Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Woodlands pergiat usaha didik penduduk tentang MRSS, bantu buat tokokan

"Kalau ada rezeki, aku rasa beli emas lagi bagus. Boleh simpan, halal! Apa-apa jadi, boleh jual." "Tapi kalau buat tokokan di bawah skim CPF yang baru, 'Pemerintah kasi (sehingga) $600 free'!"

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Kalau ada rezeki, aku rasa beli emas lagi bagus. Boleh simpan, halal! Apa-apa jadi, boleh jual." Tapi kalau buat tokokan di bawah skim CPF yang baru, "Pemerintah kasi (sehingga) $600 free!"

Tahukah anda, ada sebuah video cukup santai yang secara terbuka mengupas isu ini di media sosial?

Lebih menarik lagi, ia sebenarnya dihasilkan di bawah satu inisiatif diterajui Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar. Usaha itu beliau jalankan demi meningkatkan kesedaran tentang Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS).

Di bawah skim tersebut, Pemerintah akan memadankan tokokan tunai pencarum - bernilai sehingga S$600 setahun - bagi tempoh antara 2021 hingga 2025. Sekitar 440,000 rakyat Singapura layak bagi skim tersebut.

"Apabila Pemerintah mengumumkan skim ini, saya rasa wah, memang hebat kerana mereka beri hingga S$600 setiap tahun. Kalau lima tahun, S$3,000. Itu bukan jumlah yang kecil. Jadi saya fikir ia mesti popular. Tapi bila saya bersilahturahim dengan para penduduk, saya dapat tahu tidak ramai yang tahu tentang skim ini. Sayang bukan?" kata Cik Mariam.

ADAKAN SESI FIZIKAL KHUSUS UNTUK 120 PENDUDUK

Lantaran itulah, beliau sepasukan memutuskan untuk meningkatkan kesedaran tentang skim MRSS dalam kalangan penduduk Woodlands. Ini dimulakan dengan membantu menjawab pertanyaan mereka semasa sesi bertemu penduduk dan kemudian, penerbitan sebuah video!

Petikan dari video.

"Semua (yang jadi peran utama dalam video adalah) mak cik Woodlands dan mereka sukarelawan. Dari video itu jugalah, kami jemput penduduk ke sesi perbincangan dan bertanya soalan. Kami adakan tiga sesi - dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Melayu," terang Cik Mariam.

Tiga sesi tersebut dijayakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Woodlands dengan CPF.

Diadakan pada setiap Sabtu selama tiga minggu berturut-turut, setiap sesi dihadiri sekitar 40 penduduk yang dapat meleraikan segala tanda tanya dan kekeliruan mengenai MRSS.

"Ada yang kurang yakin dan mempunyai soalan seperti 'bila boleh keluarkan?' ataupun 'Saya tidak cukup duit - mana nak dapat S$600 untuk dimasukkan sekaligus?'. Sebenarnya tidak perlu tokok S$600 sekaligus. Secara bulanan pun boleh."

Justeru, kerjasama dengan CPF amat membantu dalam memastikan persoalan-persoalan tersebut terjawab, kata Cik Mariam yang turut meminta pihak lembaga itu untuk melatih para sukarelawan akar umbi.

"Jadi selepas segmen perbincangan, penduduk dapat bertanya empat mata dengan sukarelawan kami. Dengan itu, mereka jadi lebih yakin. Alhamdulillah, setiap sesi yang kami buat, hampir semua menokok ke akaun CPF mereka selepas itu," tambah beliau.

Tokokan dapat dilakukan para peserta di acara yang sama.

RUGI KALAU TAK...

Semasa BERITAmediacorp menyertai sesi yang dianjurkan dalam Bahasa Melayu pada Sabtu (6 Mac), pesertanya rata-rata berpuas hati, termasuk Encik Mean Wongsodinomo.

"Awalnya saya tidak yakin kerana tidak tahu duit itu dimasukkan ke mana - Akaun Biasa ke, Akaun Khas ke atau Akaun Persaraan? Jadi sekarang kami sudah tahu ini satu peluang. Siapa nak kasi duit?" seloroh pekerja dalam sektor keselamatan yang berusia 64 tahun itu.

Encik M. Saffri A. Manaf pula dapat menghela nafas lega kerana percubaannya untuk membuat tokokan sebelum ini tidak berjaya.

"Saya cuba sendiri dengan orang rumah untuk buat tokokan tetapi tidak berjaya. Saya rasa kami kurang faham. Jadi saya dapat tahu ada acara ini, saya datang, nak tanya lebih lanjut," katanya.

Encik Saffri yang merupakan seorang pengarah, pelakon dan penulis skrip berusia 68 tahun, dibantu membuat tokokan oleh sukarelawan di acara yang dipimpin Cik Mariam itu.

"Kalau saya tidak rebut peluang ini, saya rasa macam rugi juga. Saya tokok S$600. Nanti tunggu tahun depan juga, Insya-Allah. Seperti yang pegawai tadi bilang - misalan anak saya tokok untuk saya, dia juga boleh dapat pelepasan cukai," katanya lagi.

SEKILAS TENTANG MRSS

MRSS disasarkan kepada rakyat Singapura yang berusia antara 55 dengan 70 tahun yang belum dapat memenuhi Jumlah Persaraan Asas (BRS), iaitu S$93,000 (bagi tahun 2021).

Syarat-syarat lain untuk layak bagi skim ini termasuklah, pendapatan bulanan pencarum tidak boleh melebihi S$4,000, Nilai Tahunan Kediaman kurang S$13,000, dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Mereka yang layak sudah dimaklumkan Lembaga CPF.

Tokokan boleh dibuat secara ansuran menerusi GIRO, aplikasi mudah alih myCPF dan laman rasmi CPF.

Geran yang dipadankan akan dimasukkan ke dalam Akaun Persaraan pada awal tahun seterusnya selepas tokokan dilakukan.

Geran dari Pemerintah mahupun tokokan pencarum boleh dikeluarkan dalam bentuk bayaran tunai bulanan bermula usia 65 tahun.

Umumnya, jika pencarum sekarang berusia 55 tahun dan membuat tokokan S$3,000 sepanjang lima tahun, mereka akan menerima lagi S$3,000 dari Pemerintah. Ditambah dengan kadar faedah CPF setinggi 6 peratus setahun, jumlah terkumpul dalam Akaun Persaraannya akan bertambah sebanyak S$8,300.

Jadi pada usia 65 tahun kelak, bayaran tunai bulanannya akan naik S$45 sepanjang hayat.

Anda boleh melungsuri laman CPF untuk maklumat lanjut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan