WP ambil alih majlis bandaran tanpa sistem komputernya, dakwa peguam bela
Laporan audit yang digunakan oleh dua majlis bandaran sebagai asas dalam tuntutan mahkamah masing-masing terhadap para Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) dan defendan-defendan lain gagal mengambil kira situasi, termasuk keadaan di mana 'sistem komputer sebuah majlis bandaran ditarik balik'.
Majlis Bandaran Aljunied-Hougang. (Gambar: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Laporan-laporan audit yang digunakan oleh dua majlis bandaran sebagai asas dalam tuntutan mahkamah masing-masing terhadap para Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) dan defendan-defendan lain gagal mengambil kira situasi, termasuk keadaan di mana 'sistem komputer sebuah majlis bandaran ditarik balik', tegas peguam bela WP pada Isnin (8 Okt).
Para AP WP, Penasihat Majlis Bandaran Aljunied-Hougang dan para kakitangan agensi pengurusan AHTC, FM Solutions and Services (FMSS) berusaha sedaya upaya untuk membangunkan sistem pengurusan komputer untuk mengendalikan kawasan undi tersebut, tegas peguam bela Leslie Netto.
Encik Netto adalah peguam bela untuk Cik How Weng Fan, mantan timbalan setiausaha AHTC serta pengarah dan pemegang saham FMSS. Encik Netto juga peguam bela bagi mendiang Danny Low, pemilik FMSS, dan syarikat FMSS sendiri.
Cik How sedang disaman bersama tujuh lagi defendan atas tuduhan gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari, serta membuat pembayaran "tidak wajar" bernilai S$33 juta.
Menurut Encik Netto, Cik How akan memberi keterangan yang mengatakan bahawa apabila WP mengambil alih Majlis Bandaran Aljunied (ATC) pada 2011, sofwe kewangan dan perakaunan dibatalkan oleh firma IT Action Information Management (AIM).
Bekas pihak pengurusan ATC menjual sistem komputer tersebut kepada AIM, menurut Encik Netto.
Perisian yang dijual itu "amat penting bagi merekodkan hal pengurusan dan dokumen kewangan", tambah Encik Netto.
Beliau berhujah bahawa Encik Loh, Cik How dan FMSS "bertungkus lumus" mempertingkatkan sofwe yang digunakan SMC Hougang supaya ia sesuai digunakan oleh GRC Aljunied, tanpa mendapat sembarang "imbalan" bagi kerja ini.
"Pada peringkat awal, AHTC masih dalam proses mempertingkatkan sistem komputernya. Namun, tiada pihak, KPMG mahupun PwC, menyebut tentang sistem komputer berkenaan dan kesannya jika ia ditarik balik."
"Hujah (anak guam saya) adalah kesemua laporan audit yang dikemukakan plaintif tidak mengambil kira kesulitan yang sedang dialami AHTC," tambah Encik Netto.
Tambah beliau, agak ganjil kedua-dua tuntutan mahkamah itu "berdasarkan laporan audit dan bukan fakta". Anak guamnya "merancang untuk mencabar ketepatan dan kebenaran laporan audit tersebut".
Beliau menambah bahawa Cik How akan memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan bahawa sistem pembayaran yang disifatkan tidak wajar oleh pihak plaintif, perlu dinilai berdasarkan konteks model pengurusan majlis bandaran yang digunakan AHTC semasa tempoh yang relevan.
"Jika dilihat dari konteks ini, tuduhan melulu oleh plaintif yang mendakwa terdapat percanggahan kepentingan dalam kontrak FMSS adalah tidak berasas sama sekali," kata Encik Netto.
Para defendan lain dalam perbicaran ini adalah AP WP Sylvia Lim, Low Thia Khiang dan Pritam Singh, serta para penasihat AHTC Chua Zhi Hon dan Kenneth Foo Seck Guan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.