Skip to main content

Singapura

WMS ubah persepsi hanya orang berharta boleh hulurkan wakaf

Anggaran Waktu Membaca:
WMS ubah persepsi hanya orang berharta boleh hulurkan wakaf

Kompleks Wakaf Bencoolen. (Gambar fail: MUIS)

SINGAPURA: Pindaan pada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) yang diluluskan Parlimen pada Isnin (5 Feb) antara lain membolehkan MUIS menubuhkan sebuah wakaf tersendiri.

Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan membolehkan lebih ramai individu mewakafkan aset mereka b agi generasi akan datang.

Berikut ini perkara-perkara yang perlu anda tahu tentang WMS.

APA ITU WAKAF?

Mengikut syariah, wakaf merupakan sejenis sedekah jariah yang berulang atau satu endowmen kebajikan yang bersifat sukarela.

Secara tradisinya, seseorang individu Muslim mewakafkan harta mereka untuk tujuan amal tertentu selepas mereka meninggal dunia.

Ia boleh berupa wang tunai, hartanah atau aset-aset lain bagi tujuan- tujuan yang dinyatakan oleh wakif atau pemberi.

Bagi derma, infak atau zakat pula, sumbangan yang diterima akan digunakan secara keseluruhan bagi tujuan yang ditetapkan.

Ini seperti pembinaan masjid atau membantu golongan memerlukan.

Misalnya, kesemua wang zakat yang disumbangkan pada sesuatu tahun akan diagihkan kepada asnaf-asnaf.

Namun, modal wakaf tidak boleh diagihkan dan hanya hasil pulangan yang dijana daripada modal menerusi sebarang pelaburan boleh diagihkan kepada penerima mengikut hasrat wakif atau pemberi.

APA ITU WAKAF MASYARAKAT SINGAPURA (WMS)?

Penubuhan WMS diharap akan menggalakkan lebih ramai dalam kalangan masyarakat untuk berwakaf.

Ia berfungsi sebagai dana endowmen masyarakat untuk pembangunan sosial dan agama.

Apakah yang membezakan WMS dengan wakaf biasa?

"Wakaf yang kita telah warisi selama ini kebanyakannya diwasiatkan oleh dermawan berpuluh-puluh tahun yang lalu. Mereka mencipta wakaf dengan objektif tertentu yang telah banyak membantu masyarakat. Walau bagaimanapun, objektif-objektif ini tidak fleksibel untuk memenuhi keperluan masa depan masyarakat yang berkembang dan berubah-ubah," kata Ketua Pentadbiran Dana Masyarakat MUIS, Cik Nurfarhana Supa'att kepada wartawan Nurfazirah Azman.

WMS akan menyediakan sumber pembiayaan mampan jangka panjang untuk keperluan masyarakat yang tidak disokong oleh mana-mana dana masyarakat berstruktur yang sedia ada.

Dana masyarakat seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) contohnya, menyokong keperluan segera dan jangka pendek masyarakat dan institusi agama.

WMS akan menjana aliran hasil yang lebih mampan
dan dengan itu, membawa manfaat lebih besar dan cukup fleksibel untuk memenuhi keperluan sosial keagamaan masyarakat yang semakin berkembang.

Ini termasuk memperbaharui tempoh pajakan madrasah, masjid dan penyelenggaraan masjid.

"Sebagai contoh dalam tempoh 30 tahun akan datang, masjid dan madrasah kita akan menghadapi kos pembaharuan pajakan tanah, WMS bertujuan untuk membuat persiapan awal untuk mengumpulkan dana dari sekarang sebagai dana rizab bagi keperluan yang semakin meningkat. WMS bertujuan untuk melengkapkan dana pembangunan masjid atau MBMF untuk menyokong perbelanjaan modal yang besar ini.

"Contoh kedua, WMS juga bertujuan untuk menyokong untuk membangunkan keupayaan asatizah, memupuk pemimpin agama, membimbing masyarakat melalui isu-isu kontemporari. Terakhirnya WMS juga akan berfungsi sebagai dana simpanan dalam saat-saat keperluan untuk masyarakat islam Singapura secara umum," jelas Cik Nurfarhana. 

RANGKA KERJA PERUNDANGAN WMS

Bagaimanakah wakaf masyarakat itu akan diselenggarakan?

Cik Farhana berkata terdapat beberapa pertimbangan MUIS untuk melakarkan rangka kerja undang-undang bagi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

"Seperti wakaf-wakaf lain, faktor utama ialah ketelusan dan kebertanggungjawapan. WMS adalah wakaf berbilang aset yang pertama dan melibatkan dana atau sumbangan masyarakat. Oleh itu, rangka perundangan harus pertimbangkan cara penyelenggaraan wakaf untuk memastikan dana Masyarakat diuruskan dengan betul," kata Cik Nurfarhana. 

MUIS juga akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa.

"WMS juga perlu dikendalikan mengikut syariah Islam. Kami akan merujuk kepada Pejabat Mufti atau Jawatankuasa Fatwa untuk isu-isu berkenaan syariah dalam pengendalian wakaf. Semua ini akan dipertimbangkan sebelum mewujudkan satu rangka perundangan yang berkesan untuk WMS," tambah beliau.

Menurutnya, MUIS masih lagi mengkaji cadangan jika dana yang dikumpulkan boleh diakses oleh pertubuhan-pertubuhan Islam yang tujuannya selaras dengan objektif WMS.

"Secara keseluruhan, pindaan ini membolehkan Muis mencipta wakaf yang berobjektif luas dan fleksibel untuk memenuhi keperluan yang berubah bagi masyarakat masa depan," kata Cik Nurfarhana lagi.

Selain itu, WMS juga bakal merubah persepsi bahawa hanya seseorang yang berharta boleh menghulurkan wakaf.

"WMS adalah wakaf pelbagai-aset yang pertama di mana kami bakal menerima sumbangan sukarela dari masyarakat dalam pelbagai bentuk aset seperti wang tunai, hartanah, nominasi CPF dan sebagainya," kata Cik Nurfarhana. 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita