Skip to main content

Singapura

WP akan bentang usul 'ekonomi masa depan' bagi semua rakyat

Parti Pekerja (WP) akan membentangkan satu usul di parlimen pada Selasa (4 Ogos) bagi menggesa pembentukan "ekonomi masa depan" yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
WP akan bentang usul 'ekonomi masa depan' bagi semua rakyat

Ibu pejabat Parti Pekerja (WP) di Teambuild Centre di Geylang Road, Singapura, pada 23 Disember 2025. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 07:04AM
  • Parti Pekerja (WP) akan membentangkan usul di Parlimen Singapura pada 4 Ogos untuk menggesa pembentukan ekonomi masa depan yang lebih saksama dan inklusif.
  • Usul ini dikemukakan oleh Kenneth Tiong dan Jamus Lim, dengan menekankan pelan tindakan ekonomi alternatif berbanding cadangan pemerintah dalam laporan Semakan Strategi Ekonomi (ESR).
  • WP menyorot keperluan ekosistem inovasi, pembiayaan penyelidikan dan pembangunan, serta peluang lebih luas untuk syarikat tempatan dan pekerja.
  • Motivasi utama WP ialah memastikan ekonomi benar-benar memberi manfaat kepada semua rakyat, khususnya golongan muda dan perniagaan kecil yang kini berdepan cabaran.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) akan membentangkan satu usul di parlimen pada Selasa (4 Ogos) bagi menggesa pembentukan "ekonomi masa depan" yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.

Usul yang dibentangkan oleh Anggota Parlimen (AP) WP Kenneth Tiong (WP-Aljunied) dan Jamus Lim (WP-Sengkang) itu akan menggariskan visi parti pembangkang tersebut bagi ekonomi masa depan serta "pelan tindakan ekonomi" mereka sendiri.

Usul itu mencadangkan agar Dewan menyatakan sokongan terhadap "ekonomi yang lebih saksama dan inklusif, dengan peluang bagi para usahawan untuk mencuba idea baharu, isi rumah dan perniagaan untuk berjaya, pekerja untuk terus maju, serta idea dan inovasi untuk berkembang; dan sebuah ekonomi yang dipacu oleh syarikat-syarikat tempatan yang dinamik, permintaan domestik yang kukuh, serta rakyat dan modal Singapura yang dikembangkan ke luar negara."

Menurut WP, usul itu dikemukakan meskipun terdapat cadangan-cadangan dalam laporan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) berhubung masa depan ekonomi Singapura.

Dalam satu sidang media di ibu pejabat WP pada Sabtu (1 Ogos), Encik Tiong menyifatkan usul itu sebagai satu "kenyataan bermakna" tentang struktur ekonomi yang menurut parti itu benar-benar meletakkan rakyat Singapura sebagai keutamaan.

"Jika saya boleh merumuskan usul ini dalam bentuk satu soalan, ia adalah: 'Bagaimanakah seorang rakyat Singapura biasa dapat menikmati bahagian yang berkekalan daripada kejayaan negara kita?'" kata beliau.

"Ini adalah usaha kami untuk menjawab persoalan-persoalan penting yang dihadapi hari ini dan membentuk pelan tindakan ekonomi kami sendiri."

Profesor Madya Lim berkata parti itu berharap dapat menyampaikan "pelengkap" kepada visi pemerintah bagi ekonomi masa depan yang berpandukan ESR, yang mengeluarkan laporan akhirnya pada 24 Jun lalu.

"Kami mahu memastikan mesej yang kami sampaikan bukan sahaja memberi maklum balas kepada laporan tersebut, malah berbeza daripadanya, supaya kami bukan sekadar bertindak balas terhadap visi pemerintah, tetapi turut mengemukakan visi kami sendiri," tambah beliau.

"Kami berpendapat masih terdapat beberapa jurang dalam visi tersebut, dan kami mengemukakan satu visi alternatif serta hala tuju yang kami percaya dapat mengisi banyak daripada jurang tersebut."

CADANGAN YANG AKAN DIBANGKITKAN

Singapura melancarkan ESR pada Ogos 2025, sedang negara berdepan perubahan struktur termasuk penjajaran semula geopolitik dan gangguan teknologi.

ESR merangkumi lima jawatankuasa yang sejak itu sudah mengemukakan 32 cadangan kepada pemerintah selepas mengadakan sesi libat urus dan perundingan dengan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan, kesatuan sekerja, syarikat serta para pekerja.

Apabila diminta Mediacorp untuk mengulas lanjut berhubung cadangan yang akan dibangkitkan parti itu, Profesor Madya Lim berkata semua ucapan AP WP akan berteraskan apa yang mereka anggap sebagai "persoalan intuitif" berhubung ekonomi.

Beliau berkata ucapannya akan memberi tumpuan kepada cara Singapura boleh mewujudkan persekitaran perniagaan yang membolehkan syarikat-syarikat tempatan yang dinamik muncul dan mencapai kejayaan.

Encik Tiong pula berkata ucapannya akan mengemukakan idea mengenai pembiayaan penyelidikan dan pembangunan. Menjawab satu soalan lain, beliau berkata AP WP juga akan membincangkan bagaimana Singapura boleh membangunkan "ekosistem perusahaan dan inovasi yang dinamik" yang memaksimumkan nilai meskipun berdepan kos perniagaan yang tinggi serta kekangan ruang fizikal.

Dalam satu kenyataan media, WP menyatakan bahawa usul itu mewakili suara rakyat Singapura yang merasakan ekonomi "tidak lagi memberi manfaat kepada mereka".

Ia termasuk golongan seperti rakyat Singapura muda yang "telah melakukan segala yang diminta daripada mereka tetapi masih bergelut untuk membina kehidupan", serta perniagaan tempatan kecil yang menggajikan sebahagian besar rakyat Singapura tetapi "semakin sukar untuk terus bertahan setiap tahun".

"Walaupun keadaan mereka berbeza-beza, persoalan asasnya tetap sama: adakah ekonomi ini benar-benar memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura?" tanya parti itu.

"Itulah persoalan yang dibawa usul ini untuk dipertimbangkan Dewan, dan cabaran yang kita hadapi hari ini menunjukkan sudah tiba masanya untuk kita membayangkan semula masa depan ekonomi Singapura."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita