Skip to main content

Singapura

WP 'bersatu kembali' selepas kes Raeesah Khan, kata Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:
WP 'bersatu kembali' selepas kes Raeesah Khan, kata Pritam Singh

Pemimpin Parti Pekerja di acara jamuan malam sempena Hari Kebangsaan pada 13 Ogos 2022. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) kembali bersatu selepas pendakwaan bekas Anggota Parlimen (AP) Sengkang Raeesah Khan kerana menyalahgunakan Hak Istimewa Parlimen.

Demikian menurut Ketua Pembangkang yang juga Ketua WP, Pritam Singh, pada Sabtu (13 Ogos).

Setiausaha Agung WP itu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan-pertanyaan para wartawan di luar acara jamuan malam sempena Hari Kebangsaan yang dianjurkan parti tersebut di Hougang Avenue 5.

"Saya bangga dengan parti ini dan bangga dengan sejauh mana pantasnya kami bersatu. Ini penting untuk diingati oleh sebuah parti seperti Parti Pekerja," kata Encik Singh, apabila ditanya sama ada kepalsuan yang dibuat Cik Khan di Parlimen dan kritikan oleh Jawatankuasa Hak Istimewa menjejas proses merekrut sukarelawan dan calon WP.

"Jika kami tidak bersatu, kami berdepan masalah untuk mendampingi orang awam dan untuk lebih meyakinkan semasa bersuara dan mewakili kepentingan pembangkang secara berkesan di Parlimen."

Merujuk kepada jamuan malam sempena Hari Kebangsaan, di mana terdapat sekitar 1,400 tetamu, Encik Singh memberitahu para wartawan mereka boleh menilai semangat parti menerusi kehadiran para tetamu dan bercakap sendiri kepada kepada orang awam dan parti.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab secara langsung soalan tentang sama ada terdapat calon untuk menggantikan Cik Raeesah Khan, namun berkata: "Ini akan berlaku bila tiba masanya."

Cik Khan melepaskan jawatannya pada November tahun lalu setelah mengaku berbohong di Parlimen. Beliau didapati bersalah menyalahgunakan Hak Istimewa Parlimen dan dikenakan denda S$35,000, sementara ketua parti Pritam Singh dan Faisal Manap dirujuk kepada pendakwa raya menyusuli siasatan oleh Jawatankuasa Hak Istimewa.

Pada Sabtu, empat pemimpin parti bercakap tentang bagaimana WP akan mempergiat kegiatan akar umbi dan usaha pendampingan yang tergantung disebabkan pandemik COVID-19.

Encik Singh berkata WP akan lebih aktif mendampingi para sukarelawan, sambil berkata: "Kami juga memahami terdapat beberapa individu, rakyat Singapura yang mendaftar untuk menjadi sukarelawan parti dalam beberapa tahun lalu...Ayuh kita mulakannya sekali lagi dan saya memohon maaf kami tidak dapat memberikan respons kepada setiap orang kerana terdapat dua masalah: Terlalu ramai sukarelawan dan tidak cukup kegiatan."

Beliau menambah partinya terus menjalankan kegiatan pendampingan dan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah di East Coast dan Marine Parade.

Cik Nicole Seah, yang menerajui sayap belia WP dan merupakan calon di GRC East Coast, berkata "sejumlah" sukarelawan daripada Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan sudah tampil dan parti sudah mula mendampingi mereka.

Bercakap mengenai sayap belia parti, Cik Seah berkata WP akan melancarkan cabaran dasar untuk rakyat Singapura menyerahkan idea-idea berhubung dasar.

Parti itu juga sedang memperluas kewujudannya di media sosial menerusi saluran TikTok dan podcast di Spotify. WP melancarkan akaun HammerTok di TikTok minggu lalu (5 Ogos).

Menurut Cik Seah, WP mempunyai kumpulan sukarelawan yang muda dan mahu memanfaatkan wadah-wadah sedemikian untuk mendidik para pengundi serta menyampaikan tentang beberapa kegiatan "di sebalik tabir" parti.

WP juga sedang memulakan semula usaha pendampingan di GRC Sengkang dengan beralih dari pertemuan maya kepada pertemuan empat mata dan menyambung penjualan surat berita Hammer, kata AP Sengkang yang juga pengerusi majlis bandaran Louis Chua.

Sekalipun demikian, beberapa aspek pendampingan parti itu tidak banyak berubah, kata Encik Singh.

"Ia masih penting bagi kami untuk berhubungan dengan masyarakat awam dan memahami isu-isu apakah yang penting kepada penduduk dan peniaga di kawasan-kawasan tertentu," kata beliau.

"Saya rasa persoalannya adalah mutu pendampingan...Kami tentu sekali mahu memahami isu-isu mereka dengan lebih baik...dan dari segi itu ia tidak banyak berubah."

Menjawab soalan satu lagi wartawan, Encik Singh berkata berdasarkan kegiatan pendampingan parti, isu kos kehidupan sering timbul dalam kalangan penduduk muda dan tua.
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita