - boleh dipenuhi," kata Encik Chua.

Menurut Encik Chua, kadar permohonan bagi flat BTO melonjak ke paras tertinggi sepanjang sedekad yang lalu.

Bagi flat tiga bilik atau lebih besar, jumlah permintaan melonjak dari 2.8 kali ganda pada 2012 kepada 6.1 kali ganda pada 2021. Bagi flat flexi dua bilik, yang pembelinya mungkin warga tua atau golongan bujang, kadar permohonan meningkat dari 2.8 kali ganda pada 2012 kepada 3.6 kali ganda pada 2021, kata beliau.

Meskipun bekalan flat giat ditambah tahun ini, kadar permohonan mencecah paras rekod, tambah beliau.

"Walaupun saya akui bahawa usulan kami berhubung kelayakan BTO bagi golongan bujang boleh menaikkan sedikit permintaan bagi flat-flat flexi dua bilik, ia tidak menjejaskan hakikat bahawa terdapat ketidakseimbangan yang serius dalam pasaran perumahan," kata beliau, sambil menambah "kesan limpahan" disebabkan oleh keadaan itu adalah harga jualan semula flat HDB yang lebih tinggi.

TURUNKAN HAD USIA UNTUK MOHON FLAT BTO

Mengulas tentang mengapa usia kelayakan bagi BTO untuk golongan bujang harus diturunkan kepada 28 tahun, Encik Chua berkata pada usia tersebut, kebanyakan rakyat Singapura sudah sedikit sebanyak berpeluang "menjalani kehidupan berdikari dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka".

Memetik laporan 2021 terbitan Majlis Belia Kebangsaan tentang belia Singapura, Encik Chua berkata apabila menyebut tentang aspirasi atau matlamat hidup, pilihan utama belia adalah untuk menjalin dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang kukuh manakala pilihan kedua adalah "memiliki kediaman sendiri".

"Meskipun sudah begitu jelas bahawa ramai rakyat Singapura yang mungkin bujang atas pelbagai sebab, namun ingin memiliki rumah sendiri pada usia sebelum 35 tahun, ramai yang tidak mampu berbuat demikian," kata beliau.

"Tidakkah kita harus melihat bagaimana untuk terus mengupayakan rakyat bujang Singapura untuk memenuhi keperluan perumahan dan aspirasi mereka?"

WP mengusulkan agar diturunkan usia kelayakan kepada 28 tahun bagi flat BTO dan bukan pasaran jualan semula, kata Encik Chua supaya permintaan yang meningkat itu dipenuhi menerusi bekalan baru dan bukan bekalan sedia ada dan menerusi pasaran jualan semula HDB yang sekarang ini "meningkat".

Beliau berkata dengan tempoh menunggu sehingga 5.7 tahun setakat sehingga pelancaran BTO pada Ogos 2022, seorang warga bujang yang berjaya membuat tempahan bagi flat BTO pada usia 28 tahun, akan berusia hampir 35 tahun apabila beliau berpindah ke rumah tersebut.

Beliau juga menyentuh tentang geran-geran bagi para pembeli flat, sambil berkata pembeli bujang tidak layak bagi geran-geran perumahan yang ditawarkan kepada pasangan sudah berkahwin.

Jika Pemerintah mempunyai kebimbangan bajet atau percaya bahawa golongan bujang lebih muda tidak harus diberi insentif untuk membeli rumah sendiri, paras geran perumahan itu boleh ditawarkan secara berperingkat'', kata beliau.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan