Skip to main content

Singapura

WP akan terus pastikan pemerintah dipertanggungjawab, raih semula kepercayaan warga SG: Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2023 06:41PM Dikemas Kini : 19 Jul 2023 08:52PM
SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berkata pada Rabu (19 Jul) bahawa parti tersebut akan berusaha meraih semula kepercayaan warga Singapura dengan terus memastikan pemerintah dipertanggungjawabkan dan berkhidmat kepada penduduk di kawasan undi masing-masing. Ini menyusuli pengumuman peletakan jawatan dua anggota parti tersebut selepas mengaku terbabit dalam hubungan sulit.

Encik Singh berkata demikian semasa menjawab pertanyaan di satu sidang media, di mana beliau mengumumkan bahawa Anggota Parlimen Aljunied Leon Perera dan presiden sayap Belia WP Nicole Seah meletak jawatan.

Kedua-duanya juga anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti pembangkang itu.
Encik Singh memberitahu wartawan bahawa meskipun kepimpinan parti tersebut dimaklumkan mengenai dakwaan berhubung hubungan sulit yang terjalin itu pada sekitar 2021, Encik Perera dan Cik Seah menafikan dakwaan tersebut.

Namun, selepas sebuah video tular di media sosial awal minggu ini menunjukkan pasangan itu berkelakuan intim di sebuah restoran, mereka mengaku telah menjalin hubungan sulit lalu meletak jawatan.

"Perlembagaan Parti Pekerja menghendaki calon bersikap jujur ​​dan berterus terang dalam urusan mereka dengan parti dan rakyat Singapura," kata Encik Singh.

Ketua WP itu menambah bahawa Encik Perera dan Cik Seah menjalin hubungan sulit itu selepas Pilihan Raya Umum 2020, tetapi ia berhenti hanya "seketika lalu".

Berikutan penjelasannya itu, Encik Singh ditanya langkah seterusnya WP menangani isu itu termasuk meraih semula kepercayaaan dan keyakinan warga Singapura.

Encik Singh menekankan bahawa "forum penting" bagi parti tersebut meraih kepercayaan warga Singapura ialah di Parlimen.

"Saya rasa warga Singapura harapkan Parti Pekerja memastikan pemerintah dipertanggungjawabkan bagi memastikan kita tidak ada hanya satu parti ... kami harus terus bekerja keras menggalak dan meyakinkan warga Singapura untuk tampil dan menjadi sebahagian daripada kuasa pengimbang itu, bagi kepentingan Singapura," ujarnya.

Beliau menambah bahawa WP akan meneruskan kerjaya berkhidmat kepada penduduk di majlis bandaran - Aljunied-Hougang dan Sengkang.

Pengerusi parti Sylvia Lim menjelaskan bahawa para AP Aljunied akan memikul tanggungjawab bersama untuk menjaga penduduk di GRC tersebut, dan AP lain akan mengambil alih Sesi Bertemu Penduduk atau 'Meet-the-People Session' (MPS) di kawasan Serangoon, yang sebelum ini berada di bawah naungan Encik Perera.

"KEBETULAN YANG LUAR BIASA"

Sidang media WP itu diadakan selang dua hari selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengumumkan bahawa mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan mantan AP Tampines Cheng Li Hui menjalin "hubungan tidak wajar" dan telah meletak jawatan.
Video Encik Perera dan Cik Seah mula tular pada pagi hari yang sama, sebelum pengumuman PAP, sekali gus menimbulkan soalan daripada seorang wartawan mengenai "kebetulan" ini.

Encik Singh berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu, tetapi menambah: "Saya fikir hakikat bahawa anda menanyakan soalan itu menunjukkan ia terngiang-ngiang di fikiran anda, dan saya fikir anda tidak salah, saya rasa begitu juga dengan ramai orang lain. Tetapi biarlah anda yang membuat kesimpulan sendiri mengenai .... kebetulan yang luar biasa ini."

Encik Singh juga ditanya mengenai proses pemilihan calon yang dijalankan WP, memandangkan ini bukan kali pertama seorang AP undurkan diri dari parti itu.

Cik Raeesah Khan meletak jawatan dari parti tersebut dan sebagai AP GRC Sengkang pada November 2021 selepas mengaku berbohong di Parlimen.

Encik Singh berkata sungguhpun parti tersebut cuba sedaya upaya untuk menampilkan calon yang baik, ia tidak boleh meramalkan apa yang akan mereka lakukan selepas menjadi calon.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita