Skip to main content

Singapura

WP gesa lebih banyak sokongan untuk belia, usahawan; PAP tegas sistem terus wujudkan peluang

Parti Pekerja (WP) pada Rabu (5 Ogos) menggesa agar lebih banyak peluang diwujudkan untuk golongan muda Singapura dan usahawan tempatan, sambil menegaskan bahawa fasa pertumbuhan ekonomi negara yang seterusnya seharusnya mewujudkan peluang yang lebih meluas untuk rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
WP gesa lebih banyak sokongan untuk belia, usahawan; PAP tegas sistem terus wujudkan peluang

Orang ramai melintas jalan di Orchard Road, Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 09:19AM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Rabu (5 Ogos) menggesa agar lebih banyak peluang diwujudkan untuk golongan muda Singapura dan usahawan tempatan, sambil menegaskan bahawa fasa pertumbuhan ekonomi negara yang seterusnya seharusnya mewujudkan peluang yang lebih meluas untuk rakyat.

Sebagai memberi respons, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan, rakyat Singapura memperoleh manfaat jangka panjang hasil kejayaan negara dengan melibatkan diri secara bermakna dalam ekonomi menerusi pekerjaan yang baik, pembangunan kemahiran dan sokongan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Perbahasan itu tertumpu kepada usul WP yang dibentangkan Anggota Parlimen (AP) Kenneth Tiong (WP-Aljunied) dan Jamus Lim (WP-Sengkang), yang menggariskan visi parti pembangkang tersebut bagi "sebuah ekonomi masa depan", di samping pelan tindakan ekonomi yang dicadangkannya.

Usul yang dipinda akhirnya diluluskan parlimen selepas perbahasan selama sembilan jam.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng berkata soalan yang dibangkitkan Encik Tiong – "Bagaimanakah rakyat Singapura biasa memperoleh manfaat jangka panjang daripada kejayaan negara kita?" – adalah wajar dan penting.

“Rakyat Singapura memperoleh manfaat jangka panjang tersebut dengan melibatkan diri secara bermakna dalam ekonomi kita: menerusi pekerjaan yang baik, pertumbuhan berterusan gaji sebenar dan kepuasan dalam pekerjaan; dengan memperoleh dan membina kemahiran yang terus kekal relevan apabila teknologi berubah; dan selepas berdepan sebarang cabaran, dengan mengambil peluang untuk belajar, serta menerima sokongan untuk bangkit dan membina semula,” kata beliau.

BELIA DAN LALUAN KERJAYA

Bagi hampir semua rakyat Singapura, “kemajuan dalam kerjaya merupakan laluan utama untuk maju”, kata Encik Tiong, sambil menambah bahawa tidak ramai yang menjadi usahawan disebabkan oleh faktor-faktor seperti kekurangan jaringan keselamatan sosial untuk mengambil risiko, saiz pasaran domestik yang kecil dan kos yang tinggi untuk menjalankan perniagaan.

Menurut beliau, para penggubal dasar perlu “membentuk semula sistem” dengan meletakkan golongan muda Singapura sebagai “keutamaan pertama, bukannya pertimbangan terakhir”.

Antara cadangan beliau adalah untuk mewujudkan zon inovasi khas di sekitar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), di mana tanah milik pemerintah dikenakan bayaran berdasarkan kos pemulihan dan bukannya nilai pasaran, manakala pulangannya diperoleh daripada syarikat-syarikat yang berkembang di kawasan tersebut, bukan melalui pendapatan sewa.

Menyifatkannya sebagai sebuah kawasan yang “menyokong pekerja dan perniagaan”, Encik Tiong berkata Singapura seharusnya menghabiskan tiga dekad akan datang untuk menjadi sebuah lokasi di mana syarikat-syarikat tempatan mampu berkembang maju.

“Kita telah menghabiskan 30 tahun menjadikan negara ini tempat yang baik untuk syarikat milik orang lain mencapai kejayaan,” kata beliau.

“Saya menggesa agar kita menghabiskan 30 tahun akan datang untuk menjadikannya tempat di mana syarikat milik kita sendiri pula dapat berkembang.”

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) WP Andre Low pula memberi tumpuan kepada apa yang disifatkannya sebagai “anak tangga pertama yang rosak” dalam kemajuan kerjaya, berhujah bahawa terlalu ramai belia Singapura sukar memulakan kerjaya melalui pekerjaan tetap.

Beliau mencadangkan satu “jaminan permulaan yang adil” untuk golongan muda - iaitu komitmen nasional di mana rakyat Singapura berusia bawah 30 tahun yang sedang beralih daripada alam pendidikan atau Perkhidmatan Negara (NS) mendapat akses kepada sama ada pekerjaan tetap atau laluan pembangunan kerjaya yang dibayar dengan sewajarnya.

Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan bagi membantu golongan muda memulakan kerjaya dengan baik, termasuk membangunkan “pasaran nasional” bagi program perantisan berbayar.

Menurut beliau, walaupun Singapura sudah mempunyai program di tempat kerja untuk golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, perlu ada satu lagi laluan bagi pekerjaan yang memerlukan “latihan praktikal berterusan di bawah penyeliaan”.

Ia merujuk kepada rangka kerja perantisan yang menyediakan pekerjaan bergaji, status penuh sebagai pekerja, caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), latihan berstruktur serta kemahiran yang boleh digunakan di tempat lain.

Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash berkata pemerintah memahami kebimbangan ramai siswazah baharu dan ibu bapa mereka mengenai peralihan ke alam pekerjaan.

Namun, kata beliau, “gambaran sedia ada sebenarnya lebih kukuh daripada yang digambarkan" WP, dengan jumlah jawatan kosong melebihi bilangan pencari kerja tahun lalu.

Pada suku pertama 2026, Singapura mempunyai sekitar 32,800 jawatan kosong peringkat permulaan bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), melebihi jumlah siswazah yang sedang mencari pekerjaan.

Encik Dinesh berkata kira-kira sembilan daripada 10 siswazah universiti bagi kohort 2025 memperoleh pekerjaan dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian, setanding dengan kohort sebelumnya.

“Sistem ini telah banyak memberi manfaat kepada kita, namun ia mesti terus berkembang seiring dengan generasi baharu pekerja dan perubahan sekitaran pekerjaan.”

Beliau berkata inilah sebabnya Semakan Strategi Ekonomi (ESR) mengesyorkan supaya pembelajaran dirapatkan dengan alam pekerjaan, termasuk mengiktiraf secara rasmi latihan di tempat kerja sebagai sebahagian daripada kelayakan.

“Kita berbuat demikian kerana kita mahu golongan muda kita mendapat permulaan yang baik dalam kerjaya mereka,” kata Encik Dinesh, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa keusahawanan ESR.

BOLEHKAH USAHAWAN BERJAYA?

AP Dilantik (NMP) Kenneth Goh berkata AP WP yang membentangkan usul itu menyifatkannya sebagai “pelengkap kepada ESR, tetapi berbeza daripadanya”.

Walaupun beliau bersetuju dengan kebanyakan aspirasi dalam usul tersebut, seperti memberi ruang kepada usahawan untuk mencuba dan membolehkan perniagaan berkembang, beliau mempunyai beberapa keraguan terhadap cara usulan asal itu dirangka.

“Kebimbangan saya ialah cara usul itu dirangka tidak mengambil kira pertukaran yang perlu dibuat,” kata beliau.

AP Louis Chua (WP-Sengkang) pula berkata cita-cita ESR untuk memperkukuh perusahaan dan inovasi tidak akan tercapai jika pemerintah terus beroperasi dengan apa yang disifatkannya sebagai “mentaliti tuan tanah” atau “pencari hasil sewa”.

Beliau mencadangkan satu pilihan perumahan sewa awam untuk golongan muda dan rakyat Singapura yang berpendapatan sederhana, dengan kadar sewa dikaitkan kepada pendapatan dan bukannya kadar pasaran.

“Jika kita mahukan sebuah generasi pengasas syarikat, kita perlu berhenti membebankan mereka dengan komitmen gadai janji ketika berusia 20-an dan 30-an,” kata beliau.

NCMP WP Eileen Chong pula menegaskan bahawa walaupun ESR mahu memperkukuh hubungan perdagangan dan rantaian bekalan di rantau ini, rakyat Singapura sendiri perlu berada di Asia Tenggara bagi memastikan “modal yang dilaburkan menjadi modal yang benar-benar berdaya hasil”.

“Semakin kita mampu membawa modal dan syarikat kita ke rantau ini, semakin penting persoalan yang tidak dijawab ESR: siapakah yang akan kita hantar bersama modal itu?”

Beliau turut menggesa supaya lebih banyak penekanan diberikan kepada kesiapsiagaan serantau dalam perkhidmatan awam, di samping struktur sokongan yang lebih kukuh bagi melahirkan rakyat Singapura yang berpengalaman bekerja di luar negara.

“Bakat yang kita bawa masuk akan meningkat nilainya untuk seketika sebelum pulang ke negara asal. Namun rakyat Singapura yang kita lengkapi untuk bekerja di rantau ini akan terus bertambah nilainya sepanjang hayat.”

Encik Dinesh berkata kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain menjadikan keusahawanan “semakin berdaya maju sebagai satu laluan kerjaya”.

“Bukan setiap usaha akan berjaya. Itulah hakikat keusahawanan dan pengambilan risiko. Namun, kami sedang memperluas sokongan kepada syarikat pemula yang berpotensi untuk membina, berkembang dan menembusi pasaran global,” kata beliau.

Encik Dinesh berkata Singapura kini mempunyai lebih 4,500 syarikat pemula teknologi, dan cadangan ESR akan memperkukuh akses kepada modal pertumbuhan, teknologi, rangkaian dan pasaran luar negara.

“Usaha yang berjaya bukan sahaja memberi ganjaran kepada pengasasnya, malah mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Singapura yang lain.”

Dr Tan pula berkata Singapura sudah membina “asas yang kukuh” bagi keusahawanan.

“Cita-cita kita tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah syarikat yang ditubuhkan,” kata beliau.

“Ia perlu diukur berdasarkan berapa banyak idea yang baik berjaya menjadi perniagaan yang berdaya maju, berapa banyak perniagaan mampu berkembang, dan berapa banyak keupayaan utama, harta intelek dan pekerjaan berkualiti diwujudkan di Singapura.”

Beliau mengakui bahawa usahawan perlu mengharungi beberapa “cabaran besar”, dan walaupun dasar pemerintah boleh membantu pada setiap peringkat, ia tidak dapat menjadikan perjalanan tersebut bebas daripada risiko.

“Kita tidak dapat menjamin setiap usaha akan membuahkan hasil, setiap pekerjaan akan kekal sama, atau setiap peralihan akan berjalan dengan lancar,” tambah Dr Tan.

“Namun, apa yang sentiasa boleh kita lakukan ialah memastikan Singapura kekal sebagai sebuah negara di mana setiap individu mempunyai peluang yang saksama untuk mencuba, laluan untuk terus maju, dan sokongan untuk bangkit semula selepas berdepan cabaran.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita